Khamis, 23 Januari 2014

Warga Balik Pulau harus responsif terhadap jentera Lim Guan Eng!

                               
Bukan lagi satu rahsia Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng amat mendambakan kemenangan pilihan raya di Parlimen Balik Pulau khususnya tiga DUN di dalamnya, Pulau Betong, Bayan Lepas dan Teluk Bahang. 

Walaupun dalam PRU12 BN gagal mempertahankan kerusi Parlimen akibat kesilapan meletakkan calon, namun ketiga-tiga kerusi DUN kekal dimenangi oleh BN. Setelah memperbetulkan kesilapan tahun 2008, dalam PRU13, BN kembali merampas kerusi Parlimen dan terus dominan di DUN-DUN berkenaan.

Parlimen Balik Pulau sangat penting buat Guan Eng memandangkan kemenangan PR di sana akan membolehkan beliau mendabik dada bahawa pengundi Melayu kini bersama DAP. Hal ini dinyatakan sendiri beliau tahun lalu apabila menganggap kekalahan PKR dalam PRU12 di Balik Pulau sebagai petanda kelemahan pentadbirannya di Pulau Pinang.


Balik Pulau merupakan satu-satunya kawasan majoriti Melayu di kawasan Pulau. Inilah satu-satunya kawasan yang gagal ditawan PR dalam PRU yang lalu. Menang di Balik Pulau bermakna bahagian Pulau ditawan sepenuhnya oleh PR.

Mengorak ke arah itu, Parlimen Balik Pulau berterusan diasak oleh pentadbiran Guan Eng. Dengan kelulusan mudah pembinaan rumah-rumah mewah yang tidak termampu dibeli oleh anak-anak tempatan, pengambilan tanah untuk pembinaan AWLU di Kampung Genting dan terbaru menekan peniaga-peniaga di Telok Bahang, semua usaha ini dilihat sebagai langkah untuk mengubah geo-politik di Balik Pulau.

Saya berpandangan, kejadian seorang pegawai Pejabat Daerah Barat Daya dipukul di Teluk Bahang ketika operasi merobohkan gerai-gerai yang dibina di bahu jalan beberapa hari lalu merupakan manifestasi ketidakpuasan hati penduduk dan peniaga di kawasan berkenaan yang melihat tindakan terpilih pentadbiran Kerajaan Negeri dalam mengambil tindakan. Andainya benar pentadbiran Guan Eng tidak memilih bulu, operasi sebegini harus diutamakan di kawasan bandaraya terlebih dahulu.

Pusing saja di Taman Lip Sin, Relau, Air Itam dan merata-rata tempat lagi, banyak peniaga yang "menempah" tapak milik PBT tanpa dikenakan apa-apa tindakan. Ini yang menjadikan mereka yang dikenakan tindakan di Teluk Bahang marah. Jika dilihat dari kacamata politik, mengapa di kawasan yang dimenangi PR di bahagian Pulau tidak diutamakan operasi pembersihan sebegini?

Saya berharap pihak pentadbiran Negeri sama ada di peringkat Exco sehingga ke JKKN lebih rasional dalam mengambil tindakan kepada peniaga atau kumpulan sasaran.

Mengambil contoh kes di mana seorang sahabat peniaga burger di Astaka Kampung Titi Teras yang mahu dihalau hanya kerana beliau dilihat sebagai pro-BN, ini menjadikan persaingan meraih sokongan tidak lagi sihat. Sahabat ini bukan saja diberikan pelbagai alasan untuk tidak ditawarkan lanjutan sewaan tapak niaganya malah diberikan notis guaman agar mengosongkan tapak berkenaan. Sampai begitu sekali?

Mahu tidak mahu, warga Balik Pulau harus bersedia dengan asakan politik yang saya jangkakan akan datang lebih hebat dalam pelbagai bentuk. Guan Eng semestinya akan mengerahkan sepenuhnya jentera beliau bagi menawan Balik Pulau. Kita mesti responsif terhadap gerakan dan strategi mereka. By hook or by crook?, pilihan di tangan kita.

Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana memberikan maklumbalas yang berkaitan dengan artikel. Kebebasan bersuara diamalkan namun ulasan yang tidak sopan akan dipadam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...