Apapun, sorakan dan laungan penyokong skuad negara berjaya menenggelamkan sepenuhnya kehadiran penyokong Singapura-pura. Mereka yang duduk di kawasan grand stand langsung tidak bersuara. Hanya ketika gol dijaringkan pemain import Sang Singapura-pura barulah terdengar teriakan kegembiraan. Itupun hanya seketika, maklumlah, "harimau-harimau" di sekeliling masing-masing kelihatan berwajah bengis seolah-olah mahu membaham mereka dengan rakusnya :)
Sudah semestinya malam tadi detik paling gempita adalah ketika Safee menjaringkan gol Malaysia. Keriuhan teriakan penonton menggamatkan stadium macam nak runtuh dibuatnya. Seorang Pak Haji yang berdiri dekat dengan saya yang hanya memerhati gelagat penonton lain dari mula perlawanan turut menjerit-jerit dan meloncat kegembiraan hinggakan terjatuh seketika lebai di kepalanya. Semua orang yang hanya memerhati sebelumnya turut sama menjerit walaupun entah apa-apa. Begitulah betapa hebatnya penangan sorakan 80 ribu lebih penyokong Harimau Malaya.