Artikel ini dipetik dari Utusan Online dan ditulis oleh DR. A MURAD MERICAN
Beliau ialah Profesor di Jabatan Pengurusan dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi PETRONAS, Bandar Seri Iskandar, Perak.
Kampung Batu Uban bukan sama dengan Kampung Buah Pala, atau Kampung Baru di Kuala Lumpur. Batu Uban adalah penempatan Melayu yang terawal di Pulau Pinang. Malah ia juga adalah pekan dan pelabuhan terawal di pulau itu.
Saya telah perhatikan perkembangan di Batu Uban tanpa kudrat menentukan dan merobahnya. Tidak guna kita merintih apa yang telah berlaku. Ini bukan nostalgia.
Seharusnya, Kampung Batu Uban dijadikan kampung istimewa di Pulau Pinang. Di situlah masjid yang terawal dibina. Di situlah juga tanah dikurniakan oleh Sultan Kedah kepada para peneroka awal sejak 1730an lagi, dan ia berlaku sehingga tahun 1740an.
Batu Uban adalah pusat aktiviti wilayah Gelugor dan kawasan sekitarnya. Ramai keturunan peneroka awal Batu Uban menyumbang kepada perkembangan budaya dan ekonomi kawasan Tanjung - pekan Melayu di Lebuh Acheh dan Armenian khususnya.
Ini mula berlaku pada lewat 1700. Batu Uban mempunyai jalinan dengan pelabuhan Batu Bara, yang kini sebuah daerah di pesisir pantai timur Sumatera - di wilayah Sumatera Utara, lebih kurang tiga jam perjalanan ke arah selatan dari Medan. Malah, saya dimaklumkan satu masa dulu Batu Uban dikenali sebagai Batu Bara.





