Rabu, 23 Januari 2013

Amanat Tahun 2013 Ketua Setiausaha Negara kepada Penjawat Awam


Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia

Yang dihormati Ketua-ketua Setiausaha Kementerian,
Ketua-ketua Jabatan,
Penjawat-penjawat Perkhidmatan Awam Malaysia,
YBhg.Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’,
Datin-datin,
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.


PENDAHULUAN

1. Alhamdulillah, saya panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, telah mengizinkan kita untuk hadir dalam perhimpunan ini. Saya juga merasa amat gembira kerana dapat bertemu dengan para pegawai dan kakitangan kumpulan pelaksana yang selama ini menjadi tonggak dan nadi perkhidmatan awam yang kita cintai. Tidak terlewat juga untuk saya mengucapkan ‘Selamat Tahun Baru’ 2013 kepada semua penjawat awam, sama ada yang berkhidmat di dalam, mahupun di luar negara.


PEMANTAPAN SAHSIAH PENJAWAT AWAM
Para hadirin yang dihormati, 

2. Perkhidmatan awam merupakan tonggak utama kepada pentadbiran negara. Sebagai tulang belakang kepada pentadbiran Negara, kita telah berjaya mentransformasikan sebuah negara pertanian berpendapatan rendah menjadi sebuah negara berpendapatan sederhana tinggi yang kini berpacu pantas merealisasikan impian menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 kelak. InsyaAllah. Apabila YAB Perdana Menteri kita menggariskan tujuh hala tuju penjawat awam bagi 2013 baru-baru ini,ia memberikan signal yang sangat jelas bahawa perkhidmatan awam menjadi fokus paling dasar dalam memastikan Agenda Transformasi Negara menjadi realiti.

3. Sebelum kita melangkah lebih jauh dalam memacu pembangunan negara, perkara paling asas adalah untuk memantapkan sahsiah penjawat awam sehingga sampai ke satu tahap yang lebih membanggakan. Justeru, di sinilah penjawat awam perlu fokus dalam mengembleng usaha bagi merealisasikan Wawasan 2020, berpaksikan Dasar Transformasi Nasional. Setiap perkara yang membuahkan manfaat dan kebaikan yang berpanjangan tidak mungkin datang bergolek tanpa melalui jalan yang berliku, bak kata pepatah “kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.”

4. Oleh itu, sebagai penjawat awam kita harus bersifat waja di samping memperkukuhkan perpaduan dan jati diri agar dapat meningkatkan keupayaan diri untuk terus mendokong kejayaan dasar-dasar negara. Kejayaan Dasar Transformasi Nasional termasuk Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP), Model Baru Ekonomi (MBE), dan Rancangan Malaysia Ke-10 setakat hari ini telah terbukti melahirkan impak yang berkesan serta mendatangkan kepuasan kepada rakyat, dan secara langsung ia memberi suntikan besar kepada pertumbuhan ekonomi negara.

5. Namun yang demikian, penjawat awam tidak boleh lari dari berhadapan dengan ancaman-ancaman dan cabaran-cabaran sama ada dari dalam ataupun luar yang berpotensi untuk mengancam kejayaan dasar-dasar dan juga kedaulatan negara. Cabaran sebegini hanya mampu ditangani oleh penjawat awam yang bermoral dan beretika, serta teguh berpegang kepada nilai agama, mempunyai jati diri yang tinggi, berfikiran luas, berani, yakin, bijaksana dan dinamik. Sifat-sifat sebegini perlu ada pada kita semua kerana kita bukan sahaja perlu bijak dalam menganalisis sesuatu masalah sedia ada, tetapi pada masa sama dapat mengenal pasti dan menjangka pelbagai masalah yang bakal timbul lalu membina pendekatan ke arah penyelesaian masalah tersebut.

6. Penjawat awam juga hendaklah bijak untuk menjelas, menghurai, mengembang dan mempertahankan gagasan kepimpinan yang beradab, berakhlak, berbudaya ilmu, progresif dan dinamik agar seiring dengan maksud dan tujuan yang terkandung dalam Wawasan 2020. Bagi membolehkan gagasan ini diperkasa dan dimanifestasikan dalam amalan kepimpinan perkhidmatan awam, kita memerlukan perkembangan budaya ilmu di kalangan penjawat awam. Budaya ilmu ini mempunyai kekuatan untuk membolehkan seseorang itu bergerak dalam pengarahan yang jelas dan kental ke arah mencapai matlamat yang lebih sempurna.

