Sabtu, 14 Januari 2012

KSN beri jaminan semakan semula SBPA tidak akan mengurangkan gaji yang telah ditawarkan


Apabila YAB Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan bahawa pelaksanaan SBPA ditangguhkan bagi memberi laluan untuk semakan semula, ramai di kalangan penjawat awam yang merasa "sedikit kecewa" apabila tidak dapat merasa gaji baru pada bulan Januari ini. Ramai juga yang menyalahkan CUEPACS sebagai punca kepada penanggguhan pelaksanaannya.

Sebenarnya wujud dua bentuk reaksi di kalangan penjawat awam apabila keputusan ini dibuat. Pertama, ia diterima dengan gembira oleh mereka yang merasakan kenaikan gaji yang ditawarkan "tidak mencukupi" atau tidak mencapai kadar sebagaimana yang dijanjikan oleh YAB PM (7% - 13%) ketika membentangkan Bajet 2012. Kelompok ini amat mengharapkan semakan semula ini akan memberikan kenaikan gaji mengikut kadar yang dijanjikan.


Selain itu, mereka yang berada di dalam kelompok "senior" juga amat mengharapkan tangga gaji disemak semula dengan mengambil kira senioriti. Mereka merasakan amat tidak adil "junior" yang masuk kerja lewat dua, tiga tahun tetapi menerima tangga gaji yang sama melalui SBPA. Lompang ini harus dilihat oleh Pasukan Petugas yang diwujudkan.

Reaksi kedua akan penangguhan ini pula adalah perasaan bimbang di kalangan mereka yang telah berpuas hati atau "bergembira" dengan tangga gaji yang telah dipersetujui. Kelompok ini yang telah menandatangani borang opsyen semestinya akan kecewa sekiranya semakan semula akan menyebabkan gaji yang diterima akan berkurangan berbanding dengan apa yang ditawarkan sebelum ini. Situasi ini semestinya akan menyebabkan motivasi mereka menurun dan CUEPACS akan dipersalahkan sepenuhnya.

Walau bagaimanapun, semalam, Ketua Setiausaha Negara telah memberi jaminan bahawa "Semakan semula ini tidak akan menjejaskan SBPA yang dikuatkuasakan pada 1 Januari 2012."

Pernyataan ini ditegaskan lagi dengan kenyataan berikut:

"10. Walau apa pun Kerajaan memberi jaminan bahawa SBPA yang telah disemak semula itu adalah terpakai kepada semua pegawai dan tidak menjadi kurang baik (less favourable) daripada terma dan syarat SBPA yang telah ditawarkan terdahulu termasuklah kemudahan dan gaji"


Ini bermakna, gaji yang ditawarkan di dalam SBPA kepada pegawai sebelum ini tidak akan dikurangkan walau satu sen pun tetapi sebaliknya kebarangkalian untuk ia bertambah adalah mungkin.

KSN juga mengulangi jaminan YAB PM bahawa SBPA tetap berkuatkuasa pada 1 Januari 2012. Oleh itu, para pegawai semestinya akan mendapat tunggakan gaji selepas ia dipersetujui kelak.

Saya percaya, keputusan untuk menangguhkan pelaksanaan SBPA ini memberikan keputusan menang-menang di antara pekerja dan majikan (penjawat awam - kerajaan). Semoga ia kelak akan memberikan hasil yang terbaik untuk penjawat awam di segenap lapisan.

Berikut merupakan kenyataan penuh KSN:

SEMAKAN SEMULA SARAAN BARU PERKHIDMATAN AWAM

Saya merujuk kepada Kenyataan Media YAB Perdana Menteri bertarikh 12 Januari 2012 mengenai semakan semula Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA). Semakan semula ini tidak menjejaskan SBPA yang dikuatkuasakan pada 1 Januari 2012.

2. Sehubungan ini adalah dimaklumkan sebuah Pasukan Petugas akan ditubuhkan bagi melaksanakan semakan semula SBPA dengan mengambil kira prinsip-prinsip perkhidmatan dan saraan perkhidmatan awam.

3. Pasukan Petugas tersebut akan dipengerusikan oleh YBhg. Tan Sri Ismail Adam, bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam berdasarkan pengalaman beliau yang luas dalam hal-hal yang berkaitan Perkhidmatan Awam setelah memegang beberapa jawatan penting dalam perkhidmatan awam.

4. Pasukan Petugas itu akan dianggotai oleh pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) serta Pegawai kementerian yang berkaitan.

5. Pasukan Petugas tersebut akan mengadakan konsultasi dan perbincangan dengan pihak-pihak berkenaan termasuk kesatuan dan persatuan sekerja.

6. Isu-isu berhubung pelaksanaan SBPA hendaklah dialamatkan atau diemelkan dalam tempoh 1 bulan dari kenyataan media ini, iaitu sehingga 15 Februari 2012 kepada:

YBhg. Datuk Farida Mohd Ali,
Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
,
Jabatan Perkhidmatan Awam, Aras 13,
Blok C1, Kompleks C,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
, 62510 PUTRAJAYA. E-mel: farida.sbpa@jpa.gov.my

7. Pasukan Petugas diberi tempoh 2 bulan, iaitu sehingga 16 April 2012 untuk mengkaji isu-isu tersebut dan seterusnya mengemukakan cadangan-cadangan kepada Kerajaan.

8. Bagi mereka yang telah pun bersetuju memilih SBPA, opsyen tersebut adalah kekal.

9. Bagi mereka yang belum mengemukakan borang opsyen SBPA pada tarikh kenyataan media ini dan mereka yang telah membuat opsyen untuk tidak memilih SBPA, borang opsyen yang baru akan dikemukakan setelah keputusan muktamad ke atas semakan semula itu dibuat.

10. Walau apa pun Kerajaan memberi jaminan bahawa SBPA yang telah disemak semula itu adalah terpakai kepada semua pegawai dan tidak akan menjadi kurang baik (less favourable) daripada terma dan syarat SBPA yang telah ditawarkan terdahulu termasuklah kemudahan dan gaji.

Tan Sri Mohd Sidek Bin Hj Hassan
Ketua Setiausaha Negara
13 JANUARI 2011

Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana memberikan maklumbalas yang berkaitan dengan artikel. Kebebasan bersuara diamalkan namun ulasan yang tidak sopan akan dipadam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...