Selasa, 26 Mac 2013

Detik-detik pertempuran pasukan keselamatan dengan pengganas Sulu yang harus diketahui seluruh Warganegara


VAT 69 BRAVO SELAMATKAN LEBIH RAMAI ANGGOTA LAIN DARIPADA TERKORBAN

Kuala Lumpur, 25 Mac - 'Ibarat hujan peluru' itulah ungkapan angota-anggota Komando VAT69 bagi menggambarkan pertempuran dengan pengganas dari selatan Filipina di Lahad Datu 1 Mac lepas.

Insp Azwanazlee Saffiai, 33, berkata terdapat dua pasukan yang bertempur dengan kumpulan militan itu iaitu Pasukan Gerakan Khas (PGK) VAT 69 Bravo dan Charlie. Bertindak sebagai komander kumpulan bagi sektor Bravo terdiri daripada 34 anggota dan pegawai, beliau berkata pertempuran berlaku selepas pengganas cuba mengepung pasukan keselamatan Charlie.

"Sewaktu cuba mengepung pasukan keselamatan Charlie yang juga dianggotai 34 anggota dan pegawai, pengganas memasuki kawasan sektor Bravo dan mereka kemudian mengeluarkan arahan supaya sektor kami (Bravo) beredar meninggalkan kawasan.

"Kami (Bravo) enggan berganjak sebaliknya cuba mendapatkan arahan daripada Komander untuk melepaskan tembakan. Pihak pengganas yang sebelum itu memberi amaran 'berambus Tiger, balik' (kepada kami) telah melepaskan tembakan kerana kami tidak mahu berundur," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

"Mereka (pengganas) cuba rapat dengan kami dan mengacukan senjata serta melepaskan tembakan bertubi-tubi dalam jarak kira-kira 10 meter," katanya.

Pertempuran yang berterusan selama sejam itu mengorbankan dua anggota polis iaitu ASP Zulkifli Mamat, 29, dan Sjn Sabaruddin Daud, 46. Pasukan keselamatan menembak mati 15 musuh. 

Azwanazlee berkata dalam pertempuran di kawasan kelapa sawit yang berpaya itu, beliau mendapati beberapa anggota pengganas sukar ditumpaskan walaupun ditembak bertubi-tubi.

"Kami rasa mereka seolah-olah memakai ilmu kebal kerana walaupun telah ditembak berkali-kali tetapi tidak jatuh. 

Arahan untuk menembak di bahagian kepala diterima dan ia akhirnya berjaya menumpaskan pengganas itu," katanya.

Berkongsi pengalaman sama, Kpl Muhammad Imran Abd Talib, 28, yang diatur gerak dalam satu lagi pasukan iaitu sektor Alpha di Kampung Tanduo, berkata beliau dapat menumpaskan pengganas dalam jarak yang paling dekat iaitu kira-kira dua meter.

"Saya masuk kampung Tanduo pada 28 Feb dan pada pagi 1 Mac saya dan rakan lain diletakkan dalam keadaan siap siaga. Ketika itu kami sedang menyediakan makanan sebelum mendengar bunyi tembakan di kawasan sektor Bravo," kata anak bekas komando itu. Beliau berkata pokok kelapa sawit menjadi tempat perlindungan daripada serangan pengganas.

"Bertempur dalam hutan tidak sama dengan bertempur di kawasan ladang kelapa sawit dengan binaan rumah yang tidak banyak. Pemandangan menjadi lebih luas dan ia mudah untuk dilihat musuh, itu antara cabaran yang harus ditempuhi ketika itu.

"Selepas bertempur saya lihat tempat perlindungan saya dipenuhi kesan tembakan. Saya bersyukur kerana peluru yang datang seperti hujan itu tidak mengenai saya," katanya.

