Khamis, 21 Jun 2012

Tanggungjawab berat menanti Ketua Setiausaha Negara baru, Dato' Sri Dr Ali Hamsa


Berkuatkuasa Ahad ini, 24 Jun 2012, seluruh penjawat awam akan dipimpin oleh ketua yang baru, Dato' Sri Dr Ali Hamsa selaku Ketua Setiausaha Negara yang akan menggantikan Tan Sri Sidek Hassan. Dato' Sri Dr Ali, anak kelahiran Kluang, Johor ini merupakan Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS). UKAS merupakan badan yang bertanggungjawab untuk menggembling kolaborasi di antara pihak swasta dan kerajaan dalam melaksanakan agenda pembangunan negara.

Seiring dengan jawatan baru sebagai Ketua Setiausaha Negara pertama yang dilantik di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib (Tan Sri Sidek walaupun pernah disambung perkhidmatan oleh Najib, beliau mula dipilih sebagai KSN oleh Pak Lah), semestinya tanggungjawab yang dipikul amat berat.

Beliau akan memegang status sebagai "orang kepercayaan Najib paling utama" dalam pentadbiran Perdana Menteri Keenam itu. Apatah lagi beliau dilantik ketika Parlimen bakal dibubarkan bila-bila masa. Ini menjadikan beliau secara tidak langsung memikul harapan besar Najib bagi memastikan rakyat, khususnya penjawat awam, terus menerus memberikan sokongan terhadap dasar-dasar yang dilaksanakan kerajaan selama ini.


Ketua Setiausaha Negara adalah jawatan tertinggi di dalam perkhidmatan kerajaan. Justeru, apa saja yang berlaku dalam kerajaan, orang pertama yang akan dicari Najib adalah beliau. Sekiranya baik laporan yang diterima PM, baiklah kerja Ali dan sekiranya sebaliknya, beliau juga orang pertama yang akan ditundingi. Tidak kira sama ada perkara yang dilakukan oleh 1.4 juta penjawat awam itu diketahui secara langsung ataupun tidak, Ali akan dipertanggungjawabkan.

Di era TRASFORMASI ini, cabaran paling utama yang dipikul oleh Ali adalah untuk menyediakan perkhidmatan awam, atau lebih tepat penjawat awam, yang mampu menggerakkan negara ini mencapai hasrat kerajaan bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Bagi tujuan ini, transformasi minda di kalangan penjawat awam perlu disegerakan. Masih ramai sebenarnya di kalangan penjawat awam yang mengekalkan pemikiran lama dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat. Malah lebih malang lagi, ada di kalangan penjawat awam sendiri yang tidak faham mengenai peranan mereka bagi mencapai matlamat pada tahun 2020.

Selain itu, satu lagi cabaran yang dipikul Ali adalah untuk menyelesaikan persoalan kebajikan penjawat awam yang ditinggalkan oleh Tan Sri Sidek. Beliau perlu memastikan skim saraan yang akan menggantikan SBPA jauh lebih baik dan dapat memuaskan hati majoriti penjawat awam khususnya daripada aspek gaji. 

Saya melihat punca SBPA dibatalkan oleh PM ialah apabila CUEPACS secara lantang menentang kadar gaji tinggi yang diterima oleh kumpulan Premier. Walaupun SBPA sebenarnya jauh lebih baik berbanding SSM daripada aspek intipatinya, namun dek kerana kegagalan JPA memberikan penjelasan yang menyeluruh, ia menyebabkan isu perbezaan gaji yang tinggi itu menjadi sangat dominan. Oleh itu, Ali perlu memastikan penjelasan yang menyeluruh dapat diberikan kepada seluruh penjawat awam mengenai skim saraan yang bakal diperkenalkan setelah ia diputuskan.

Selepas ini sudah semestinya Dato Sri Ali akan menyusun orang-orangnya ke jawatan-jawatan strategik. Pasti ramai di kalangan mereka yang rapat dengan beliau mengharapkan mereka akan dipilih. Adakah akan berlaku kali ini orang-orang UKAS diangkat sebagaimana orang-orang MITI diangkat oleh Tan Sri Sidek ketika beliau dipilih sebagai KSN? Namun apa yang pasti, ramai yang akan turut merasai kenaikan pangkat rentetan dari persaraan Tan Sri Sidek, khususnya mereka yang bergelar PTD :)

Secara peribadi saya ternanti-nanti apakah intipati ucapan pertama beliau selaku KSN kelak. Ia akan memberikan gambaran mengenai corak pimpinan yang akan dibawa terhadap 1.4 juta penjawat awam di negara ini.

Lain pemimpin, lain pemikiran dan caranya. Walau apa pun pendekatan yang digunakan, matlamatnya tetap sama, memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada seluruh rakyat negara ini. Sesuai dengan peranannya dalam Badan Eksekutif.

Selamat memimpin Dato Sri Dr Ali. Kepada Tan Sri Sidek, terima kasih diucapkan.

Wassalam.

2 ulasan:

  1. Maka bermulalah perkiraan atau percaturan para para elite di PTD untuk menghitung hari iaitu samaada mereka dapat duduk dibeberapa kerusi empuk where for whatever decisions or plans contrived by politicians be made implementable or chuck into the bins by these glorious napoleons.

    BalasPadam

Terima kasih kerana memberikan maklumbalas yang berkaitan dengan artikel. Kebebasan bersuara diamalkan namun ulasan yang tidak sopan akan dipadam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...