7. Budaya ilmu juga dapat memberi kita kekuatan dalam menghasilkan keputusan yang bijaksana dan memahami prinsip keutamaan dalam menangani persoalan masyarakat, mempertingkatkan kepekaan terhadap isu-isu penting dan menyumbang kepada lahirnya pemikiran yang berperspektif luas. Sehubungan dengan itu, organisasi-organisasi awam perlulah memupuk budaya ilmu ini dengan berusaha ke arah membina tradisi kecemerlangan berterusan di kalangan warga organisasi serta menyemai dan merangsang perkembangan intelek di kalangan warganya dalam usaha mewujudkan organisasi yang berilmu. Saya juga akan memastikan bahawa kandungan pengisian kursus-kursus jangka pendek dan panjang yang ditawarkan oleh institusi-institusi latihan awam menepati dan bertepatan dengan arus terkini Dasar Transformasi Nasional.


BERFIKIRAN MELANGKAUI KEBIASAAN

8. Mendepani kehendak pelanggan dan rakyat yang semakin meningkat dan mencabar pada masa kini, perkhidmatan awam memerlukan penjawat awam yang boleh “berfikir” dan apabila menyebut “boleh berfikir”, ia bukanlah berfikiran biasa tetapi lebih kepada fikiran yang melangkaui kebiasaan. Kadang kala kita perlu berfikir di luar kotak pemikiran biasa (think out of the box) bagi mencari jalan yang terbaik untuk menyelesaikan sesuatu permasalahan atau kelemahan yang ada. Matlamatnya adalah supaya pelanggan merasa seronok berurusan dengan Kerajaan, berpuas hati dengan perkhidmatan yangdiberikan serta menyanjung tinggi sikap responsif dan keprihatinan yang kita amalkan. Sesungguhnya kepuasan pelanggan merupakan sesuatu yang perlu diutamakan selaras dengan Gagasan 1Malaysia: “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.”


MERAKYATKAN PERKHIDMATAN AWAM MELALUI AMALAN TURUN PADANG
Para hadirin yang dihormati sekalian,

9. Bagi mereka yang mengepalai sesebuah organisasi, anda haruslah sentiasa sedar bahawa tanggungjawab yang diamanahkan berkisar kepada soal membuat keputusan yang adil dan tepat, yang boleh mendatangkan hasil yang sempurna. Pepatah ada menyebut, “Awal dibuat, akhir diingat,” yang bermaksud, kerja yang hendak dibuat perlulah difikirkan masak-masak supaya pelaksanaan sesuatu tugas berjalan sempurna. Dalam hubungan ini, saya percaya bahawa pendekatan ‘Turun Padang’ merupakan satu kaedah terbaik dalam usaha merapatkan jurang antara kerajaan dan rakyat dan juga antara ketua dan anak-anak buah yang menjadi tulang belakang dalam melaksanakan dasar-dasar yang telah digubal.

10. Sehubungan itu, saya menggesa semua Ketua-ketua Jabatan supaya menghayati konsep “Merakyatkan Perkhidmatan Awam” yang saya dukung semenjak menerajui pimpinan perkhidmatan awam ini. Melalui program ‘Turun Padang’ Ketua-ketua Jabatan dapat menilai serta merasai sendiri pengalaman dan permasalahan yang dilalui oleh anak buah agar pelaksanaan sesuatu dasar mencapai sasaran yang ditetapkan dan impak yang terhasil memenuhi harapan rakyat. Perkhidmatan yang diberikan oleh penjawat awam di negara ini perlulah yang terbaik kerana penjawat awam itu sendiri merupakan sebahagian daripada pelanggan kepada perkhidmatan yang diberikan.

11. Alhamdulillah, sejak saya berada di jawatan ini, saya telah turun padang ke hampir seluruh pelusuk negara dan bertemu dengan warga perkhidmatan awam di peringkat negeri. Pada tahun ini, saya berhasrat untuk mempergiatkan proses musyawarah (engagement) dengan mengadakan lawatan turun padang ke Kementerian dan Agensi yang masih belum saya lawati. Selain dari itu, saya juga berhasrat membudayakan amalan turun padang ke lokasi penduduk, pusat-pusat operasi, kaunter-kaunter perkhidmatan dan lawatan tapak bagi mendapatkan maklumat serta melihat keadaan sebenar di peringkat akar umbi di samping memantau pelaksanaan projek-projek serta program-program kerajaan. 

