Isnin, 6 Ogos 2012

Negara atasi politik: Wujudkan perspektif positif terhadap Malaysia di luar negara


Baru-baru ini saya berkesempatan untuk berbicara bersama sekelompok mahasiswa bertuah yang bakal melanjutkan pengajian di peringkat Master dan PhD ke luar negara. Salah satu ingatan yang saya sampaikan kepada mereka ialah betapa pentingnya untuk menjaga imej Malaysia ketika mereka berada di perantauan.  Imej Malaysia bermaksud imej diri mereka sendiri, sama ada yang dapat dinilai oleh mata kasar mahupun mata hati. 

Warga Malaysia yang berada di luar negara atas apa kapasiti sekalipun merupakan DUTA KECIL negara, sama ada mereka mahu ataupun tidak. Orang luar, terutamanya yang tidak pernah ke negara ini, akan menilai Malaysia berdasarkan kepada pembawaan dan corak pemikiran yang dipamerkan mereka. Jika baik pembawaan diri dan penceritaan yang disampaikan, maka baiklah persepsi Malaysia di mata orang luar. Jika sebaliknya, maka Malaysia akan dilihat dari sisi yang negatif.

Akhir bicara bersama kelompok bertuah itu, saya tekankan betapa pentingnya mereka untuk memberikan persepsi yang baik terhadap Malaysia kepada orang luar, tidak kira parti politik mana sekalipun yang disokong. Nama baik negara harus mendahului yang lainnya.

Semalam, Mingguan Malaysia memuatkan tulisan Tan Sri Nordin Kardi (yang lebih suka dikenali sebagai Pak Din) bertajuk Seperti seseorang meludah ke langit yang seolah mengulas dengan lebih jelas apa yang saya bicarakan bersama kelompok mahasiswa bertuah tadi.

Saya amat tertarik dengan ulasan Pak Din mengenai Mit Romney, lawan Barack Obama dalam pertandingan Presiden Amerika Syarikat, yang begitu berhati-hati dalam memberikan ulasan kepada wartawan apabila beliau berada di luar negara.

Seperti yang dicatatkan Pak Din, Romney berpendirian bahawa "dia tidak akan sekali-kali mengkritik dasar Obama semasa dia berkunjung ke luar negara". Sikap sebegini wajar dipuji dan dicontohi oleh kita warga Malaysia, khususnya orang-orang politik.

Kemelut politik di dalam negara tidak wajar dipanjangkan keluar. Ia akan memberikan imej yang tidak baik kepada negara. Secara sedar ataupun tidak, ia juga akan memberikan kesan tidak langsung terhadap perkembangan ekonomi negara (pelaburan, pelancongan, pendidikan dan lain-lain). Soalnya, mampukah orang-orang politik kita berpendirian seperti Romney, mengutamakan negara berbanding kepentingan politik? Kalian ada jawapannya.

Wassalam.

Berikut tulisan penuh Pak Din di Mingguan Malaysia:

Seperti seseorang meludah ke langit
Nordin Kardi Penyandang Kursi Za'aba Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

DALAM sesebuah negara yang mengaku mengamalkan demokrasi, hak bercakap, hak bertindak, hak membuat sesuatu pendirian dan hak berhimpun sememangnya dijunjung dengan peruntukan perundangan negara yang melindungi hak-hak tersebut. 

Namun demikian hak-hak itu bukan semata-mata dilindungi dan terikat kepada sesuatu undang-undang negara, sebaliknya terikat juga dengan tamadun yang melindungi sesuatu negara bangsa serta undang-undang itu sendiri. 

Ahli masyarakat sesebuah negara bertamadun (ada yang suka menyebutnya sebagai masyarakat sivil dan ada pula yang menyebutnya masyarakat madani) banyak menguruskan diri mereka sendiri dan mengurangkan pergantungan kepada peraturan yang dikuatkuasakan oleh alat-alat negara.

Jika berlaku pertindihan kepentingan antara individu atau antara kumpulan dalam masyarakat mereka memilih untuk menyelesaikan sesama sendiri secara bertamadun. Apakah cara bertamadun itu? Di sinilah letaknya adab atau etika hidup dalam sesebuah negara bertamadun. Setiap ahli bebas melakukan apa saja untuk menunaikan kepentingan mereka namun beberapa prinsip mereka pegang sebagai prinsip hidup peribadi dan prinsip hidup bermasyarakat.

Sambil setiap individu bebas mempunyai prinsip hidup tersendiri, ada pula prinsip yang dipersetujui bersama secara sejagat bagi menentukan kepentingan individu dan kepentingan orang ramai terpelihara. Antara prinsip adab universal yang utama ialah prinsip tidak menyakiti atau mendatangkan kesakitan kepada orang lain. Individu bebas melakukan apa sahaja tetapi dia hendaklah dibataskan oleh adab tidak mendatangkan kesakitan. Jika dia mendapati tindakannya bakal menyakiti orang lain maka dia hendaklah membatalkan hasratnya.

