Selasa, 21 Jun 2011

Penilaian Outcome Projek Pembangunan 2011 – Siri 1

Tahun ini saya bersama Puan Amilia, Puan Liana dan Cik Anisah telah diamanahkan untuk melaksanakan Penilaian Outcome Projek Pembangunan Bahagian. Ini merupakan pengalaman pertama saya terlibat dalam penilaian outcome.

Maklumlah, sebelum ini di Kementerian lama saya lebih menjaga hal ehwal dalaman berbanding sekarang yang terlibat secara langsung dengan program pembangunan di luar bandar. Oleh sebab itu, tidak banyak yang saya ketahui mengenai proses-proses dan perkara-perkara yang perlu dilakukan dalam penilaian outcome.

Keterlibatan bermula apabila Setiausaha Bahagian menamakan saya untuk menghadiri Bengkel Penilaian Outcome Projek Pembangunan yang dianjurkan oleh Urus setia di Peringkat Kementerian di KEDA Resort, Kampung Bendang Man, Kedah pada 22 hingga 24 Mac 2011. Bengkel ini saya hadiri bersama Anisah.


Sebelum menghadiri bengkel ini lagi, pihak urus setia telah meminta kepada kami untuk membawa bersama-sama beberapa tajuk yang dicadangkan. Terus terang saya katakan, sepanjang berada dalam perjalanan dari pejabat ke KEDA Resort baru saya memikirkan tajuk yang akan dicadangkan. Bukan apa, sebenarnya saya dan Cik Anisah tak berapa nak clear penilaian outcome tu apa!

 Penilaian Outcome Terbaik 2010 KKLW: PSK Toh Pawang

Bengkel berkenaan bermula dengan kami dibawa ke tapak Penempatan Semula Kampung Toh Pawang, Kuala Muda. Lawatan ini dibuat memandangkan ia adalah penilaian outcome terbaik pada tahun lalu. Selain itu, kami juga sempat singgah di tapak Projek Tanaman Herba dan Kopi di Charuk Tualang, Sik, Kedah yang diselia KEDA. 

Menariknya di sini, kami dapat melihat bagaimana proses air mineral disedut dari perut bumi sehinggalah dibotolkan untuk dipasarkan. Kira first time la kami para peserta dapat minum air mineral fresh dari perut bumi :)

Inilah acuan asal sebelum dimasukkan ke dalam mesin membentuk botol mineral

 Rumah Pam. Tempat sedut air mineral dari dalam tanah.

 Mesin yang digunakan untuk mengisi air mineral ke dalam botol

 Air mineral "segar" yang telah siap untuk dilabelkan

Selain lawatan, kami turut mendengar ceramah yang disampaikan oleh Pengarah Bahagian Penilaian Outcome ICU mengenai tatacara dan prosedur pelaksanaannya. Kami juga dibentangkan dengan 3 projek terbaik di peringkat kementerian tahun lalu. Banyak input yang diperoleh daripada pembentangan ini.

Para peserta juga telah dipecahkan kepada tiga kumpulan kecil untuk membincangkan secara spesifik mengenai tajuk-tajuk yang dibawa. Setiap kumpulan dipandu arah oleh seorang panel. Dan ketika sesi ini, saya masih tak keruan untuk menetapkan tajuk yang jelas walaupun berbincang dengan Anisah. Bukan tidak ada tajuk yang dicadangkan, ada. Tetapi apabila mendengar tajuk-tajuk GEMPAK dari rakan-rakan agensi lain ia membuatkan kami terkesima. Heheheh

Kursus berakhir dengan jayanya namun saya dan Anisah belum mempunyai tajuk khusus untuk pelaksanaan penilaian outcome yang akan dilaksanakan. Skop dah nampak, tapi tajuk yang sesuai belum menjelma tiba.

Saya akan menceritakan apa yang berlaku selepas mengikuti bengkel dan sesi kerja lapangan bersama rakan-rakan Pengurus Medan Infodesa untuk penilaian outcome ini dalam siri seterusnya.

Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana memberikan maklumbalas yang berkaitan dengan artikel. Kebebasan bersuara diamalkan namun ulasan yang tidak sopan akan dipadam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...