Sabtu, 27 Ogos 2011

Mengapa SKMM masih membisu kenaikan caj Astro walaupun diarah Kabinet untuk mengambil tindakan?

 
Kelmarin, buat kali kedua, saya menerima bil Astro yang mengenakan caj baru yang lebih tinggi selepas pelarasan harga yang mereka laksanakan bermula 11 Julai 2011. Saya percaya, rakan-rakan lain yang turut melanggan Astro telah ataupun bakal menerima bil kedua berkenaan.

Saya sebenarnya amat kecewa dengan SKMM yang gagal menangani isu kenaikan harga ini walaupun telah diarahkan Kabinet untuk mengambil tindakan terhadap Astro kerana ia membebankan pengguna.

Sebelum ini, telah beberapa kali saya hubungi talian aduan SKMM untuk mengetahui status semasa tindakan mereka namun alasan retorik yang senantiasa didendangkan oleh Pegawai Khidmat Pelanggannya ialah, "Perkara berkenaan sememangnya dalam perhatian kami" dan "SKMM masih berbincang dengan Astro".

Bosan dengan penantian yang tiada kesudahan dan ditambah pula dengan ketibaan bil kedua, saya mengemukakan aduan rasmi melalui laman web mereka http://aduan.skmm.gov.my/. Mungkin kerana ketiadaan aduan rasmi sebelum ini menyebabkan SKMM membisu dan seolah-olah acuh tidak acuh untuk mengambil tindakan terhadap Astro.

Berikut merupakan huraian masalah dan tuntutan (seperti dalam gambar di atas) yang saya kemukakan  kepada SKMM.

Huraian Masalah:
Sejak 11 Julai lalu, Astro telah melaksanakan penyelarasan harga yang mengakibatkan kenaikan caj langganan kepada majoriti penggunanya termasuk saya. Kenaikan harga ini menyalahi larangan Kabinet yang mengarahkan SKMM mengambil tindakan keatas Astro.

Susulan dari larangan itu, Astro tampil menyatakan bahawa mereka sebenarnya telah mendapat kelulusan SKMM dan arahan Kabinet itu tidak sah.

Kenyataan Astro itu seterusnya dibalas oleh SKMM melalui satu kenyataan (http://www.hmetro.com.my/articles/PenjelasanSKMMmengenaiisuAstro/Article) yang menyatakan YB Menteri Penerangan, Komunikasi & Kebudayaan mempunyai kuasa "untuk campur tangan dalam menentukan harga setiap perkhidmatan yang ditawarkan demi untuk kepentingan orang ramai" melalui Seksyen 199 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Walau bagaimanapun, sehingga ke hari ini, SKMM masih membisu dan tidak mengambil tindakan yang memuaskan hati pelanggan selaras dengan larangan Kabinet seolah SKMM menyokong kenaikan caj Astro. 

Tuntutan:
1. SKMM mengeluarkan kenyataan rasmi dalam media massa bahawa kenaikan harga Astro bermula 11 Julai 2011 tidak sah selaras dengan larangan kabinet.

2. Astro mengekalkan semula kadar caj langganan lama kepada pelanggannya.

3. Astro memulangkan semula wang yang telah dicaj mengikut kadar baru kepada pelanggannya.

4. Mengenakan tindakakan sewajarnya terhadap Astro kerana melanggari arahan Kabinet.

5. SKMM lebih prihatin dan memahami keresahan rakyat mengenai kenaikan harga oleh Astro.

Saya amat berharap agar perkara ini segera diselesaikan SKMM memandangkan Kabinet sendiri telah menunjukkan keprihatinan dengan berpendirian bahawa caj baru Astro ini membebankan pelanggannya.

Jika aduan saya mengenai kewujudan group mempromosi murtad di dalam facebook dijawab dengan ketidakupayaan menanganinya kerana di luar bidang kuasa SKMM, jangan pula kenaikan harga oleh Astro ini dijawab dengan jawapan yang sama. Tak relevan SKMM dibuatnya!

Wassalam.

2 ulasan:

  1. apa susah....terminate jer astro....abis cerita...tak der faedah pun tgk astro...kita langgan pulak unifi(TM) punya lagi murah....siap internet sekali....lagi pun yang ni telekom punya....astro sapa punya???

    BalasPadam
  2. Mengharap RedhaMU, saya percaya, setiap orang yang melanggan Astro punyai alasan tersendiri. contohnya, sy melanggan kerana bola sepak (tiada dalam pakej Unifi). zaman bujang ok la lepak mamak layan ramai-ramai tapi bila dah berkeluarga, nak tinggalkan rumah tengah-tengah malam semata-mata untuk tengok bola bukan lagi satu pilihan.

    BalasPadam

Terima kasih kerana memberikan maklumbalas yang berkaitan dengan artikel. Kebebasan bersuara diamalkan namun ulasan yang tidak sopan akan dipadam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...