Isnin, 26 September 2011

Bajet 2012: Pelarasan gaji, bonus dan senyuman Najib

Kakitangan awam diramal naik gaji lagi
Oleh S Anand Kumar

Berita baik dijangka diumum PM dalam Bajet 2012

KUALA LUMPUR: Kakitangan sektor awam dijangka sekali lagi menikmati kenaikan gaji tahun ini, dan kemungkinan perkara itu antara berita baik yang akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet 2012 di Dewan Rakyat, 7 Oktober ini.

Antara tuntutan CUEPACS sebelum ini ialah pemberian bonus dua bulan, umur persaraan dinaikkan daripada 58 kepada 60 tahun dan penghapusan Gred 1 hingga 16 dalam skim perkhidmatan bagi membolehkan kakitangan awam peringkat rendah menikmati gaji lebih tinggi. 

Bagaimanapun, sumber menyatakan masih tidak diketahui berapa peratus kenaikan gaji yang bakal diperoleh oleh kakitangan kerajaan kerana pada 2007 mereka menikmati kenaikan gaji antara 7.5 hingga 35 peratus.


Turut tidak dipastikan lagi sama ada Najib yang juga Menteri Kewangan akan memberi dua bulan bonus atau sebulan bonus saja dan ura-ura mengenai perkhabaran ini sudah tersebar dengan meluas di kalangan kakitangan awam.

Ketika pembentangan Bajet 2011 tahun lalu, bantuan khas kewangan RM500 diberikan kepada penjawat awam Gred 54 dan ke bawah termasuk pegawai kontrak dan pesara kerajaan bagi meringan beban mereka dalam menampung perbelanjaan persiapan sekolah anak-anak.

Baru-baru ini, CUEPACS yang mewakili lebih sejuta kakitangan awam di negara ini, mengemukakan beberapa cadangan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam usaha memperbaiki kebajikan anggota kerajaan di samping meningkatkan kualiti perkhidmatan awam.

Menurut sumber itu lagi, antara perubahan yang dijangka berlaku terhadap Sistem Saraan Malaysia (SSM) ialah kemungkinan membabitkan beberapa perkara seperti struktur gaji; elaun; peningkatan peluang kerjaya dan syarat perkhidmatan.

Kali terakhir semakan struktur gaji dan beberapa perkara lain secara menyeluruh membabitkan sistem sektor awam ialah pada 1992, cuma sebelum ini kerajaan beberapa kali mengumumkan pelarasan gaji.

Kita difahamkan Perdana Menteri akan mengumumkan berita baik kepada kakitangan kerajaan pada 7 Oktober ini... sudah tiba masanya untuk kerajaan melakukan satu perubahan drastik secara menyeluruh pada sektor perkhidmatan awam, katanya kepada Berita Harian, semalam.

Sebelum ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menjelaskan pelarasan gaji kakitangan awam dilakukan sebanyak enam kali dalam tempoh 15 tahun sejak 1992 hingga 2007, diberikan setiap tiga hingga lima tahun iaitu pada 1992, 1995, 2000, 2002 (dua kali) dan 2007.

Sistem Saraan Baru (SSB) dilaksanakan sejak Januari 1992, sebagai langkah strategik untuk meningkatkan keupayaan perkhidmatan awam sebelum dikaji semula dan digantikan dengan SSM.

Dalam pada itu, Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, berkata semua perkara yang dibangkitkan oleh kesatuan sekerja berkenaan kini sedang dikaji secara terperinci oleh JPA.

Melihat kepada beberapa pengumuman menarik yang dilakukan oleh Perdana Menteri sebelum ini, CUEPACS juga amat yakin bahawa beliau (Najib) akan turut membuat satu kejutan pada 7 Oktober ini, katanya

Sumber: Berita Harian Online  24 September 2011



Adakah Senyuman Lebar Perdana Menteri Isyarat Berita Baik Bagi Kakitangan Awam?

