Kerajaan keluar pekeliling urusan rasmi penjawat awam mesti guna bahasa kebangsaan
DURIAN TUNGGAL: Semua penjawat awam diwajib menggunakan bahasa kebangsaan dalam segala urusan rasmi dan pentadbiran kerajaan termasuk ketika bermesyuarat, surat-menyurat atau seminar.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Kabinet bersetuju dengan keputusan itu bagi memantapkan peranan bahasa Melayu selain memperkasakannya sebagai bahasa ilmu.
"Bagi memastikan arahan ini dipatuhi, Pekeliling Perkhidmatan berkaitan Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam akan dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam," katanya ketika melancarkan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat kebangsaan 2011 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini, semalam.
