Selasa, 6 Mac 2012

Pindaan SBPA: JPA jangan ulangi kesilapan yang sama!


Khamis ini, 8 Mac 2012, YAB Perdana Menteri akan bertemu dengan warga penjawat awam di Pusat Konvensyen Putrajaya. Dijangka dalam pertemuan berkenaan beliau akan mengumumkan keputusan penting mengenai pindaan SBPA yang telah dilaksanakan oleh pasukan khas yang ditubuhkan untuk meneliti tuntutan-tuntutan dikemukakan oleh penjawat awam khususnya CUEPACS. Tuntutan-tuntutan ini hadir dari ketidakpuasan hati terhadap opsyen yang ditawarkan dalam SBPA.

Saya melihat, kesediaan YAB PM untuk hadir dan mengumumkan sendiri keputusan-keputusan yang sudah dicapai memberikan gambaran bahawa sebahagian besar tuntutan-tuntutan CUEPACS sebelum ini (walaupun mungkin kadarnya separuh) akan dipenuhi. Berita yang dinanti-nantikan ini dijangka akan memberikan kelegaan kepada 1.2 juta penjawat awam.

Disebalik keputusan yang bakal diumumkan oleh YAB PM, tidak kurang pentingnya seperti pengumumam berkenaan ialah kesediaan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam untuk tidak mengulangi kesilapan utama mereka ketika mengumumkan pelaksanaan SBPA iaitu gagal untuk menjelaskan intipati SBPA. Inilah jawapan yang sering saya berikan apabila ditanyakan mengenai kelemahan SBPA: "JPA GAGAL MEMBERIKAN PENJELASAN!"


Saya berpandangan, sekiranya JPA di awal-awal lagi dapat menyediakan pasukan yang mantap untuk menjelaskan intipati SBPA yang mereka sendiri buat, pasti campur tangan YAB PM tidak diperlukan untuk meredakan bantahan penjawat awam. JPA dilihat cuba untuk memudahkan tugasan mereka apabila hanya mengarahkan para pegawai  Bahagian Pengurusan Sumber Manusia  di Kementerian-kementerian untuk memberikan penjelasan kepada kakitangan masing-masing. 

Pegawai berkenaan hanya diberikan taklimat sepintas lalu oleh pihak JPA. Bagaimana mereka yang tidak mengetahui sepenuhnya intipati SBPA mahu memberikan penjelasan dan menjawab soalan-soalan yang dikemukakan kakitangan? Saya sendiri yang mengemukakan persoalan ketika taklimat SBPA di peringkat Kementerian tidak mendapat jawapan yang tepat. Namun saya faham, ini bukan kesalahan pegawai BPSM Kementerian, JPA yang seharusnya "menanggung" perkara ini.

Satu lagi kesilapan yang tidak patut diulangi oleh JPA ialah tidak mengemukakan (atau lebih tepat mendedahkan) lampiran tangga gaji kepada pegawai dalam surat tawaran opsyen. Amat melucukan apabila pegawai diminta untuk membuat pilihan berkaitan masa depan mereka tanpa mendapat maklumat sepenuhnya. Ia macam menyuruh pengantin lelaki berkahwin tanpa melihat pengantin perempuan. Diwar-warkan bahawa perempuan itu cantik, molek, seksi, sopan santun, baik budi, berakhlak dan sebagainya tetapi pengantin lelaki tidak boleh melihat atau mengenalinya sendiri sehingga selesai akad nikah. Mahunya realiti sebenar adalah sebaliknya, siapa yang nak menanggung?

Tiada apa sebenarnya yang perlu ditakutkan dengan mengemukakan tangga gaji setiap skim (Lampiran C) di dalam pekeliling yang dikeluarkan. Andai kata pegawai saling membanding kadar gaji mengikut skim, jelaskan saja rasionalnya. Mengapa perlu di-SULITkan? Bukankah sekarang ini era yang membicarakan soal ketelusan?

Saya secara peribadi sebenarnya memahami hasrat dan hala tuju SBPA (termasuk pengwujudan kumpulan primer, penambahbaikan skim dan kaedah penetapan gaji) yang mahu melahirkan penjawat awam yang kompeten sebagai persediaan untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi. Malangnya hasrat dan hala tuju ini tidak dapat difahami oleh sebahagian besar penjawat awam akibat kegagalan JPA untuk menjelaskannya.

Harapnya, dengan pengumuman oleh YAB PM Khamis ini, JPA telah siap siaga untuk menjelaskan mengenai pindaan-pindaan yang telah dilakukan terhadap cadangan asal SBPA. Kalau kesilapan yang sama masih berulang (gagal memberikan penjelasan), sudah pasti kredebiliti JPA selaku agensi pusat yang memayungi penjawat awam Persekutuan akan buruk dilihat. Juga, janganlah YAB PM sekali lagi terpaksa campur tangan. Malu dibuatnya.

Wassalam.

Notalalu:

4 ulasan:

  1. setuju!! harap2 JPA belajar dari kesilapan..terlalu banyak yg mengelirukan dalam skim SBPA yg diperkenalkan sebelum ni. Boleh dikatakan kabur terus.Harap2 campurtangan PM kali ni dpt meleraikan kekusutan yg timbul.:)

    BalasPadam
  2. saya pun bersetuju kerana saya sebagai pekerja bawahan pun kurang mendapat maklumat berkaitan spba dahulu.kalau di tanya berkaitan tangga gaji dan sebagainya, jawapan yang diterima "buat masa sekarang kami diarahkan untuk tidak mendedahkan tangga gaji kepada penjawat awam". and sekarang senang cerita sbpa dibatalkan. kasihan sangat kepada mereka yang berpendapatan rendah mengharapkan penambahbaikan dari segi gaji.

    BalasPadam
  3. Pada pandangan saya, kumpulan yang terlibat dalam merangka sbpa terdiri dari kelompok pegawai JPA, tanpa melibatkan pengarah-pengarah dari jabatan lain. Akhirnya draf yang disediakan banyak meunguntungkan kelompok tertentu khususnya pegawai-pegawai kumpulan tertinggi, mereka yang merangka supaya kesan sbpa akan dimaksimumkan oleh mereka. Dalam merangka draf gaji juga, banyak dasar mementingkan kumpulan profession tertentu sahaja, dan mengatakan bahawa mereka lebih profesional dari kumpulan lain; macam orang lain ni bodoh benar!!

    BalasPadam
  4. Itula masalahnya dengan golongan PTD yg tak berapa nak reti dalam mentadbir urusan penting mcm ini.natijahnya semua nampak macam lawak bodoh yg dibuat oleh JPA. harapnya mereka takkan buat lagi mcm ni.

    BalasPadam

Terima kasih kerana memberikan maklumbalas yang berkaitan dengan artikel. Kebebasan bersuara diamalkan namun ulasan yang tidak sopan akan dipadam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...