Sabtu, 9 Februari 2013

Iklan Tahun Baru Cina Najib vs Ubah Roket Style: Mana lebih berkesan untuk tarik sokongan?


Iklan Tahun Baru Cina yang menampilkan Dato' Sri Najib sebagai pemain gendang Cina bagi memenuhi hasrat seorang anak kecil di hari perayaan kini menjadi bualan. Ramai yang memuji dan tak kurang juga yang menghentam.

Pada saya sama ada benar beliau yang bermain gendang sepenuhnya di dalam iklan berkenaan bukanlah satu isu. Sudah semestinya Najib hanya memainkan watak yang memalu gendang beberapa kali. Selainnya dimainkan sendiri oleh pakar gendang tarian singa. Bukankah ia satu iklan? Sedangkan filem pun digunakan stuntman.

Iklan tersebut merupakan manifestasi keterbukaan Najib untuk mengubah pendekatan konvensional kerajaan dan juga Barisan Nasional dalam mendekati rakyat. Beliau sedar bahawa BN juga harus mempelbagaikan pendekatan media baru bagi menangani serangan-serangan daripada pakatan pembangkang.

Walaupun Najib mungkin ikhlas menggunakan pendekatan diluar kotak untuk meraikan masyarakat Cina namun di kala suhu pilihanraya semakin panas, mahu tidak mahu ia pasti dikaitkan sebagai cubaan untuk menagih undi.

Sebelum ini para penyokong pembangkang begitu teruja dengan klip video Ubah Roket Style yang diterbitkan DAP. Video berkenaan menampilkan para pemimpin parti berkenaan termasuk Lim Guan Eng sendiri.

Jika dibandingkan kedua-dua klip video tersebut, secara jelas ia merupakan teknik pemasaran yang digunakan oleh BN dan DAP untuk menarik sokongan.

Bagi menilai produk mana yang akan lebih diterima oleh pelanggan yakni pengundi, ia harus melihat yang manakah akan lebih menambat hati pengundi atas pagar.

Penyokong pembangkang sama ada dari DAP, PKR dan PAS semestinya mereka akan like beribu-ribu kali video terbitan DAP dan akan dislike iklan Najib. Jika berakal pendek ia akan disertakan dengan kata-kata cacian. Begitulah juga sebaliknya di sebelah penyokong BN.

Berbeza dengan pengundi berpihak, pengundi atas pagar akan menilai kedua-dua video berkenaan secara rasional. Bukan menidakkan kerasionalan penyokong berpihak tetapi sentimen kepartian mereka pasti akan menebal di saat pembubaran parlimen yang bakal berlaku bila-bila masa. Yang paling penting, mereka telah buat keputusan parti mana yang akan diundi. Pengundi atas pagar belum lagi.

Menilai secara rasional kedua-dua video berkenaan, dapat dikatakan iklan Tahun Baru Cina Najib akan lebih diterima oleh pengundi atas pagar berbanding dengan Ubah Roket Style. Ini kerana iklan Najib adalah bersifat memujuk manakala video DAP pula bersifat menghentam.

Apa yang saya maksudkan dengan memujuk ialah iklan Najib ditujukan kepada seluruh masyarakat Malaysia secara umum dan secara khusus kepada kaum Cina. Ia tidak menampakkan elemen-elemen menghentam parti lawan, jauh sekali membangkitkan kebencian. Najib menggunakan sebaiknya musim perayaan sebagai peluang untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa beliau adalah Perdana Menteri untuk semua, bukan hanya untuk orang BN sahaja.

Sebaliknya, video DAP secara jelas menghentam dan menyemai kebencian terhadap BN dengan mengolah dan merekayasa keburukan lawan. Dari aspek untuk mengukuhkan hegemoni sokongan penyokong PAS, PKR dan DAP terhadap pakatan pembangkang, ternyata ia berkesan. Namun untuk menarik sokongan pengundi atas pagar, iklan Tahun Baru Cina Najib ternyata jauh lebih berimpak.

Ramai beranggapan Lim Guan Eng sangat kreatif apabila menghasilkan Ubah Roket Style tetapi rupanya Najib jauh lebih inovatif dalam usaha untuk menarik perhatian pengundi.

Semestinya PRU13 tahun ini akan lebih menarik dengan kemunculan pelbagai teknik pemasaran baru dari parti-parti politik yang bertanding. Sejauh mana pengundi akan terpengaruh dengan produk-produk yang ditawarkan, kita akan mengetahuinya pada malam pilihan raya nanti.

Wassalam.

Notakaki: Selamat Tahun Baru Cina diucapkan kepada rakan-rakan pembaca yang meraikan.

2 ulasan:

  1. 'Sedangkan filem pun digunakan stuntman'.

    Dalam filem sudah jelas pelakon melakonkan watak fiksyen. Tapi dalam iklan ni Najib menjadi dirinya sendiri, sebagai PM, bukan sebagai orang lain. Adakah benar dia boleh bermain gendang Tarian Singa?

    BalasPadam
    Balasan
    1. bukankah matlamat filem adalah mesej selain dari keuntungan? iklan juga begitu. jadi apabila Najib memilih untuk menggunakannya, yang diutamakan adalah mesejnya. soal sama ada beliau boleh bermain gendang berkenaan bukanlah isu. seperti yang dinyatakan dalam artikel, saya percaya Najib hanya memukulnya beberapa kali ;-)

      Padam

Terima kasih kerana memberikan maklumbalas yang berkaitan dengan artikel. Kebebasan bersuara diamalkan namun ulasan yang tidak sopan akan dipadam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...