Khamis, 28 Mac 2013

Mengapa MB Selangor tidak guna haknya membubarkan DUN?


Sana sini orang-orang PKR, PAS dan DAP heboh mengenai Parlimen yang belum dibubarkan oleh YAB PM. Dikatakan PM takut untuk memulangkan kuasa kepada rakyat. Dan ini petanda Pakatan Rakyat akan merampas Putrajaya.

Ironinya, YAB MB Selangor dari PKR sendiri tidak menggunakan haknya untuk membubarkan DUN. Kenapa agaknya?

Elok kita imbas kronologi drama pembubaran DUN Selangor oleh YAB Khalid Ibrahim atas nasihat Anwar Ibrahim:

- * - * -

1 April 2011 - Selangor tidak akan membubarkan DUN pada tahun ini.
"Abdul Khalid berkata, beliau hanya akan membuat keputusan sama ada untuk membubarkan DUN selepas Mac 2012 kerana mandat kerajaan negeri sekarang hanya akan berakhir pada 2013."  
Sumber: Keadilan Daily dan Malaysiakini

Kenyataan ini menampakkan penegasan Khalid bahawa tiada keperluan untuk membubarkan DUN awal kerana mandat yang ada masih lagi lama. Untuk apa dibubarkan awal-awal?

- * - * -

17 November 2011 - Selangor sertai PRU13 hanya selepas Jun 2012
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan kerajaan negeri hanya akan menyertai Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sekiranya diadakan selepas enam bulan pertama tahun 2012.
“Namun jika terpanggil (untuk bertanding dalam) PRU-13, kerajaan negeri akan menyertainya, ini bermaksud pada Jun, Julai, Ogos dan seterusnya,” katanya dalam sidang media selepas tamat sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini.
Sumber: Free Malaysia Today

Khalid menyatakan dengan jelas Selangor akan mengadakan PRU serentak sekiranya PM membubarkan DUN selepas bulan Jun 2012.

- * - * -

20 Mac 2012 - DUN Selangor tidak akan bubar sebelum Jun
"Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat (PR) tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) jika Barisan Nasional (BN) memutuskan pembubaran Parlimen sebelum Jun ini."
Sumber: Keadilan Daily

Sekali lagi Khalid menegaskan mereka hanya akan bubar DUN selepas bulan Jun 2012.

- * - * -

30 Januari 2013 - Selangor akan bubar DUN penghujung Februari, selepas Chap Goh Meh.
"Kerajaan Selangor pertimbang untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) jika Perdana Menteri enggan membubarkan Parlimen selepas perayaan Chap Goh Meh pada 24 Februari ini."
“Jika PM belum buat pengumuman berkenaan tarikh PRU 13 selepas Chap Goh Meh, kami akan pertimbangkan pembubaran DUN lebih awal dari Parlimen,” katanya dalam twitter." 
Sumber: Keadilan Daily

Selepas Chap Goh Meh, ya selepas Chap Goh Meh!

- * - * -

18 Februari 2013 - Selangor tetap mahu bubar DUN untuk pilihanraya berasingan
Pada 30 Januari lepas, Khalid menyatakan hasrat membubarkan DUN Selangor selepas sambutan Chap Goh Mei semalam, namun sehari kemudian, beliau menjelaskan pengumuman itu dibuat pihaknya bagi mendesak Perdana Menteri agar segera mengumumkan tarikh Pilihan Raya Umum ke-13.
Ekoran itu, beliau hari ini sekali lagi menekankan pendirian Selangor untuk mengadakan pilihan raya berasingan.
Sumber: Keadilan Daily

Khalid mengubah nada untuk mengadakan pilihan raya berasingan dari Parlimen. Berbeza dengan kenyataan beliau sebelum ini. Rupa-rupanya retorik nak desak PM. Kantoi sudah!

- * - * -

20 Februari 2013 - Sultan setuju Selangor bubar DUN awal
“Saya dah janji dengan Sultan, saya mengikut titah Tuanku supaya tak payah umumkan (tarikh). Setakat ini kita merahsiakan tarikhnya,” kata Khalid.
Ditanya adakah pembubaran DUN dibuat hujung bulan ini, setelah perayaan Chap Goh Mei berlalu, Khalid hanya ketawa dan berkata: “Tunggulah…”.
Ditanya lagi apa faedah diperolehi rakyat jika pilihan raya dijalankan berasingan, ini jawapan Khalid: “Sudah tentu rakyat Selangor gembira jika PRU berlaku lebih awal”.
Sumber: Keadilan Daily

Hairan! Khalid dan Anwar serta gerombolan PKR, PAS dan DAP selama ini menghentam Najib kerana tidak mengumumkan tarikh pembubaran Parlimen tetapi tiba-tiba Menteri Besar PKR sendiri "merahsiakan tarikhnya". Rakyat kena "tunggulah.."  Kalau bukan double-standard apa lagi yang sesuai digelarkan kepada mereka?

- * - * -

27 Mac 2013 - Selangor bubar DUN 22 April jika Parlimen masih belum dibubar.
"Sekiranya Kerajaan Persekutuan tidak mengisytiharkan Parlimen dibubarkan sebelum atau pada 22 April, maknanya Kerajaan Selangor akan bubar DUN pada hari tersebut."
Sumber: Keadilan Daily

Kali ini Khalid bertegas untuk mengadakan pilihan raya bersekali pula. Yalah, kalau Najib bubar sebelum 22 April, beliau pun akan turut sama bubar. Tapi jika Najib tak bubar sekali pun, 28 April Parlimen akan terbubar dengan sendirinya.

Beza 28 April dengan 22 April hanya 6 hari. Adakah perbezaan enam hari ini akan menyebabkan SPR yang diberi kuasa untuk melaksanakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari selepas parlimen/DUN terbubar akan mengadakan pilihan raya berasingan bagi Parlimen dan DUN Selangor?

Kesimpulannya, kuasa untuk membubarkan DUN sememangnya berada di tangan MB. Kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh PKR, sama ada oleh Khalid, Anwar atau para penyokongnya mengenai tindakan Najib yang tidak membubarkan Parlimen adalah bagi menanamkan kebencian kepada BN semata-mata.

Sekiranya Khalid dan Anwar benar-benar yakin Selangor akan kekal di tangan PKR, mereka tidak akan bising-bising menyalahkan Najib sebaliknya akan terus membubarkan DUN bagi mengadakan pilihan raya negeri. Hak di negeri hak MB. Hak di Persekutuan hak PM. Terpulang kepada strategi masing-masing.

Dalam konteks ini, Nik Aziz ternyata lebih bijak dari Khalid (dan Anwar). Awal-awal lagi mengambil ketetapan Kelantan akan ikut Persekutuan untuk membubarkan DUN. Tak perlu bising-bising.

Dan sekarang, peluang untuk Khalid berdrama mengenai pembubaran DUN tiada lagi. Mungkin akan ada sesuatu yang baru pula akan muncul. Maklumlah, kita kan nak raya tak lama lagi.

Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana memberikan maklumbalas yang berkaitan dengan artikel. Kebebasan bersuara diamalkan namun ulasan yang tidak sopan akan dipadam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...