MEDIA RELEASE
KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA
MINISTRY OF FINANCE MALAYSIA
PELAKSANAAN PROGRAM BANTUAN RAKYAT 1MALAYSIA
(BR1M 2.0)
1. Pada pembentangan Bajet 2013 baru-baru ini, Kerajaan telah mengumumkan pemberian bantuan tunai (BR1M 2.0) kepada isi rumah dan individu bujang. Bantuan ini adalah tanda keprihatinan Kerajaan dalam usaha untuk membantu meringankan kos sara hidup serta selaras dengan peralihan kepada dasar pelaksanaan subsidi bersasar kepada golongan berpendapatan rendah.
2. Kriteria penerima BR1M tetap sama iaitu bantuan RM500 kepada ketua isi rumah yang berpendapatan kasar bulanan RM3,000 dan kebawah. Sebagai tambahan, pemberian BR1M ini diperluaskan kepada individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas (lahir pada tahun 1992 atau sebelumnya) dengan jumlah pendapatan kasar RM2,000 sebulan. Pemberian bantuan kepada individu bujang ini adalah sebanyak RM250.
3. Isi rumah yang layak memohon merujuk kepada seorang lelaki atau wanita yang menjadi ketua kepada ahli yang tinggal serumah atau ketua keluarga. Ini merangkumi individu :
- Berkahwin termasuk anak yang berkahwin dan tinggal bersama ibu bapa;
- Ibu atau bapa tunggal yang mempunyai tanggungan berumur 20 tahun dan ke bawah;
- Individu (bujang, duda, ibu tunggal) bujang yang mempunyai tanggungan berumur 20 tahun dan ke bawah (dalam rumah yang sama);
- Warga emas sebatang kara yang berumur 60 tahun dan ke atas, lahir pada tahun 1953 atau sebelumnya, dengan jumlah pendapatan kasar bulanan RM3,000 dan ke bawah.
4. Bagi individu bujang, kriteria yang layak adalah bujang termasuk Balu/Janda/Duda yang tiada tanggungan, berumur 21 tahun dan ke atas (lahir pada tahun 1992 atau sebelumnya) dengan jumlah pendapatan kasar bulanan RM2,000 dan ke bawah.
5. Bagi penerima BR1M sedia ada, mereka tidak lagi perlu mendaftar untuk kali kedua manakala pemohon baru boleh mendaftar secara atas talian atau secara manual dengan mengisi borang permohonan BR1M 2.0. Bagi penerima yang ingin mengemaskini data sedia ada seperti pertukaran alamat atau kematian ketua isi rumah perlu mendaftar semula.
6. Pendaftaran pemohonan BR1M 2.0 akan bermula pada 1 November 2012. Tarikh tutup permohonan akan diumumkan kelak. Borang-borang permohonan BR1M 2.0 boleh didapati secara percuma mulai tarikh tersebut, di Pejabat Cawangan dan Pusat Khidmat Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), Jabatan Pembangunan Persekutuan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Penerangan serta agensi-agensi Kerajaan atau dimuat turun melalui laman sesawang LHDNM : www.hasil.gov.my.
7. Pembayaran BR1M 2.0 akan dibuat kepada penerima yang layak mulai awal tahun 2013.
8. Bantuan ini dijangka dapat memberi manfaat kepada seramai 4.3 juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang. Pemberian ini melibatkan peruntukan sebanyak RM3.0 bilion.
9. Sebarang persoalan boleh dikemukakan kepada email : br1m2@treasury.gov.my atau menghubungi talian hotline 1-800-222-500 yang beroperasi dari jam 9 hingga 5 petang, Isnin hingga Jumaat bermula 1 November 2012.
Kementerian Kewangan Malaysia
30 Oktober 2012
Notakaki:
Untuk bacaan dalam format PDF, klik di sini. Untuk mendapatkan Borang BR1M 2.0, sila ke posting terkini:
011112 Borang BR1M 2.0
011112 Borang BR1M 2.0
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih kerana memberikan maklumbalas yang berkaitan dengan artikel. Kebebasan bersuara diamalkan namun ulasan yang tidak sopan akan dipadam.