Selasa, 28 Januari 2014

Konflik PKR Selangor: Serah saja jawatan MB kepada PAS


Malang rakyat Selangor. Masalah PKR kini dijadikan masalah rakyat. Akibat sengketa kumpulan Azmin Ali dengan Khalid Ibrahim, satu pilihanraya kecil perlu dibuat semata-mata hendak melantik Menteri Besar PKR yang baru. Siapa lagi kalau bukan Anwar Ibrahim!

Semalam bermati-matian Khalid Ibrahim menafikan Anwar akan bertanding dan ditabal sebagai Menteri Besar Selangor yang baru. Siap dengan menyatakan syarat-syarat menjadi calon DUN Selangor lagi. Hari ini, beliau pusing 360 darjah apabila mengumumkan Anwar sebagai calon untuk PRK DUN Kajang akibat perletakan jawatan "suka-suka" wakil rakyat PKR.

Perletakan  jawatan suka-suka oleh wakil rakyat PKR ini bukanlah sesuatu yang baru, sebelum ini Wan Azizah sendiri pernah meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada Anwar di Permatang Pauh. Begitu juga bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin di DUN Penanti pada tahun 2009. Melihat di mata kasar, kelaku ini adalah strategi politik tetapi melihat dari mata hati, PKR hanya mementingkan kuasa.

Ironinya dalam kerakusan PKR menyusun Anwar untuk menjejak kerusi MB, mereka merupakan pemilik kerusi terendah dalam Pakatan Rakyat yang mentadbir Selangor. PRU13 menyaksikan PKR memenangi 14 kerusi sedangkan PAS dan DAP masing-masing memenangi 15 kerusi. Oleh itu, masalah perebutan jawatan MB sesama ADUN PKR seharusnya tidak berlaku jika PAS lebih tegas dan berani menuntut hak mereka.

Konflik jawatan MB dan PRK DUN Kajang sememangnya dapat dielakkan lebih awal sekiranya kerusi eksekutif tertinggi negeri ini diberikan kepada PAS. Namun umum mengetahui, sedangkan di peringkat Parlimen yang PKR memenangi kerusi kurang pun diberikan kedudukan sebagai Ketua Pembangkang, inikan pula di peringkat negeri.

Di kala Pakatan Rakyat melaung-laungkan pembaziran wang rakyat oleh Kerajaan Pusat, tindakan mereka mengadakan pilihanraya kecil sesuka hati ini tidak pula mahu dilihat sebagai satu pembaziran. Secara peribadi, saya suka jika BN memboikot PRK DUN Kajang yang jelas dibuat demi kepentingan Anwar dan PKR.

Buat rakan-rakan pendokong PAS di Selangor, bangunlah, tuntut hak kalian. Selangor bukan Anwar Ibrahim yang punya.

Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana memberikan maklumbalas yang berkaitan dengan artikel. Kebebasan bersuara diamalkan namun ulasan yang tidak sopan akan dipadam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...