Selasa, 28 Jun 2011

ASTRO contoh terbaik kapitalis tamak di Malaysia!


Membaca surat yang baru diterima semalam dari Liew Swee Lin, Ketua Pegawai Pemerdagangan Astro mengenai kenaikan harga langganan pakej yang dilanggan dari RM 71.95 ke RM 82.95 amat menyakitkan hati.

Surat ini sebenarnya menampakkan sikap angkuh dan bongkak Astro yang tidak mempedulikan kelulusan yang seharusnya mereka perolehi terlebih dahulu dari SKMM untuk menaikkan harga. Perkara ini menyebabkan Menteri Penerangan sendiri terpaksa untuk mengeluarkan kenyataan bahawa notis yang dikeluarkan Astro itu sebagai TIDAK SAH!

Kenaikan harga Astro ini bukan saja ditentang oleh rakyat kebanyakan dan NGO-NGO malah turut dibahaskan di Parlimen. Semua peringkat lapisan rakyat nampaknya sudah bosan dengan sikap tamak Astro yang secara semberono mahu menaikkan harga.

Jika dibaca surat oleh Swee Lin, alasan kenaikan harga ini adalah “akibat tekanan kos yang berterusan, termasuk kos kandungan global dan tempatan serta hak-hak siaran


Saya merasakan alasan yang diberikan adalah terlalu dangkal. Ia semata-mata diberikan untuk menghalalkan tindakan mereka!

Kita boleh melihat bagaimana kandungan program Astro sama ada dari luar atau tempatan tak henti-henti diulang-ulang, berkali-kali sehingga bosan. Sekali bayar kepada pembekal program lepas tu ulang berkali-kali dikira sebagai peningkatan kandungan global? Itu yang menyebabkan tekanan harga?

Begitu juga dengan monopoli sepenuhnya ke atas hak penyiaran EPL, bukan saja di Malaysia malah di Indonesia, Singapura, Brunei dan beberapa Negara yang lain. Itu juga dikatakan sebagai tekanan yang diterima Astro untuk membolehkan harga dinaikkan? Bukankah monopoli ini menyebabkan Astro tiada langsung pesaing?

Walaupun Astro cuba memberikan peluang kepada pelanggan untuk memilih sendiri pakej yang dikehendaki namun tindakan meletakkan dua pakej mini sebagai WAJIB sekiranya mahu melanggan pakej sukan adalah berniat untuk memperbodohkan pelanggan!

Ini kerana ia tidak memberikan apa-apa perubahan kepada harga yang perlu dibayar pelanggan! Harganya TETAP NAIK! Tiada beza!

Saya berpandangan, Astro sebenarnya langsung tidak mahu keuntungan mereka menurun. Bagi mereka, untung yang berkurangan sebenarnya adalah satu kerugian.

Istilah rugi bagi kapitalis-kapitalis tamak seperti Astro ialah keuntungan yang diperoleh rendah dari apa yang diperolehi sebelum ini. Mereka tidak melihat kerugian sama seperti orang lain, pendapatan kurang dari harga kos.

Astro wajar memperbaiki terlebih dahulu prestasi mereka terutamanya siaran yang tergendala ketika hujan sebelum menjarah wang pelanggan. Fikirkan juga tanggungjawab sosial kepada masyarakat setelah bertahun-tahun untung berjuta-juta. Apa salahnya untung kurang sedikit? Bukannya rugi langsung!

SKMM perlu melihat isu ini dengan serius. Memberikan alasan pengguna mempunyai pilihan untuk tidak melanggan Astro tidak wajar dicanangkan. Ia hanya akan menampakkan kelemahan SKMM untuk mengambil tindakan terhadap mereka.

Di kala kerajaan mahukan rakyatnya kaya dengan maklumat dari pelbagai saluran, jangan pula disuruh hentikan langganan Astro sebagai satu langkah penyelesaian. Bukankah itu satu langkah terkebelakang?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana memberikan maklumbalas yang berkaitan dengan artikel. Kebebasan bersuara diamalkan namun ulasan yang tidak sopan akan dipadam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...