Jumaat, 29 Julai 2011

Malaysia menang sorak?


Ternyata, Stadium Bukit Jalil malam tadi mencatatkan rekod tersendiri dengan kehadiran penyokong Harimau Malaya yang melimpah ruah sehinggakan ribuan penonton terpaksa berdiri di tempat duduk terbuka. Tertanya-tanya juga saya, adakah tiket yang terjual ini melebihi kapasiti tempat duduk yang ada? Terlalu ramai yang terpaksa berdiri untuk menyaksikan perlawanan.

Apapun, sorakan dan laungan penyokong skuad negara berjaya menenggelamkan sepenuhnya kehadiran penyokong Singapura-pura. Mereka yang duduk di kawasan grand stand langsung tidak bersuara. Hanya ketika gol dijaringkan pemain import Sang Singapura-pura barulah terdengar teriakan kegembiraan. Itupun hanya seketika, maklumlah, "harimau-harimau" di sekeliling masing-masing kelihatan berwajah bengis seolah-olah mahu membaham mereka dengan rakusnya :)

Sudah semestinya malam tadi detik paling gempita adalah ketika Safee menjaringkan gol Malaysia. Keriuhan teriakan penonton menggamatkan stadium macam nak runtuh dibuatnya. Seorang Pak Haji yang berdiri dekat dengan saya yang hanya memerhati gelagat penonton lain dari mula perlawanan turut menjerit-jerit dan meloncat kegembiraan hinggakan terjatuh seketika lebai di kepalanya. Semua orang yang hanya memerhati sebelumnya turut sama menjerit walaupun entah apa-apa. Begitulah betapa hebatnya penangan sorakan 80 ribu lebih penyokong Harimau Malaya.




Semua menyedari, jaringan Safee itu menghampirkan peluang Malaysia untuk layak ke pusingan seterusnya. Malaysia hanya memerlukan satu saja lagi gol untuk mara menewaskan Singapura-pura. 

Namun, harapan itu mulai punah apabila kelemahan barisan pertahanan menyaksikan gawang Malaysia bolos jua akhirnya. Amat terlalu mudah pemain import Singapura-pura itu menewaskan barisan pertahanan dan penjaga gol. Malaysia bernasib baik apabila ketangkasan Khairul Fahmi berjaya menyelamatkan beberapa peluang terhidang kepada kuda tua Singapura-pura selepas itu.

Selepas jaringan berkenaan, sorakan penyokong Harimau Malaya tidak segamat tadi, namun, teriakan dan laungan-laungan harapan masih ada. Sehingglah ke wisel penamat dan selepas perlawanan, masih terdapat barisan penyokong setia Harimau Malaya terus melaungkan sokongan kepada para pemain sehingga lampu limpah dipadamkan. Itu tandanya Malaysia tidak langsung terlawan dari aspek sokongan penonton dalam perlawanan malam tadi.

Dari aspek perlawanan pula, saya berpandangan, kita tidak boleh menyalahkan Singapura-pura sepenuhnya apabila mereka memilih untuk melengah-lengahkan perlawanan setelah bermati-matian menyamakan semula kedudukan dan mempertahan kelebihan 2 gol yang ada. 

Saya percaya, para pemain kita juga akan melakukan perkara yang sama jika berada dalam situasi tersebut. Walaupun melampau, lakonan-lakonan yang penuh kepura-puraan itu ternyata memberikan hasil kepada mereka. Bukan bermaksud untuk menyokong tindakan berkenaan tetapi apa yang penting untuk diperkatakan ialah sekiranya Harimau Malaya berjaya menyumbat 2 atau 3 gol lebih awal, pasti Singapura-pura tidak langsung akan berpura-pura.

Ternyata kekalahan ini (walaupun seri) adalah berpunca dari kelemahan kita sendiri. Pertahanan yang longgar, barisan tengah yang gagal mengawal bola dan tidak kreatif menyebabkan penyerang langsung tidak melakukan percubaan berkualiti ke gawang Singapura-pura. Hanya gerakan-gerakan dari S.Kunalan pada separuh masa kedua, termasuk lorongan untuk jaringan SS, yang saya lihat mampu untuk mengucar-kacirkan pertahanan lawan. Itupun hanya untuk beberapa kali. 

Kita harus menerima hakikat kelemahan menangani bola set-piece sama ada untuk mengeluarkan bola dari kawasan pertahanan atau untuk mencari penyudah antara penyebab Harimau Malaya tidak ketahuan. Sebaliknya, itu kelebihan utama yang ada pada pasukan Singapura-pura. 

Setiap kali pemain mereka melambungkan bola ke kawasan gol Malaysia, hati saya pasti gelisah. Nasib baik Khairul Fahmi cemerlang menanganinya. Jika kita pula memiliki hantaran lintang ke hadapan gawang Singapura-pura, ia akan berakhir dengan kekecewaan. Sama ada ditanduk keluar dengan mudah atau ditangkap kemas penjaga gol lawan tanpa tentangan.

Ketiadaan pengganti Safiq Rahim untuk mengemudi barisan tengah dan Nor Shahrul untuk melorongkan bola kepada SS juga merupakan kekurangan yang perlu diakui.

Walaupun masih banyak yang perlu diperbaiki dalam skuad Harimau Malaya ini, kita tidak harus memperlekehkan kesungguhan mereka malam tadi. Saya percaya, pemain telah berusaha sebaik mungkin untuk membawa kemenangan namun keupayaan tektikal Singapura-pura (walaupun dibarisi kuda-kuda tua dan kelihatan obes) ternyata menewaskan kesungguhan, semangat dan keupayaan kita (yang tidak sepenuhnya). 

Selepas ini, pasti Datuk Rajagobal akan sedaya upaya untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan tersebut. Dan kita sebagai penyokong Harimau Malaya, tidak seharusnya putus harapan dengan ketewasan ini. Ia bukan penamat untuk segala-galanya! Momentum "Ngauman" keramat malam tadi harus diteruskan untuk Skuad Olimpik pula.


Akhir sekali, saksikan hasrat "Hitler" selepas Malaysia tewas 3-5 di Singapura Sabtu lalu. Pastinya, beliau lebih berduka lara dengan keputusan malam tadi :p


Jangan marah aaaaa :p

Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana memberikan maklumbalas yang berkaitan dengan artikel. Kebebasan bersuara diamalkan namun ulasan yang tidak sopan akan dipadam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...