Semalam saya ada terbaca di NST Online mengenai cadangan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) untuk mengubah wajah tapak Pasar Lama Balik Pulau, yang lebih dikenali sebagai "Market Lama Kongsi" di kalangan penduduk setempat. Artikel berkenaan terus membuatkan saya tersengih sendirian kerana ia mengingatkan saya kepada saudara YB Yusmadi Yusoff, Ahli Parlimen Balik Pulau.
Kemenangan Yusmadi pada tahun 2008 sebenarnya memeranjatkan banyak pihak kerana dalam PRU 12 itu, BN melalui UMNO menyapu bersih ketiga-tiga kerusi Dewan Undangan Negeri di dalam Parlimen Balik Pulau. Beliau menewaskan seorang calon ternama, Datuk Dr Norraesah Mohamad dengan majoriti 708 undi.
Isu utama yang dimainkan pada ketika itu untuk menghentam Dr Norraesah ialah beliau digambarkan sebagai "orang luar', bukan anak Balik Pulau. Walaupun hakikatnya bekas Pengerusi Bank Rakyat itu anak kelahiran Bayan Lepas dan merupakan salah seorang AJK UMNO Bahagian namun beliau yang lebih banyak menonjol di peringkat Pusat terpaksa akur kepada penolakan bukan saja di kalangan pengundi, bahkan juga di dalam parti sendiri yang mahukan calon "tempatan".
Di awal kemenangan Yusmadi, saya sering mengikuti perkembangannya memandangkan beliau adalah wakil rakyat baru saya pada ketika itu. Saya cuba menilai idea-idea dan perancangan beliau untuk membangunkan Balik Pulau berdasarkan kepada tulisan beliau di blog, facebook dan laporan-laporan media. Ternyata Yusmadi seorang yang idealis, petah berkata-kata, sesuai dengan profesion guamannya. Itu penilaian saya di awal-awal kemenangannya dulu.
Berbalik kepada cadangan MPPP untuk mengubah wajah Market Lama Kongsi, ia sebenarnya secara langsung berkait dengan Yusmadi. Sebaik saja terbaca artikel NST itu, saya lantas membuka blog Yusmadi dan mencari "janji" beliau kepada penduduk Balik Pulau mengenai pembangunan Market Lama Kongsi. Saya temui kembali artikel beliau yang diposkan pada hari Sabtu, 6 Jun 2009.
Di dalam artikel bertajuk MUAFAKAT Kebudayaan & Warisan@Balik Pulau itu, Yusmadi menerangkan pemahamannya mengenai istilah propaganda PKR yakni Ketuanan Rakyat yang digambarkan sebagai pendekatan yang "mengangkat pandangan rakyat sebagai keutamaan yang bersifat Bottom-Up" dan gambaran kepada "particapatory democracy" di kalangan penduduk setempat. Yusmadi berjaji akan menggunakan pendekatan berkenaan "dalam segenap pembangunan di Balik Pulau".
Bagi menunjukkan kesungguhannya menghadam idealisme Ketuanan Rakyat sebagaimana yang difahami, Yusmadi "mengajurkan Pertandingan membuat cadangan/proposal untuk Pasar Lama Balik Pulau" yang dikatakannya pada ketika itu (Jun 2009) "dalam perancangan MPPP untuk dibangunkan semula selepas sekian lama diabaikan."
Saya tidak pasti berapa banyak cadangan yang diterima Yusmadi dari orang Balik Pulau dan siapa pemenang pertandingan berkenaan. Yang pasti, saya ada memberikan cadangan paling mudah kepada beliau. Robohkan saja terlebih dahulu pasar tersebut dan jadikannya sebagai tempat letak kereta. Ia akan memberikan kemudahan kepada peniaga-peniaga di sekitar Pekan Kongsi. Tangguhkan dulu cadangan-cadangan besar yang lain. Tempat letak kereta di Pekan Kongsi adalah sangat kritikal bagi mengelakkan kesesakan kerana ia adalah laluan utama ke/dari Bukit Baru (Jalan Tun Sardon). Kalau musim perayaan dan cuti sekolah, jenuh juga nak melepasi Pekan Kongsi sekarang ini.
Semalam, 9 Oktober 2012, hampir tiga tahun empat bulan selepas Yusmadi menganjurkan pertandingan berkenaan, MPPP masih lagi tercari-cari idea untuk membangunkan Market Lama Kongsi itu. ("But it is still in the early planning stage as we are keeping other options to spruce the market up open," Ooi said).
Bayangkan begitu lama tempoh yang diambil oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang untuk mencari idea bagi menyelesaikan satu isu mudah yakni Pasar Awam lama yang ditinggalkan? Itu belum hal besar-besar lain. Adakah juga idea orang Balik Pulau dan Yusmadi sendiri tidak laku di kaca mata MPPP? Oh Kerajaan Negeriku!
Sejak Yusmadi memenangi Parlimen Balik Pulau, pembangunan fizikal, prasarana dan infrastruktur biayaan Kerajaan Negeri seakan terbantut. Yang ada adalah tinggalan Kerajaan terdahulu dan biayaan Pusat. Senario ini mungkin berlaku akibat daripada "perang dingin" di antara DAP dan PKR di peringkat negeri yang kini bukan lagi rahsia.
Terdengar bisik-bisik bahawa Yusmadi sebenarnya "tidak selesa" dengan Speaker DUN Pulau Pinang, Abdul Halim Hussein yang juga merupakan Ketua Cabang PKR Balik Pulau. Halim dikatakan akan menggantikan Yusmadi bertanding di Balik Pulau dan beliau pula akan dibawa ke Lembah Kelang. Untuk lebih dekat dengan Ketua Umumnya barangkali.
Harapnya jika Yusmadi ke Lembah Kelang nanti, janganlah beliau menggunakan lagi modal berbasikal sebagaimana yang dibuatnya di Balik Pulau. Lama tak nampak tup..tup...jumpa dok kayuh basikal. Sekali sekala rakyat mengharapkan YB berada di sisi untuk mendengar luahan rasa, bukan hanya melalui wakil semata-mata. Kepetahan berkata-kata adalah satu kelebihan tetapi keupayaan mendengar itu jauh lebih bermakna.
Akhir artikel ini, saya ingin berkongsi satu jenaka yang juga membuatkan saya tersengih apabila teringatkan YB Yusmadi.
"Dulu orang kata kalau YB turun kawasan, pilihanraya dah tak lama lagi. Sekarang kalau YB mula nak posting dalam Group Balik Pulau (facebook), memang sah pilihanraya sudah nak mari!"
Persepsi saya kini terhadap YB Yusmadi? Simpan saja untuk PRU13 nanti!
Wassalam.
Salam..Tuan Mohd Zairi.. saya tinggal di Balik Pulau.. saya setuju dengan penulisan/idea tuan iaitu, robohkan shj pasar lama ini supaya menjadi tempat parking kereta berbayar..bukankah menjana pendapatan juga utk MPPP?.. ruangan tengah di Pekan Kongsi tu pada pendapat sy..elok juga jika ditanam pokok bunga untuk mengindahkan lagi landskap pekan kita...pekan yang teratur, dengan bangunan2 lama dapat jadi sumber tarikan juga... jujurnya saya penyokong PR, tetapi adalah tidak adil bagi saya jika menafikan idea2 yang menarik daripada sebelah 'sana'.. :)
BalasPadam