Muhammad Imran yang terpaksa menangguhkan pertunangannya, berkata beliau bangga kerana dapat menyumbang kudrat demi mempertahankan negara. - BERNAMA
  

 - * - * -

  
RAKAN MAUT, LAUNGAN ALLAHUAKBAR JADI PERISAI - KOMANDO VAT69

Kuala Lumpur, 25 Mac - Dalam keadaan musuh menyerang bertalu-talu dan anggota pasukan komando VAT69 ini membalas tembakan mempertahan diri dan negara, dalam insiden 1 Mac lepas, Kpl Mohamad Asrul Osman tidak sedar rakan di sebelahnya gugur dalam pertempuran selama sejam itu. 

Beliau berkata laungan 'Allahhuakbar' menjadi perisai ketika diserang musuh yang jaraknya agak dekat dalam insiden pencerobohan pengganas militan di Lahad Datu, Sabah.

"Ketika pertempuran saya meniarap bersebelahan arwah (Sjn Sabaruddin Daud, 46)...Kami diserang bertalu-talu dan angin daripada tembakan itu memang jelas dirasai betul-betul di sebelah telinga saya. 

"Saya tidak sangka tembakan itu mengenai Sabaruddin dan hanya mengetahuinya apabila saya menepuk belakang beliau untuk berundur, tetapi beliau sudah kaku ketika itu," katanya kepada Bernama, di sini hari ini. 

Mohamad Asrul, 33, berkata beliau cedera pada cuping telinga dan kolar pakaian seragamnya koyak rabak dalam pertempuran yang turut mengorbankan ASP Zulkifli Mamat.

"Meskipun hati sebak melihat rakan gugur, ia tidak menjadi kekangan pada saya untuk meneruskan perjuangan demi membela tanah air," katanya.

Semangat juang yang ditunjukkan pasukan keselamatan negara itu berjaya membunuh 15 musuh. Beliau berkata kira-kira pukul 5 petang hingga keesokannya harinya (2 Mac) semua pegawai dan anggota diletak dalam keadaan siap siaga bagi menumpaskan pengganas.

"Sehingga kini saya masih terbayang kejadian menimpa Allahyarham," katanya.

Beliau berkata pengalaman bertempur dengan pengganas yang merupakan pengalaman pertama baginya itu, mendidiknya menjadi lebih berani dan sanggup mempertaruh nyawa sendiri demi menjaga kedaulatan negara.

"Saya masuk Komando pada 2003, insiden pencerobohan di Lahad Datu memberi peluang kepada saya merasai sendiri apa apa yang telah orang lama ceritakan mengenai pertempuran dengan komunis dan bagaimana perasaan bertempur dalam situasi sebenar," katanya.

Mengambil pendekatan untuk tidak merisaukan orang tersayang, Mohamad Asrul berkata beliau memberitahu ibunya bahawa beliau sedang mengikuti kursus.

"Isteri saya pula hanya dimaklumkan bahawa saya terlibat dalam pertempuran ini tetapi tidak pernah memberitahunya apa yang saya lalui termasuk kecederaan yang saya alami," katanya.- BERNAMA


- * - * -


Begitulah kisah benar para pejuang kita di perbatasan walaupun dianggap sebagai kospirasi dan sandiwara UMNO oleh PKR, khususnya Tian Chua. Mungkin nyawa bagi Tian Chua dan orang-orang PKR adalah suatu permainan yang boleh diperdagangkan.

Dua perenggan akhir artikel kedua BERNAMA mengingatkan saya kepada apa yang pernah dinyatakan oleh Abby Abadi di Twitter seperti berikut:


Benarlah kata orang-orang tua, jangan sebarkan apa yang kita tidak pasti, takut ia menjadi fitnah.

Dan ternyata, kebenaran akan mengatasi kepalsuan (fitnah) dengan sendirinya. 


Semoga Allah merahmati roh para pejuang yang gugur demi Malaysia tercinta.

Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana memberikan maklumbalas yang berkaitan dengan artikel. Kebebasan bersuara diamalkan namun ulasan yang tidak sopan akan dipadam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...