Prinsip selanjutnya ialah prinsip tindakan membawa kebaikan. Apabila individu hendak meluaskan ruang kepentingannya sehingga bertindih dengan ruang-ruang kepentingan orang lain, dia hendaklah memastikan pertindihan ruang itu (contohnya berkomunikasi dengan/atau memberi sesuatu kepada orang lain) bakal membawa kebaikan kepada kedua-dua pihak, bukan sepihak sahaja.

Prinsip terpenting yang lain ialah prinsip keadilan. Ahli masyarakat bertamadun sangat menghormati keadilan. Keadilan bukan bererti sama rasa dan sama rata, sebaliknya ialah memberi layanan dan hak yang berbeza kepada individu yang berbeza bersesuaian dengan kedudukan dan kepentingan individu itu.

Disebutkan bahawa keadilan ialah to treat equal equally and unequal unequally. Namun, ahli-ahli adab berkata apabila berlaku konflik antara prinsip adab, maka orang beradab akan meletakkan prinsip tidak menyakiti orang lain pada kedudukan paling hadapan.

Kesakitan
Maksudnya, jika seseorang itu hendak membuat kebaikan atau menegakkan keadilan tetapi pada yang sama dia akan menyebabkan kesakitan kepada orang lain maka dia akan membatalkan hasratnya membuat kebaikan dan menegakkan keadilan yang bakal mendatangkan kesakitan itu.

Prinsip mendahulukan kepentingan tidak menyakiti orang lain ini menjadi penyemak sangat kuat kepada idea-idea menarik yang dijana oleh individu sesebuah masyarakat bertamadun yang boleh membawa mudarat dan bakal menghancurkan sesuatu tamadun itu sendiri.

Antara contoh kemasyarakatan yang pernah berlaku di rantau ini dan negara Malaysia sendiri ialah keinginan penganut fahaman komunis yang ingin menegakkan keadilan untuk rakyat miskin dan mengemukakan cara yang pada mereka baik melalui penyebaran ideologi tetapi kedua-dua idealisme itu dilaksanakan melalui cara yang menyakiti orang lain seperti melakukan kekerasan, pembunuhan dan sebagainya. Sebarang tindakan menyakiti tentulah akan dibalas dengan tindakan menyakiti oleh pihak yang disakiti juga.

Keadaan itu akan menyebabkan keseluruhan masyarakat itu mengalami kesakitan. Dalam dunia intelektual pula, pernah terdengar bagaimana segolongan ahli ilmu atau ulama agama menggunakan kuasa pengaruh menyakiti segolongan lagi yang tidak sealiran dengan mereka sehingga buku-buku dan kitab dibakar oleh pihak berkuasa demi menegakkan apa yang baik kepada mereka dan atas nama menjaga keharmonian masyarakat beragama yang bunyinya sangat mulia.

Dalam konteks semasa dan dengan menggunakan panduan prinsip yang telah dihuraikan ini, jika ada seseorang atau sekumpulan pemimpin politik atau masyarakat yang menyerukan pembinaan masyarakat madani, orang awam boleh dengan segera mengesan sama ada pemimpin itu hidup sepenuhnya dengan prinsip masyarakat madani yang telah disebutkan di atas.

Masyarakat madani tidak boleh ditegakkan dengan cara yang menyakiti dan menimbulkan kesusahan kepada orang awam. Apa yang berlaku di Mesir, di Libya, di Iraq dan sekarang di Syria yang dipanggil Arab Spring belum tentu boleh dijadikan model yang baik menuju pembinaan masyarakat sivil. Lihatlah bagaimana cara Nabi Muhammad SAW membawa prinsip manusia madani sebaik Nabi SAW dan para sahabat menawan Mekah. Tiada orang yang disakiti dan semua dendam dilupuskan. 

Atas tanda-tanda ini masyarakat awam Malaysia sewajarnya dapat membuat keputusan segera bahawa seseorang itu bukanlah seorang pendukung kepercayaan pembinaan masyarakat madani yang tulen jika caranya menyakiti awam, sebaliknya dia menjadikan seruan itu hanya sebagai suatu slogan menjayakan sesuatu ideal atau ijtihad peribadi yang dia sahaja tahu maksudnya. Faedahnya nanti akan hanya untuk dirinya sendiri, bukan untuk ahli masyarakat yang di ajaknya bersama.

Di dalam facebook dan blog-blog tentu ramai yang terhibur dengan buah fikiran yang pelbagai dan luar biasa. Namun kebebasan yang disediakan oleh karya teknologi itu tidak semestinya bergerak ke hadapan seiring dengan karya-karya alat tersebut. Isi kandungan bahan yang sangat menyakiti individu dan kumpulan masyarakat disebarkan melalui medium teknologi paling baru. Ini menjadikan masyarakat hidup dalam dunia teknologi paling ke hadapan dan berterusan diperbaharui tetapi ada ahli masyarakatnya berpatah balik ke belakang dan hidup dalam masyarakat barbarik.