12. Sebagaimana sedari mula dulu telah saya nyatakan bahawa saya mengamalkan dasar kepimpinan terbuka, jujur, ikhlas serta berterus terang dalam semua urusan di pelbagai peringkat penjawat awam, begitu juga saya harapkan kepada semua Ketua Jabatan, agar seiringan menggarap ciri-ciri sedemikian dan berusaha mengambil berat kebajikan penjawat awam di bawah tanggung jawab tuan-tuan dan puan-puan dengan mendasari aspek hubungan kemanusiaan dan keprihatinan.


MENGOPTIMUMKAN PENGGUNAAN MEDIA SOSIAL

13. Dalam ledakan teknologi terkini, media sosial terbukti berkesan merapatkan jurang antara Kerajaan dengan rakyat. Melalui media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram, pelbagai pandangan dari rakyat dapat terus disalurkan kepada kerajaan, tanpa melalui kerenah birokrasi yang sering menghampakan kepada si pengadu. Bagaimanapun media sosial seperti ini tidak harus digunakan untuk tujuan-tujuan negatif seperti menghamburkan kata-kata kesat kepada kerajaan tetapi harus digunakan sebaik mungkin untuk menyalurkan aduan demi kepentingan rakyat termasuk juga penjawat awam. Apa yang penting di dalam sesuatu aduan itu biarlah dijelaskan butiran pengadu supaya tindakan sewajarnya dapat diambil. Saya ingin menggalakkan agar Ketua-ketua Jabatan mewujudkan akaun media sosial masing-masing bagi berhubung terus dengan penjawat awam, stakeholders, dan juga rakyat. 


PROAKTIF DALAM MELAKSANAKAN DASAR-DASAR YANG TELAH DIPUTUSKAN OLEH KERAJAAN

14. Saya turut berharap agar semua penjawat awam lebih peka dan responsif atau dalam erti kata lain, pro-aktif dalam melaksanakan dasar-dasar yang telah diputuskan oleh Kerajaan.Ini kerana, sebaik mana pun dasar-dasar yang digubal Kerajaan dansebanyak mana pun manfaat yang dibawa oleh dasar-dasar berkenaan tidak akan bermakna, jika pelaksanaannya tidak berkesan atau tidak cekap. Justeru, peranan para penjawat awam sebagai pelaksana dasar amatlah penting.

15. YAB Perdana Menteri semasa membentangkan Bajet 2013, telah mengumumkan 111 touch-points melalui penjanaan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat. Dalam hal ini, sokongan dan kerjasama di semua peringkat tidak mengira sama ada ketua jabatan, pegawai pengurusan mahupun kumpulan pelaksana amatlah diharapkan dalam memastikan kelangsungan serta kelancaran pelaksanaan keputusan-keputusan tersebut, agar matlamatnya tercapai dengan jayanya. Sewajarnya, sebagai penjawat awam yang prihatin dengan wawasan Kerajaan ini, hendaklah bertindak lebih proaktif untuk memudahkan dan bukan menyusahkan (to facilitate not frustrate or irritate).


MEMANGKIN DASAR TRANSFORMASI NASIONAL KE ARAH PERKHIDMATAN AWAM YANG LEBIH JITU
Para hadirin yang dihormati sekalian,

16. Pada tahun 2009, Kerajaan telah melancarkan fasa pertama GTP melibatkan tujuh Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang telah tamat berakhirnya tahun 2012. Kini Kerajaan melangkah ke hadapan dengan pelaksanaan fasa kedua (GTP 2.0) yang bakal melonjakkan lagi pembangunan negara ke peringkat lebih tinggi. GTP 2.0 ini juga menyaksikan penglibatan Kerajaan dengan masyarakat yang lebih meluas sekaligus menyaksikan sinergi dan pembabitan yang lebih bermakna di antara sektor awam dengan Badan-badan Bukan Kerajaan dan sektor korporat. 

17. Ketujuh-tujuh NKRA di bawah fasa pertama GTP menyaksikan negara mencipta kejayaan yang memberangsangkan dalam membasmi kemiskinan,mempertingkatkan taraf kehidupan rakyat, mengurangkan jenayah dan rasuah, mempertingkatkan pencapaian pelajar, dan infrastruktur luar bandar selain mempertingkatkan sistem pengangkutan awam bandar. Walau bagaimanapun, sejurus melangkah masuk ke dalam fasa kedua transformasi kerajaan ini, kita perlu memastikan bahawa momentum yang dicetuskan oleh fasa pertama GTP bukan sahaja dikekalkan, malah dipertingkatkan.

