Semalam saya ada terbaca di NST Online mengenai cadangan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) untuk mengubah wajah tapak Pasar Lama Balik Pulau, yang lebih dikenali sebagai "Market Lama Kongsi" di kalangan penduduk setempat. Artikel berkenaan terus membuatkan saya tersengih sendirian kerana ia mengingatkan saya kepada saudara YB Yusmadi Yusoff, Ahli Parlimen Balik Pulau.
Kemenangan Yusmadi pada tahun 2008 sebenarnya memeranjatkan banyak pihak kerana dalam PRU 12 itu, BN melalui UMNO menyapu bersih ketiga-tiga kerusi Dewan Undangan Negeri di dalam Parlimen Balik Pulau. Beliau menewaskan seorang calon ternama, Datuk Dr Norraesah Mohamad dengan majoriti 708 undi.
Isu utama yang dimainkan pada ketika itu untuk menghentam Dr Norraesah ialah beliau digambarkan sebagai "orang luar', bukan anak Balik Pulau. Walaupun hakikatnya bekas Pengerusi Bank Rakyat itu anak kelahiran Bayan Lepas dan merupakan salah seorang AJK UMNO Bahagian namun beliau yang lebih banyak menonjol di peringkat Pusat terpaksa akur kepada penolakan bukan saja di kalangan pengundi, bahkan juga di dalam parti sendiri yang mahukan calon "tempatan".

