Jumaat, 29 Julai 2011

Malaysia menang sorak?


Ternyata, Stadium Bukit Jalil malam tadi mencatatkan rekod tersendiri dengan kehadiran penyokong Harimau Malaya yang melimpah ruah sehinggakan ribuan penonton terpaksa berdiri di tempat duduk terbuka. Tertanya-tanya juga saya, adakah tiket yang terjual ini melebihi kapasiti tempat duduk yang ada? Terlalu ramai yang terpaksa berdiri untuk menyaksikan perlawanan.

Apapun, sorakan dan laungan penyokong skuad negara berjaya menenggelamkan sepenuhnya kehadiran penyokong Singapura-pura. Mereka yang duduk di kawasan grand stand langsung tidak bersuara. Hanya ketika gol dijaringkan pemain import Sang Singapura-pura barulah terdengar teriakan kegembiraan. Itupun hanya seketika, maklumlah, "harimau-harimau" di sekeliling masing-masing kelihatan berwajah bengis seolah-olah mahu membaham mereka dengan rakusnya :)

Sudah semestinya malam tadi detik paling gempita adalah ketika Safee menjaringkan gol Malaysia. Keriuhan teriakan penonton menggamatkan stadium macam nak runtuh dibuatnya. Seorang Pak Haji yang berdiri dekat dengan saya yang hanya memerhati gelagat penonton lain dari mula perlawanan turut menjerit-jerit dan meloncat kegembiraan hinggakan terjatuh seketika lebai di kepalanya. Semua orang yang hanya memerhati sebelumnya turut sama menjerit walaupun entah apa-apa. Begitulah betapa hebatnya penangan sorakan 80 ribu lebih penyokong Harimau Malaya.

Khamis, 28 Julai 2011

Peringatan buat penyokong Harimau Malaya!

Harimau Bengal satu spesis dengan Harimau Malaya :p

Umum mengetahui Malaysia tewas dalam perlawanan pusingan pertama Peringkat Kedua Kelayakan Piala Dunia Zon Asia 3-5 Sabtu lalu di Singapura. Faktor kegopohan benteng pertahanan dan bermain di atas rumput tiruan adalah antara alasan yang diberikan di atas ketewasan tersebut.

Walau bagaimanapun malam ini, Harimau Malaya berpeluang untuk memulihkan semula maruah dan layak ke Pusingan Ketiga. Skuad negara hanya memerlukan kemenangan 2 - 0 untuk melangkah ke pusingan seterusnya.Walaupun secara agregate 5 -5, namun perkiraan jaringan di tempat lawan (3 gol) akan memberikan kelebihan kepada kita. 

Jika Sang Singa menjaringkan gol malam ini, ia bermakna kita perlu menjaringkan lebih dari 3 gol untuk selamat. Jadi, adalah lebih baik barisan pertahanan negara dan penjaga gol memastikan gawang negara tidak bocor. Dan barisan serangan pula WAJIB menyumbat sebanyak mungkin jaringan untuk melayakkan diri dan meraikan penyokong yang akan memenuhi segenap pelusuk stadium.



Selasa, 12 Julai 2011

Astro ingkar larangan Kabinet: Harga tetap dinaikkan bermula 11 Julai!


MENGECEWAKAN!

Itu luahan yang dapat saya nyatakan selepas menerima jawapan daripada Pegawai Khidmat Pelanggan Astro (bernama Liana) bahawa penyelarasan harga Astro (hakikatnya KENAIKAN kepada saya dan majoriti pelanggan) akan tetap diteruskan bermula dari 11 Julai 2011 mengikut surat yang telah diedarkan kepada semua pelanggannya sebelum ini.

Berulang kali saya bertanyakan kepadanya adakah pihak Astro telah mendapatkan kelulusan SKMM memandangkan Kabinet sebelum ini telah membuat ketetapan untuk tidak membenarkan kenaikan harga tersebut.

Jawapan yang diberikan adalah YA, Astro telah mendapat kelulusan dari SKMM! Apabila ditanyakan bilakah kelulusan berkenaan diperoleh, beliau memaklumkan ia sebelum dari 11 Julai lagi.

Bagi mendapatkan kepastian, saya terus menghubungi SKMM di talian 1-800-888-030 dan bercakap dengan Puan Erni. Saya memaklumkannya telah menghubungi Astro dan diberitahu bahawa SKMM telah memberikan kelulusan kepada pihak mereka untuk menaikkan harga.