18. Pembaharuan dan transformasi yang dibuat di bawah ETP juga telah mula menampakkan hasil yang memberangsangkan. Tahun lepas, Malaysia berada di kedudukan ke-12 dalam Laporan Bank Dunia Mengenai ‘Ease of Doing Business’. Baru-baru ini, majalah The Economist juga telah memberikan pengiktirafan tertinggi kemajuan Malaysia dalam kewangan Islam dan khususnya, penguasaan Malaysia di dalam sukuk.

19. Kejayaan ini adalah hasil daripada kerja keras, idea-idea kreatif, dedikasi dan komitmen Kerajaan, perkhidmatan awam, dan sektor korporat. Walau bagaimanapun, kita seharusnya meneruskan momentum dan proaktif dalam menangani sebarang cabaran masa depan dan isu-isu yang boleh mengancam kesejahteraan rakyat dan negara kita secara keseluruhan.

20. Saya amat berharap agar kedudukan Negara dalam pelbagai indeks antarabangsa akan terus bertambah baik pada tahun ini. Walaupun Kerajaan sentiasa membuat penambahbaikan, namun terdapat banyak lagi usaha yang perlu dilakukan untuk meningkatkan Sistem Penyampaian Kerajaan.


HALA TUJU PERKHIDMATAN AWAM 2013

21. Dikesempatan pada tahun baru 2013 ini, saya menyeru kepada saudara saudari untuk menghayati dan melaksanakan tujuh hala tuju penjawat awam bagi tahun 2013 yang telah digariskan oleh YAB Perdana Menteri baru-baru ini. Kita harus bersyukur mempunyai pemimpin-pemimpin Negara yang mempunyai misi dan berwawasan dalam merangka hala tuju perkhidmatan awam. Dengan 7 Hala Tuju Keutamaan Penjawat Awam bagi tahun 2013 yang telah digariskan oleh YAB Perdana Menteri baru-baru ini, maka adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk menggalas dan merealisasikan sepenuhnya ketujuh-tujuh hala tuju tersebut.

22. Selain dari itu, YAB Perdana Menteri juga mempunyai harapan yang tinggi agar penjawat awam menunjukkan semangat dedikasi dan meningkatkan produktiviti sepanjang tahun 2013, dan menjadikan tahun ini sebagai tahun yang lebih cemerlang daripada tahun-tahun yang lalu. Justeru, demi mewujudkan sebuah perkhidmatan awam bertaraf dunia yang berlandaskan ciri-ciri telus, dinamik dan progresif, saya sentiasa mengalu-alukan apa jua pandangan, teguran serta cadangan penambahbaikan demi kebaikan penjawat awam khususnya, dan rakyat, amnya.

23. Seperti yang kita sedia maklum, salah satu cara di mana Kerajaan mengubah sistem penyampaian awam adalah melalui kaedah pelaksanaan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS). NBOS memupuk "breaking-the-silos" bagi meningkatkan kerjasama antara agensi-agensi, melancarkan program-program yang rendah dalam kos namun memberikan kesan atau impak yang tinggi, dan pelaksanaan yang cepat (rapid execution). Ini termasuk mengurangkan pertindihan fungsi antara agensi-agensi Kerajaan. Sebagai contoh, Kerajaan telah menubuhkan Pusat Transformasi Bandar (UTC), pusat sehenti yang membolehkan akses rakyat kepada perkhidmatan yang disediakan oleh agensi-agensi Kerajaan, di bawah satu bumbung, dan juga kerjasama antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah NBOS telah berjaya mengurangkan kadar jenayah.

