Jumaat, 14 Oktober 2011

Pekeliling mewajibkan penggunaan Bahasa Melayu dalam urusan rasmi kerajaan akan dikeluarkan


Kerajaan keluar pekeliling urusan rasmi penjawat awam mesti guna bahasa kebangsaan

DURIAN TUNGGAL: Semua penjawat awam diwajib menggunakan bahasa kebangsaan dalam segala urusan rasmi dan pentadbiran kerajaan termasuk ketika bermesyuarat, surat-menyurat atau seminar. 

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Kabinet bersetuju dengan keputusan itu bagi memantapkan peranan bahasa Melayu selain memperkasakannya sebagai bahasa ilmu. "Bagi memastikan arahan ini dipatuhi, Pekeliling Perkhidmatan berkaitan Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam akan dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam," katanya ketika melancarkan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat kebangsaan 2011 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini, semalam. 


Beliau berkata, sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan adalah sebahagian daripada rantaian perjuangan yang panjang dalam memartabatkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan di negara ini. 

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut meminta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memainkan peranan penting memperkasakan bahasa kebangsaan dalam segala urusan syarikat. “GLC sewajarnya mempelopori usaha menyokong agenda nasional untuk memartabatkan bahasa kebangsaan dalam bidang berkaitan perbankan, kewangan, perdagangan, perniagaan, pembuatan dan lain-lain perkhidmatan,” katanya. 

 Katanya, Malaysia wajar mencontohi sikap beberapa negara maju dan sedang berkembang maju yang tidak meminggirkan bahasa kebangsaan masing-masing, meskipun masih mementingkan penguasaan bahasa Inggeris. Malah, katanya, daripada lapan ekonomi gergasi dunia iaitu negara G7, dan China, hanya tiga negara iaitu Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kanada yang rakyatnya berbahasa Inggeris. 

Rakyat Kanada juga sebahagiannya berbahasa Perancis manakala di United Kingdom sebahagian rakyatnya berbahasa Welsh, Scottish dan Irish. “Di Brazil, Russia, India dan China (BRIC) iaitu negara yang berada pada tahap kemajuan ekonomi paling rancak, hanya India tidak mengekalkan bahasa sendiri. Kebanyakan negara Nordik yang maju, juga mengekalkan bahasa masing-masing. 

 “Daripada empat negara Ekonomi Perindustrian Baru Asia Timur, hanya Singapura tidak mengekalkan bahasa ibunda. Jika kita teliti perkembangan negara-negara berkenaan, kita dapati bahasa Inggeris adalah bahasa penting tetapi bukanlah satu-satunya bahasa yang menjamin kemajuan. 

 “China tidak menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikannya semata-mata kerana mahu meraih laba globalisasi. Mereka menyanjungi bahasa kebangsaan mereka dan menghormati bahasa kebangsaan negara lain,” katanya



Notakaki:
Teringat perbualan saya dengan seorang saudara dulu yang pernah berkhidmat dalam perkhidmatan awam (sekarang sudah pencen). 

Katanya, dulu, jika ada surat yang dihantar ke pejabat kerajaan dari organisasi dalam negara atau dari warganegara Malaysia sendiri yang menggunakan bahasa selain dari Bahasa Melayu, ia akan dikembalikan tanpa sebarang tindakan.

Begitu hebat sekali semangat nasionalis (boleh dikatakan begitu?) di kalangan ketua-ketua jabatan dan kakitangan awam pada masa tersebut. Tiada pekeliling yang dikeluarkan untuk mengarahkannya namun ia sudah menjadi kebiasaan kerana perasaan cintakan Bahasa Kebangsaan kita, Bahasa Melayu.

Hari ini, apabila TPM menyatakan pihak JPA akan mengeluarkan pekeliling khusus yang akan mewajibkan penggunaan Bahasa Melayu dalam urusan rasmi sektor awam, saya melihat, kepimpinan negara telah membuka mata bahawa ada segelintir penjawat awam lebih gemar menggunakan Inggeris ketika menjalankan tugas. Dan ia adalah realiti!

Bagi saya, sekiranya sebarang urusan termasuk surat menyurat dan mesyuarat yang melibatkan syarikat-syarikat swasta yang beroperasi di Malaysia (apatah lagi sesama jabatan kerajaan) ia wajib dilaksanakan dalam Bahasa Melayu. 

Lainlah jika kita berurusan dengan syarikat-syarikat atau individu-individu dari luar negara. Ini sesama jabatan kerajaan pun menggunakan bahasa Inggeris untuk mesyuarat dan pelaksanaan bengkel. Bukankah menampakkan kejanggalannya?

Langkah ini wajar dipuji. Walaupun pihak yang skeptikal akan melihat ia sebagai pilihan yang terkebelakang namun secara peribadi, saya amat menyokong demi untuk kelangsungan hayat Bahasa Melayu.

Jika ada pihak yang mendakwa ia akan menyebabkan warganegara yang tidak tahu berbahasa Melayu sukar untuk berurusan di pejabat-pejabat kerajaan, ia hanyalah satu alasan. 

Kita telah 54 tahun merdeka. Sepatutnya hari ini, tiada lagi mereka yang bergelar warganegara Malaysia tidak tahu berbahasa Melayu. 

Dalam Perlembagaan, Bahasa Melayu bukan hanya diletakkan sebagai Bahasa Kebangsaan malah dalam hal kewarganegaraan pun ada menekankan mengenai keperluan berbahasa Melayu untuk mereka yang ingin menjadi warganegara Tanah Melayu dulu (kini Malaysia). 

Misalnya, Perkara 16: Kewarganegaraan melalui pendaftaran yang menyaratkan individu yang ingin menjadi warganegara Tanah Melayu mesti "d. bahawa dia mempunyai pengetahuan asas bahasa Melayu". Perkara 16A juga turut menekankan syarat sedemikian.

Mungkin dek kerana semangat perlembagaan ini tidak diturunkan ke generasi-generasi selepas pembentukan Tanah Melayu dan Malaysia oleh mereka yang menjadi warganegara hasil dari kewujudan Perkara 16 dan selainnya, maka sebab itu Bahasa Melayu tidak dilihat sebagai sesuatu yang penting untuk dipelajari. Jadi, langkah kerajaan ini adalah tepat untuk sekurang-kurangnya menunjukkan komitmen kerajaan untuk menampakkan kepentingan Bahasa Melayu.

Semoga, usaha kerajaan ini akan meningkatkan semula martabat Bahasa Melayu ke tempat sepatutnya sejajar dengan kedudukannya sebagai Bahasa Kebangsaan.

Wassalam.

1 ulasan:

  1. Memang terdapat ramai yang berstatus warganegara Malaysia yang tidak tahu atau tidak tahu langsung berbahasa kebangsaan atau Bahasa Malaysia. Itu yang menimbulkan curiga tentang status kewarganegaraan mereka. Kemungkinan besar juga Lagu Negaraku juga tidak tahu. Golongan seperti ini sepatutnya dilucutkan status kewarganegaraan sehingga dapat mencapai tahap pengetahuan asas Bahasa Malaysia.

    BalasPadam

Terima kasih kerana memberikan maklumbalas yang berkaitan dengan artikel. Kebebasan bersuara diamalkan namun ulasan yang tidak sopan akan dipadam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...