Jumaat, 16 Disember 2011

Baucar Buku 1Malaysia untuk Mahasiswa sah dari 1 Jan hingga 31 Mac 2012


Alhamdulillah. Pemberian terkini dari kerajaan kepada golongan mahasisawa dan pelajar Tingkatan 6. Semoga ia dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan prestasi dalam pelajaran.


PUTRAJAYA, 16 Dis (Bernama) -- Baucar buku RM200 untuk pelajar institusi pengajian tinggi mulai tahun depan akan dilengkapi pelbagai ciri keselamatan bagi mengelak ia dipalsukan.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata baucar itu dicetak oleh Percetakan Nasional Malaysia Berhad, dan ciri-ciri keselamatan yang sama boleh didapati pada baucar RM500 untuk isi rumah yang berpendapatan bawah RM3,000 sebulan.

"Duit pun orang boleh cetak sendiri inikan pula baucar," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran CoE Berpotensi 2011 di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata semua warga negara yang berdaftar sebagai pelajar aktif untuk tempoh Januari-Mac tahun depan di institusi pengajian tinggi awam dan swasta, politeknik dan pelajar Tingkatan Enam, sama ada sepenuh atau separuh masa layak, mendapat baucar itu, yang tempoh sah lakunya adalah dari 1 Jan hingga 31 Mac tahun depan.


Beliau berkata ia boleh ditebus di semua kedai buku yang menyertai program tersebut dan hendaklah digunakan bagi membeli buku-buku akademik, jurnal, majalah ilmiah dan peralatan pembelajaran berdasarkan keperluan pengajian masing-masing.

Dalam ucapannya Mohamed Khaled berkata melalui Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang akan dilaksanakan mulai 1 Jan depan, Skim Perkhidmatan Pensyarah Farmasi (DUF) akan diwujudkan, yang bersamaan dengan Skim Perkhidmatan Pensyarah Universiti di mana gaji permulaan adalah pada tangga gaji DUF 1-3 dan kenaikan pangkat adalah sehingga ke Gred Khas Turus 1 dengan menggunakan kriteria kenaikan pangkat yang sama dengan pensyarah universiti.

Beliau berkata ia bagi memastikan kenaikan pangkat pensyarah farmasi setanding dengan kenaikan pangkat pegawai farmasi di Kementerian Kesihatan, dan bagi mendapatkan lebih ramai calon menyertai perkhidmatan pensyarah di bidang farmasi serta bagi mengekalkan yang sedia ada.

Mohamed Khaled berkata gred lantikan permulaan bagi Pensyarah Perubatan dan Pergigian dinaikkan daripada Gred DU/DUG 45 kepada DU/DUG 51 yang dipercayai dapat menarik lebih ramai graduan menceburi kerjaya pensyarah perubatan dan pergigian selain memastikan pensyarah sedia ada terus kekal berkhidmat di institusi pengajian tinggi awam. -- BERNAMA

Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana memberikan maklumbalas yang berkaitan dengan artikel. Kebebasan bersuara diamalkan namun ulasan yang tidak sopan akan dipadam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...