24. Selain dari itu, usaha pemerkasaan penyampaian perkhidmatan awam terutamanya dalam menyediakan perkhidmatan yang mempunyai titik sentuhan langsung dengan rakyat sentiasa menjadi agenda utama Kerajaan. Kerajaan juga telah memperkenalkan satu lagi projek bitara (breakthrough project) dalam Perkhidmatan Awam iaitu pewujudan Pusat Panggilan 1Malaysia atau (1Malaysia One Call Centre–1MOCC). 1MOCC memudahkan komunikasi rakyat dengan agensi Kerajaan melalui penggunaan satu nombor perhubungan tunggal iaitu 03-8000 8000 bagi menyelesaikan pelbagai urusan. 1MOCC yang merupakan satu lagi initiatif dibawah NBOS dan selaras dengan konsep “Merakyatkan Perkhidmatan Awam” mengangkat kepentingan rakyat dan mereka tidak lagi dibebani dengan keperluan untuk mengingati pelbagai nombor telefon apabila ingin berurusan dengan agensi Kerajaan yang berlainan. Initiatif dan projek baru yang berinovasi dan kreatif seperti 1MOCC ini seharusnya perlu diteruskan pada tahun ini.


KEWIBAWAAN DALAM MEMEGANG AMANAH KERAJAAN DAN RAKYAT
Para hadirin yang saya hormati sekalian,

25. Kewibawaan penjawat awam dalam memegang amanah Kerajaan dan rakyat adalah amat penting sekali. Kita seharusnya perlu mempertingkatkan tahap keselamatan di organisasi kita bagi menjamin Kerahsiaan dan aset Kerajaan sentiasa berada di dalam keadaan selamat dan terkawal. Keselamatan Perlindungan memerlukan rangkaian sistem dan jalinan kerjasama yang baik, dan juga penjawat awam yang sentiasa komited dan peka dalam memberikan keutamaan untuk mengekalkan tahap keselamatan yang tinggi di setiap agensi kerajaan.Transformasi juga perlu dilakukan bagi memastikan semua aspek keselamatan dijaga dan dijadikan amalan harian, demi menjamin kerahsiaan dan aset kerajaan terpelihara.Pematuhan secara menyeluruh dan komprehensif tentunya akan dapat memberi impak positif terhadap keselamatan, imej pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan awam serta meningkatkan tahap keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan.

26. Kita semua perlu sedar bahawa sebarang undang-undang, peraturan, arahan atau prosedur yang berkuat kuasa mestilah dipatuhi. Jika tidak, banyak pihak akan mengambil kesempatan yang boleh mengancam keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat meliputi kegiatan memalsukan dokumen, membocorkan maklumat serta menyebarkan maklumat sulit dan sensitif kepada pihak lain. Perbuatan membocorkan rahsia kerajaan tidak boleh dikompromi sama sekali. Di sini, saya ingin menegaskan dan mengingatkan kepada semua Ketua Jabatan supaya lebih tegas dalam memberikan teguran atau amaran, dan mengambil tindakan tegas ke atas sebarang pelanggaran keselamatan termasuklah ketidakpatuhan, kecuaian, kelalaian penjawat awam sehingga menyebabkan berlakunya kebocoran rahsia rasmi kerajaan dan kelalaian terhadap aset kerajaan di agensi masing-masing.

27. Saya tegaskan sekali lagi bahawa pihak Kerajaan tidak sesekali akan berkompromi terhadap penjawat awam yang didapati membocorkan Rahsia-Rahsia Kerajaan. Kegagalan dalam pematuhan undang-undang tersebut akan membolehkan tindakan tatatertib diambil mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam 1993 ataupun tindakan pendakwaan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88).


MEMANTAPKAN IMEJ DAN PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN AWAM MALAYSIA DI PERSADA ANTARABANGSA
Para hadirin yang dihormati sekalian.

28. Selain sektor domestik, penjawat awam juga memainkan peranan penting dalam sektor luar negeri khususnya untuk memahat nama Malaysia di persada antarabangsa. Kedua-dua sektor ini adalah sama penting untuk memacu agenda transformasi negara ke arah merealisasikan Wawasan 2020. Sehubungan ini, Malaysia giat menjalin hubungan dan kerjasama erat dengan semua negara khususnya rakan-rakan di rantau ASEAN, Asia, Eropah, dan juga Amerika Syarikat dalam bidang ekonomi, politik dan sosial.

29. Kemajuan dan kewibawaan Malaysia diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa. Ini terbukti dengan kejayaan Malaysia baru-baru ini dilantik menganggotai pelbagai pertubuhan antarabangsa seperti International Anti-Corruption Academy Board of Governors (IACA), UN Committee on the Rights of the Child (CRC), dan UN Commission on the Limits of the Continental Shelf (CLCS).