Bahan, perkataan dan istilah-istilah yang menyakiti dicipta, seolah-olah sama seperti manusia kuno zaman batu menyakiti haiwan makanan yang disembelih dengan ketulan batu berbanding pisau ciptaan termoden yang tajam untuk mengurangi kesakitan. 

Merungut
Dalam hal di atas ada yang merungut dan menulis soal kenapa ada penulis yang menghina pemimpin yang berlatarbelakangkan ilmu agama yang tinggi sambil mereka juga tidak pula merekodkan jumlah keceluparan pemimpin itu untuk tempoh yang panjang tanpa reaksi dengan darjah keceluparan yang sama daripada lawannya.

Patutlah, bijaksana Melayu silam mencipta istilah seperti ‘meludah ke langit’ dan ‘menepuk air di dulang’. Patutlah juga, Tuhan melarang seseorang Islam mencerca tuhan orang bukan Islam kerana perbuatan mencerca tuhan orang lain itu akan menyebabkan Tuhan orang Islam mendapat cercaan sebagai balasannya.

Sambil saya membuat telaah mengenai masyarakat bertamadun dan masyarakat sivil ini saya mengikuti perkembangan persaingan antara Mitt Romney dan Barack Obama yang sedang rancak di Amerika Syarikat pada ketika ini. Minggu lepas Romney membuat lawatan kerja bagi meluaskan hubungan diplomatiknya ke Eropah. Romney ialah pemimpin pembangkang calon Presiden Amerika Syarikat melawan Obama, Presiden yang sedang memegang jawatan yang bakal bertanding mempertahankan jawatan. 

Semasa berada di Britain Romney disoal oleh pelbagai media mengenai banyak perkara termasuk pentadbiran Obama. Jawapan Romney amat menarik. Katanya dia tidak akan sekali-kali mengkritik dasar Obama semasa dia berkunjung ke luar negara. Katanya, “While I am on foreign soil, I’m very careful not to be critical of my own government‘s policies," (terjemahan: semasa saya berada di bumi bukan tanah tumpah darah saya, saya amat berhati-hati terhadap dasar-dasar kerajaan saya). 

Cuba perhatikan betapa semasa berada di luar negara, Romney memberitahu orang yang tidak sebangsa dan senegara dengannya bahawa kerajaan Obama itu ialah kerajaan dia juga dengan merujuk ‘my own government‘s policy’. Maksudnya dia menerima negaranya secara holistik - tanahnya, warganegaranya/bangsanya dan kerajaannya dalam satu pakej di bawah panji-panji ‘negara Amerika Syarikat’. Inilah contoh adab pemimpin bertamadun (baca dalam konteks ini sahaja). 

Sambil melakukan telahan itu saya menyingkap juga beberapa kenyataan pemimpin Malaysia semasa berada di luar negara. Antaranya, Ketua Pembangkang Malaysia yang dipetik oleh Today‘s Zaman pada 1 Ogos semasa berucap di Turki menyatakan ‘Turkey is a democracy. Malaysia is not’. Kemudian di sambungnya lagi dengan menjenakakan negaranya sendiri: “I often joke that in Malaysia we have freedom of speech, but not after speech,". 

Semasa membakar semangat warganegara Indonesia untuk benci kepada kerajaan Malaysia pula bertempat di Jentera School of Law, Jakarta secara implied beliau mengatakan kerajaan Malaysia melayan orang Indonesia di Malaysia seperti binatang, katanya ‘Do not send them home as if they were animals’. Demikianlah perbezaan tanggapan terhadap adab di antara calon penentang Presiden Obama dengan calon penentang Najib di Malaysia. 

Warganegara Amerika Syarikat bakal memilih pemimpin mereka dan warganegara Malaysia juga bakal melakukan yang sama di Malaysia. Kedua-dua pemimpin yang menentang penjawat semasa di dua negara ini menjunjung kebebasan bercakap tapi cara menggunakan kebebasan itu berbeza nampaknya.


Notakaki:
Masih tercari-cari punca Manoharan (ADUN DAP) menghina Datuk Lee Chong Wei kerana gagal membawa pingat emas olimpik pertama negara. Mungkin istilah "Motivasi" dan "Patriotik" tiada dalam kamus hidupnya.

1 ulasan:

  1. Creating a positive image for a country is very important for any countries worldwide. Here is a help company that could help in this question. Great post, thanks for sharing!

    BalasPadam

Terima kasih kerana memberikan maklumbalas yang berkaitan dengan artikel. Kebebasan bersuara diamalkan namun ulasan yang tidak sopan akan dipadam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...