Selasa, 11 Februari 2014

BR1M masuk akaun bank 22 Februari, hilang peluang YB jumpa pengundi?



Dato' Seri Najib dalam Facebook hari ini mengumumkan penerima BR1M yang telah mengemaskini akaun bank mereka sebelum ini akan menerima wang bantuan mereka secara terus pada 22 Februari ini. Bagi mereka yang tidak mengemaskini maklumat berkenaan, pembayaran akan dilakukan secara berperingkat seperti tahun terdahulu bermula 23 Februari.

Pendekatan ini membuktikan Dato' Seri Najib tidak mahu mempolitikkan bantuan yang telah dijanjikan oleh BN dalam PRU13 lalu. Tahun-tahun sebelum ini, penerima terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan bantuan berkenaan. Datang seawal pagi ke lokasi untuk mengambil nombor. Kemudiannya mendengar ucapan tetamu kehormat dan kemudiannya baru menerima baucar. Tidak berakhir di situ, penantian perlu diteruskan di bank pula untuk menunaikan wang bantuan yang diterima. Proses yang panjang ini sedikit sebanyak akan mewujudkan persepsi yang kurang baik dikalangan penerima, apatah lagi kepada pihak pembangkang.


Tahun ini apabila wang bantuan dimasukkan terus ke dalam akaun, penerima tidak perlu lagi berjumpa dengan tetamu kehormat (YB atau Ketua Bahagian) sebaliknya hanya perlu ke mesin ATM. Ada suara-suara yang menyatakan hilanglah peluang YB untuk menyampaikan "amanat" mereka kepada rakyat. Maka tiada lagi millage politik kepada pemimpin tempatan hasil daripada pemberian BR1M 3.0.

Secara peribadi saya melihat, ia bukanlah satu kerugian kepada pemimpin tempatan tetapi sebaliknya akan memberikan persepsi positif secara umum kepada masyarakat seluruhnya, termasuk yang tidak menerima BR1M 3.0. Bukankah dengan mempermudahkan proses penerimaan ia akan dilihat sebagai satu langkah mendahulukan rakyat?

Soal YB hilang peluang untuk berjumpa pengundi seharusnya tidak timbul jika wakil rakyat selalu turun padang. Alhamdulillah di Parlimen Balik Pulau dan DUN Pulau Betong, tempat saya mengundi, wakil rakyatnya padat dengan aktiviti lapangan. Begitu juga dengan dua DUN lagi yakni Bayan Lepas dan Teluk Bahang.

Ringkasnya, seluruh lapisan masyarakat khususnya orang-orang politik harus menerima baik penambahbaikan proses yang dilakukan oleh Dato' Seri Najib ini. Langkah ini bukan satu kerugian politik sebaliknya akan menambahbaik imej BN dalam memudahkan rakyat.

Wassalam.

2 ulasan:

Terima kasih kerana memberikan maklumbalas yang berkaitan dengan artikel. Kebebasan bersuara diamalkan namun ulasan yang tidak sopan akan dipadam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...