BATU GAJAH, 24 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tersenyum lebar apabila ditanya adakah kemungkinan kerajaan akan mengumumkan pemberian bonus serta kenaikan gaji kepada kakitangan awam dalam Bajet 2012.

Adakah ini petanda "berita baik" bagi kakitangan awam nanti?

"Saya punya pendirian, apa-apa yang akan diumumkan dalam Bajet tidak akan dibocorkan lebih awal lagi," katanya sambil tersenyum kepada pemberita selepas merasmikan Karnival 1Malaysia di Tanjung Tualang di sini.

Najib diminta mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Melayu hari ini yang memetik satu sumber sebagai berkata bahawa kerajaan akan mengumumkan kenaikan gaji bagi kakitangan awam dan mereka juga akan diberikan bonus dalam Bajet 2012 yang akan dibentangkan pada 7 Okt ini.

Laporan itu menyebut bahawa peratusan kenaikan gaji yang bakal diperolehi kakitangan awam masih tidak diketahui namun mereka pernah menikmati kenaikan gaji pada 2007 antara 7.5 hingga 35 peratus.

Mengulas lanjut, Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata Bajet 2012 akan memberi keyakinan kepada permintaan dalaman ekoran daripada keadaan ekonomi luar yang tidak menentu.

"Bajet ini mesti memberi keyakinan antaranya kepada permintaan dalaman, dengan persekitaran luaran yang lemah dan tidak menentu, kita perlu bersandar kepada permintaan dalaman.

"Ia mesti merangsangkan pelaburan dan membawa kepada keyakinan pengguna untuk terus berbelanja secara berhemah supaya ekonomi dalaman terus berpaksi pada permintaan kukuh sama ada dari segi pelaburan mahupun dari segi pengguna.

"Kita telah menetapkan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang baru untuk memerangi kos hidup yang semakin mahal, jadi kita sedang melihat bagaimana kita boleh terus membantu rakyat menangani kos sara hidup," katanya.

Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, yang dalam rangka lawatan sehari ke negeri Perak sejak pagi tadi tiba di pekan Tanjung Tualang pada kira-kira pukul 12.15 tengah hari dan disambut meriah oleh penduduk setempat dengan pelbagai persembahan kebudayaan.

Sumber: BERNAMA   24 September 2011


Bonus ikut kemampuan: Najib
Oleh Jalal Ali Abdul Rahim, Shamsul Kamal Amarudin dan Nurhayati Abllah

TANJUNG TUALANG: Pemberian bonus dan kenaikan gaji kepada kira-kira 1.2 juta kakitangan awam masih menjadi teka-teki apabila Datuk Seri Najib Razak, semalam enggan mengesahkan atau menafikan kesediaan kerajaan berbuat demikian dalam Bajet 2012.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata sebarang keputusan pemberian bonus dan kenaikan gaji bergantung kepada kemampuan kerajaan. 

Saya punya pendirian, apa-apa yang akan diumumkan dalam bajet tidak akan dibocorkan lebih awal lagi. Kalau kita mampu (berikan bonus dan kenaikan gaji), kita buat, kalau kita tak mampu kita tak buat, katanya selepas membuat tinjauan mesra dan merasmikan Karnival 1Malaysia Tanjung Tualang di sini, sempena lawatan turun padang sehari ke Perak, semalam. 

Hadir sama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli, beberapa Menteri Kabinet serta Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Kampar, Datuk Lee Chee Leong.

Perdana Menteri ditanya sama ada kerajaan berada dalam kedudukan berkemampuan untuk memberikan bonus dan kenaikan gaji dan elaun seperti diperkatakan beberapa pihak.

Semalam, akhbar ini melaporkan kakitangan sektor awam dijangka sekali lagi menikmati kenaikan gaji tahun ini, dan kemungkinan perkara itu antara berita baik yang akan diumumkan Najib dalam Bajet 2012 di Dewan Rakyat pada 7 Oktober ini.