30. Dari segi pencapaian dan pengiktirafan Perkhidmatan Awam Malaysia di peringkat antarabangsa pada tahun lepas, kita telah mencapai tahap yang amat membanggakan. Sebagai contoh, Projek e-Kasih telah mengharumkan imej perkhidmatan awam di persada antarabangsa dengan memenangi tempat pertama Anugerah Perkhidmatan Awam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Publis Service Awards) 2012 bagi kategori `Memajukan Pengurusan Maklumat Dalam Kerajaan”. Selain dari itu, Program Inap Desa (Homestay) telah memenangi Anugerah Ulysses untuk Inovasi dalam Sektor Awam daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Pertubuhan Pelancongan Sedunia (UN World Tourism Organisation).

31. Di samping itu, Malaysia juga turut menyumbang ke arah keselamatan dan keamanan sejagat melalui penyertaan Malaysia di dalam beberapa Misi Pengamanan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan juga apabila kita berjaya menyelaraskan kerangka perjanjian damai di antara Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF). Kejayaan-kejayaan ini adalah hasil dedikasi, komitmen dan kerjasama padu semua penjawat awam merentasi sektor perkhidmatan dalam memastikan aspirasi negara tercapai.

32. Justeru, semua penjawat awam, baik di dalam mahupun di luar negara perlu terus bekerjasama dan bergerak sebagai satu pasukan untuk memastikan kecekapan penyampaian, keberkesanan pengurusan dan amalan diplomasi yang proaktif demi mempertahankan dan mempromosikan kepentingan Malaysia. 

33. Selain dari itu, kita juga perlu sentiasa mengintai atau mencari peluang-peluang baru dalammempromosikan imej Negara, selain juga menerokai pasaran atau pelaburan baru yang boleh diterokai oleh Negara.


PENUTUP
Para hadirin yang dihormati sekalian,

34. Inilah antara saranan dan isu utama yang perlu sama-sama kita gembleng selain menggunakan segala kudrat yang ada bagi memacu dan merealisasikan Dasar Transformasi Nasional. Pada hakikatnya, semua pihak akan merasai kerukunan dan memperolehi kemakmuran hasil daripada kecekapan perkhidmatan awam yang sentiasa menghayati budaya luhur, kekuatan moral, berintegriti serta berpengetahuan tinggi. Unsur-unsur negatif seperti malas bekerja, suka berlengah, kerja sambil lewa, tidak berhemat, tidak bersemangat, jumud dan bekerja secara silo perlu ditangani setiap masa

35. Saya juga ingin mengingatkan supaya penjawat awam terus bekerja keras demi mencapai matlamat yang disasarkan kerajaan dan harus ingat bahawa Negara akan menyambut fajar tahun 2020 dalam tempoh kurang sedekad dari sekarang. Selari dengan kemajuan Negara, tuntutan dan kehendak rakyat sudah banyak berubah kini dan ini satu cabaran besar yang perlu didepani dan diatasi dengan sebaik mungkin menggunakan sistem dan cara yang terbaik dan berkesan. Dasar Transformasi Nasional yang digembleng oleh Kerajaan bakal mengorak langkah yang penting dalam mencipta kemajuan dan pembangunan negara yang seterusnya. Dalam tempoh tiga tahun yang akan datang ini, marilah kita bersama-sama merealisasikan kejayaan Dasar Transformasi Nasional ini dan seterusnya mencipta masa hadapan Perkhidmatan Awam yang lebih gemilang.

36. Akhir sekali saya ingin berpesan kepada semua penjawat awam supaya marilah kita bersama-sama merapatkan saf, menanam azam sempena tahun baru ini untuk menjayakan dan melaksanakan agenda Negara yang tercinta serta menempa kejayaan yang lebih besar. Marilah kita sama-sama berdoa semoga segala usaha murni kita untuk memartabatkan Perkhidmatan Awam dan membangunkan Negara diberkati dan mencapai matlamatnya.

Sekian
Wabillahhittaufiq Walhidayah
Wassalamualaikum WarahmatullahiWabarakatuh.

YBhg. Dato' Sri Dr. Ali Hamsa
Ketua Setiausaha Negara
22 Januari 2012, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC)

1 ulasan:

  1. alaa...ayat copy paste..buat la huraian sendiri..panjang nk baca noooo

    BalasPadam

Terima kasih kerana memberikan maklumbalas yang berkaitan dengan artikel. Kebebasan bersuara diamalkan namun ulasan yang tidak sopan akan dipadam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...