Isnin, 5 Disember 2011

Pekeliling SBPA: Jangan biar penjawat awam ternanti-nanti


Sehingga artikel ini ditulis, JPA masih belum memuatnaik Pekeliling SBPA ke portal mereka. Walaupun banyak pihak menjangkakan SBPA akan dikeluarkan hari ini (5hb Disember) namun ia ternyata meleset.

Keseluruhan pejawat awam sudah semestinya amat menantikan intipati SBPA. Dua keputusan penting harus dibuat dengannya.

Pertama, bagi memutuskan sama ada mahu menukar skim dari SSM kepada SBPA ataupun tidak. Dan kedua, sama ada mahu bekerja sehingga umur 60 tahun ataupun kekal dengan had usia yang dipilih sekarang. Itu dua keputusan penting yang harus dibuat oleh penjawat awam sebelum 31 Disember ini.

Menurut seorang rakan yang telah mengikuti taklimat SBPA berkaitan peranan yang perlu dilaksanakan oleh bahagian yang mengendalikan urusan perjawatan, pilihan opsyen bagi kedua-duanya perlu dibuat dalam tempoh 15 hari bermula 16 Disember sehingga 30 Disember. Selepas dari tempoh berkenaan, pegawai akan dianggap tidak berminat sekiranya tidak memberikan maklum balas.

Saya berpandangan, adalah tidak adil kepada penjawat awam untuk membuat keputusan dalam tempoh yang singkat memandangkan pekeliling SBPA masih lagi belum dikeluarkan sehingga kini. Bayangkan dengan tempoh masa yang tinggal kira-kira 25 hari, penjawat awam hanya mampu mengagak apa kandungan SBPA sehingga ke hari ini sedangkan dua pilihan yang harus dibuat adalah membabitkan masa depan pegawai. Bukan boleh main pilih begitu saja.

Perbandingan yang nyata perlu dilakukan di antara SSM dan SBPA untuk membolehkan keputusan yang tepat dibuat. JPA tidak boleh beranggapan semua penjawat awam akan dapat membaca SBPA yang dikeluarkan kelak dan dapat membuat keputusan dengan pantas mengenai opsyen yang diberikan.

Tahap pemahaman seseorang dengan yang lainnya mungkin berbeza. Bagi seorang pegawai, sekali baca mungkin akan terus memahami intipati SBPA tetapi mungkin bagi pegawai yang lain, baca sepuluh kali pun mungkin beliau tidak faham dan memerlukan bantuan penjelasan dari rakan-rakan yang lain.

Bayangkan pula bagaimana pegawai-pegawai yang bertugas di kawasan pendalaman yang tidak mempunyai talian internet. Bukankah akan mengambil masa bagi mereka untuk mendapatkan pekeliling berkenaan, membacanya dan membuat keputusan. Silap-silap, ramai yang akan membuat keputusan tanpa langsung membaca pekeliling berkenaan.

Bagi saya, pekeliling ini sudah boleh dipanjangkan untuk tatapan semua penjawat awam sebaik saja Dewan Rakyat meluluskannya bulan lalu. Tidak perlu menanti untuk semua kementerian memuat naik ke laman web atau portal masing-masing bagi mengelak bottleneck di portal JPA. Emelkan saja softcopy SBPA kepada semua Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Kementerian dan kemudiannya, panjangkan emel berkenaan kepada semua pegawai. Mudah dan cepat. 

Walaupun langkah ini mungkin memakan ruang storan emel namun ia hanya bersifat sementara dan dapat menyegerakan pekeliling berkenaan sampai kepada pegawai di seluruh negara. Ia jauh lebih berkesan dari aspek kesegeraan penyampaian berbanding dengan tindakan untuk memuatkan pekeliling ini di semua portal kementerian-kementerian yang mungkin telah menyebabkan kelewatan.

Walau apa pun yang telah berlaku, diharapkan JPA akan memuatnaik pekeliling SBPA esok untuk capaian semua penjawat awam. Tempoh masa semakin singkat. Kami perlu membacanya segera untuk membuat keputusan. Jangan biar kami ternanti-nanti. Ia penentu masa depan kami.

2 ulasan:

  1. "Walaupun langkah ini mungkin memakan ruang storan emel namun ia hanya bersifat sementara dan dapat menyegerakan pekeliling berkenaan sampai kepada pegawai di seluruh negara. Ia jauh lebih berkesan dari aspek kesegeraan......."

    mana pi email 1Malaysia sampai 50juta (Tricubes) buat tu? seleweng duit rakyat saja...

    Please be punctual, we are evaluating you all for PRU13.. :(

    BalasPadam
  2. John Fakapster, emel agensi-agensi kerajaan tiada kaitan dengan email 1Malaysia oleh Tricubes.

    BalasPadam

Terima kasih kerana memberikan maklumbalas yang berkaitan dengan artikel. Kebebasan bersuara diamalkan namun ulasan yang tidak sopan akan dipadam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...