Ditanya pula sama ada bajet kali ini akan memberi banyak kejutan, Najib berkata: Saya tidak tahu, tunggulah dulu, saya gemar membuat kejutan, katanya.
Perdana Menteri bagaimanapun menegaskan kerajaan melalui bajet berkenaan akan memberi tumpuan mengukuhkan permintaan dalaman berikutan persekitaran luaran yang lemah dan tidak menentu.

Kita perlu bersandar kepada permintaan dalaman, jadi bajet ini mesti merangsangkan pelaburan dan mesti membawa kepada keyakinan pengguna untuk terus belanja dengan secara berhemah supaya ekonomi domestik atau dalaman kita ini terus berpaksi kepada permintaan yang kukuh sama ada dari segi pelaburan mahupun dari segi penggunaan.

Keduanya, kita telah menetapkan NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) untuk memerangi kenaikan harga dan kos hidup rakyat, jadi kita tengah tengok bagaimana kita boleh bantu melindungi rakyat daripada kesan negatif, katanya.

Sumber: Berita Harian Online 25 September 2011


Notakaki:
Apabila YAB PM tersenyum ketika diajukan soalan, saya merasakan sememangnya akan ada pelarasan gaji dan pemberian bonus dalam pembentangan Bajet 2012. Saya ramalkan, pelarasan gaji akan berlaku pada kadar 10% hingga 25% dan bonus pula pada kadar setengah bulan gaji. Selain itu, kerangka penuh PROSPEK juga akan diumumkan bagi menggantikan PTK.

Saya juga menjangkakan dalam pembentangan Bajet 2012 pada 7 Oktober ini, YAB PM akan mengumumkan banyak kejutan kepada rakyat terutamanya berkaitan usaha untuk meringankan beban di kala menghadapi tekanan kenaikan harga barangan keperluan. Ini kerana sewaktu merasmikan Karnival Usahawan Desa 2011, selepas mengumumkan peruntukan 50 juta untuk usahawan-usawan kecil dan penubuhan Pusat Transformasi Luar Bandar di Gopeng, beliau secara berjenaka menyatakan banyak lagi pengumuman yang nak dibuatnya tapi "tunggulah 7 haribulan, semua sekali akan kita beri untuk rakyat".

Saya pasti, semua lapisan masyarakat dalam semua sektor akan diberi perhatian dalam Bajet ini. Semoga ia akan memacu semula ekonomi kita ke arah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

3 ulasan:

  1. Jika benar berita kenaikan gaji, saya mendahului dengan ucapan ribuan terima kasih kepada kerajaan khususnya YAB Datuk Seri Najib, Cuepacs dan semua pihak terlibat.

    Satu yang penting diingat ialah kenaikan harga barangan MESTI DIKAWAL dengan serius. Barulah kenaikan itu ada makna, jika tidak, apabila gaji naik hampir semua barangan akan naik, harga barangan, yuran perkhidmatan, tambang semua akan naik.

    Jangan kita jadi tukang sambut buah yang gugur, tetapi buah terjun terus masuk bakul para peniaga yang tamak haloba.

    BalasPadam
  2. Tanpa Nama 10:34, setuju. walaupun kerajaan (agensi berkaitan) tidak mampu untuk mengawal sepenuhnya kenaikan harga barang namun sekurang2nya pengawalan melalui penguatkuasaan akan membantu dalam menangani kapitalis-kapitalis tamak yang ada di negara kita.

    BalasPadam
  3. kakitangan yang mempunyai kelulusan tinggi tetapi masih berjawatan rendah perlu juga diberi perhatian oleh PM. Perkembangan pendidikan negara begitu hebat sekali, maka status KUP harus diberi kpd kakitangan awam berdasarkan kelulusan yang ada pada mereka. tindakan ini secara tidak langsung membendung pemilihan secara kuota oleh pemimpin politik.

    BalasPadam

Terima kasih kerana memberikan maklumbalas yang berkaitan dengan artikel. Kebebasan bersuara diamalkan namun ulasan yang tidak sopan akan dipadam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...