Isnin, 8 Ogos 2011

Bonus setengah bulan gaji untuk penjawat awam sempena Aidilfitri 2011


Pasti penjawat awam yang menantikan saat-saat berbuka puasa hari ini tersenyum girang jika mereka membaca kenyataan Perdana Menteri mengenai pembayaran bonus setengah bulan yang disiarkan oleh BERNAMA. Para pesara juga pasti akan tersenyum lebar ketika melangkah ke masjid untuk menunaikan Terawikh kerana mereka akan turut menerima RM 500.00 sebagai bayaran khas Aidilfitri.

Walaupun pengumuman PM ini khusus untuk penjawat awam Persekutuan namun jika mengikut kebiasaannya sebelum ini, kerajaan-kerajaan negeri yang bersekutu dengan Persekutuan (BN) akan turut sama mengikut langah dari aspek jumlah pemberian bonus kepada penjawat awamnya. Konvensyen ini tidak pernah diengkari dan semoga tahun ini ia akan terus diamalkan.


Pada 3 Ogos lalu, kerajaan Selangor melalui kenyataan twitter Menteri Besarnya awal-awal lagi telah mengumumkan pemberian bonus sebanyak RM 500.00 untuk penjawat awam di negeri berkenaan. Dengan pengumuman oleh PM ini, pasti Kerajaan Selangor akan memikirkan semula untuk meningkatkan kadar berkenaan memandangkan seterunya di peringkat Persekutuan memberikan kadar yang jauh lebih tinggi dari mereka. Jika kadar setengah bulan gaji turut diikuti oleh negeri-negeri lain, pasti ia akan mendatangkan cemburu kepada penjawat awam Selangor. MB Selangor pasti akan cuba untuk mengelakkan situasi ini memandangkan gendang pilihan raya umum semakin kuat kedengaran :)

Presiden CUEPACS pasti gembira dengan pengumuman ini walaupun kadar yang diberikan tidak sepenuhnya seperti yang diminta. Saya berpandangan di hujung tahun nanti akan ada lagi setengah bulan gaji untuk menggenapkan sebulan gaji bonus untuk penjawat awam.

Semoga pemberian ini akan menaikkan lagi semangat kita untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang untuk rakyat. Terima kasih PM.

Wassalam.


Artikel dari BERNAMA:

Kerajaan Umum Bonus Setengah Bulan Untuk Penjawat Awam, RM500 Untuk Pesara
KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam bulan ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan juga bersetuju memberi bayaran khas sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan.


"Bonus dan bayaran khas ini akan dibuat pada pertengahan bulan ini," kata Najib yang juga Menteri Kewangan dalam satu kenyataan hari ini.


Katanya bonus itu adalah bagi menghargai sumbangan serta dedikasi penjawat awam dalam memudah dan menjayakan pelaksanaan program pembangunan negara.


Perdana Menteri berkata kerajaan berharap pemberian bonus dan bayaran khas ini dapat meringankan beban penjawat awam dan para pesara kerajaan dan membantu mereka membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.


"Ini menunjukkan bahawa kerajaan sentiasa prihatin dan sangat menitikberatkan kebajian penjawat awam dan pesara kerajaan. Pemberian ini juga merupakan satu penghargaan kerajaan kepada seluruh penjawat awam," kata Najib.


Katanya pemberian bonus dan bayaran khas itu akan melibatkan 1.27 juta penjawat awam Persekutuan dan 590,000 pesara kerajaan dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM2 bilion.


-- BERNAMA 


Notakini:
10.08.11 Kelantan, Perak dan Negeri Sembilan juga umum bonus Aidilfitri setengah bulan gaji  
10.08.11 Bonus Aidilfitri untuk penjawat awam Terengganu dan Pahang pula

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana memberikan maklumbalas yang berkaitan dengan artikel. Kebebasan bersuara diamalkan namun ulasan yang tidak sopan akan dipadam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...