Jumaat, 8 Julai 2011

Tempahan Rumah PR1MA (Program Perumahan 1Malaysia)

Posting saya terdahulu mengenai Pelancaran Program Perumahan 1Malaysia menyebabkan ramai di kalangan rakan-rakan yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenainya. 

Pelbagai soalan yang telah diajukan sama ada melalui blog ini, facebook, telefon mahupun secara lisan. Saya hanya mampu untuk menjawab berdasarkan kepada maklumat-maklumat yang diperoleh pada hari pelancaran PR1MA Isnin lalu.

Soalan yang paling famous sudah semestinya mengenai cara untuk memohon rumah di bawah PR1MA ini.



Isnin, 4 Julai 2011

Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA) untuk Golongan Berpendapatan Sederhana di Bandar


Tengahari tadi saya telah menghadiri Majlis Pelancaran Program Perumahan 1Malaysia di Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya. Uparacara perasmian dan majlis pecah tanah telah disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri.

Jika diimbas kembali, pelancaran ini sebenarnya menepati janji YAB Perdana Menteri ketika beliau menjadi tetamu undangan di HotFM pada awal Mei lalu. Ketika itu, beliau mengumumkan mengenai inisiatif kerajaan untuk membantu golongan pertengahan yang tinggal di kawasan bandar untuk memiliki rumah. Dan hari ini, kata telah dikota!

Sebelum ini, di kawasan bandar, kerajaan banyak menumpukan kepada pembinaan rumah dan bantuan perumahan untuk rakyat berpendapatan rendah seperti Program Perumahan Rakyat (PPR). Pihak swasta pula lebih menumpukan kepada pembinaan rumah mewah kerana menjanjikan pulangan lumayan. Maka dengan itu, golongan berpendapatan sederhana seolah dilepas pandang dalam isu pemilikan rumah di bandar.


Ahad, 3 Julai 2011

Karnival Usahawan Desa Zon Selatan 2011, Kuala Pilah, Negeri Sembilan (1 - 3 Julai 2011)


Pada 2 Julai 2011 telah berlangsung Majlis Perasmian Mini Karnival Usahawan Desa Zon Selatan 2011 di Stadium Mini Kuala Pilah Negeri Sembilan. Ia telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar & Wilayah, Dato Hasan Malek, yang juga merupakan Ahli Parlimen Kuala Pilah. Saya turut hadir ke majlis berkenaan bagi mewakili Bahagian. 

Perjalanan ke Kuala Pilah dari Lembah Klang sekarang ini tidak lagi berliku-liku. Ini kerana kewujudan Lebuhraya LEKAS dan jalan pintas yang memotong Bukit Putus telah menyingkatkan masa perjalanan.

Jika dulu kesesakan di sepanjang jalan berbukit di Ulu Bendul dan Bukit Putus menjadi suatu kemestian di hujung minggu tetapi sekarang jalan pintas tersebut bukan saja menyelesaikan masalah berkenaan malah menyediakan pemandangan yang indah. Menariknya, di laluan tersebut, kita juga akan melalui jambatan kedua tertinggi di Malaysia. Yang tertinggi sudah semestinya jambatan di Lebuhraya KL-Karak.


Jumaat, 1 Julai 2011

Kumpulan Inovatif dan Kreatif KKLW 2011 (Siri 1)


Selain melaksanakan Penilaian Outcome Projek Pembangunan Bahagian, saya juga telah dilantik bersama lima orang rakan lain untuk melaksanakan projek Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) tahun ini. Sama seperti Penilaian Outcome, penglibatan saya ini juga adalah untuk pertama kalinya.

KIK sebenarnya penambah baikkan kepada KMK (Kumpulan Meningkatkan Mutu Kerja). Perbezaan ketara di antara keduanya ialah KIK turut melibatkan kakitangan kumpulan Pengurusan & Profesional berbanding KMK dulu yang hanya terdiri daripada warga Kumpulan Sokongan. Secara prinsipnya, ia adalah untuk meningkatkan kerjasama berpasukan dengan menyelesaikan masalah, menambah baik atau menghasilkan pendekatan baru kerja di pejabat.

Pelaksanaan KIK tahun ini sudah semestinya dimulakan dengan taklimat oleh Urus Setia KIK di peringkat Kementerian kepada wakil-wakil Bahagian. Ia telah diadakan pada 14 April 2011 yang lalu di Institut Kemajuan Desa. Walau bagaimanapun, saya tidak hadir ke taklimat tersebut kerana terlibat dengan tugasan rasmi lain.