Selain melaksanakan Penilaian Outcome Projek Pembangunan Bahagian, saya juga telah dilantik bersama lima orang rakan lain untuk melaksanakan projek Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) tahun ini. Sama seperti Penilaian Outcome, penglibatan saya ini juga adalah untuk pertama kalinya.
KIK sebenarnya penambah baikkan kepada KMK (Kumpulan Meningkatkan Mutu Kerja). Perbezaan ketara di antara keduanya ialah KIK turut melibatkan kakitangan kumpulan Pengurusan & Profesional berbanding KMK dulu yang hanya terdiri daripada warga Kumpulan Sokongan. Secara prinsipnya, ia adalah untuk meningkatkan kerjasama berpasukan dengan menyelesaikan masalah, menambah baik atau menghasilkan pendekatan baru kerja di pejabat.
Pelaksanaan KIK tahun ini sudah semestinya dimulakan dengan taklimat oleh Urus Setia KIK di peringkat Kementerian kepada wakil-wakil Bahagian. Ia telah diadakan pada 14 April 2011 yang lalu di Institut Kemajuan Desa. Walau bagaimanapun, saya tidak hadir ke taklimat tersebut kerana terlibat dengan tugasan rasmi lain.
