Isnin, 17 Disember 2012

Kongres DAP, calon PRU Melayu dan feri



Semalam berakhir sudah Kongres DAP ke-16 yang berlangsung selama dua hari di Penang International Sports Arena (PISA) Pulau Pinang. 

Saya tidak berniat untuk memperkatakan mengenai keputusan Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP yang menyaksikan tiada wakil Melayu mendapat tempat. Ia sememangnya telah dijangka. Sejak bila perwakilan DAP memilih wakil Melayu bagi menampakkan semangat "Malaysian Malaysia" atau "Middle Malaysia" yang mereka sendiri utarakan? Penggal lepas, hanya seorang wakil Melayu terlepas dari 20 tempat. Dan sepanjang beliau ada, macam juga tiada. Ada dalam tiada.

Walaupun wakil Melayu tidak mendapat tempat di dalam Jawatankuasa Eksekutif dalam pemilihan kali ini (terpaksa lantik dua orang untuk jaga imej), Guan Eng tetap bertegas untuk meletakkan calon Melayu DAP dalam PRU akan datang. Ini menarik untuk dibincangkan.

Sifir Guan Eng ini sangat mudah dibaca sebenarnya. Tujuan beliau, atau lebih tepat DAP, mahu meletakkan calon Melayu dalam PRU akan datang adalah kerana mereka telah belajar dari "kesilapan" di Perak pada tahun 2008.

Dalam PRU 2008, jumlah kerusi di Perak ialah 59 dan ia menjadikan majoriti mudah untuk membentuk kerajaan ialah 30 kerusi. DAP menang 18, PKR 7 dan PAS 6. Ini menjadikan jumlah yang dimenangi Barisan Rakyat (nama asal Pakatan Rakyat) ialah 31. Walaupun BN parti yang menang paling banyak dengan 28 kerusi (27 UMNO, 1 MCA), mereka tidak dapat membentuk kerajaan kerana kurang 2 kerusi untuk mendapat majoriti mudah.

Konflik DAP dengan rakan sekutu PAS mula timbul apabila Sultan Perak memilih wakil PAS (Mohamad Nizar Jamaludin) sebagai Menteri Besar dan bukannya calon yang dinamakan dari DAP (Ngeh Koo Ham) dan PKR (Jamluddin Mohd Radzi). Keputusan Sultan Perak ini menyebabkan Jawatankuasa Eksekutif DAP mengambil ketetapan untuk tidak mengiktiraf mandat dan memboikot majlis angkat sumpah Nizar sebagai Menteri Besar. Kenyataan ini dapat dibaca di dalam blog Lim Kit Siang.

Setelah menyedari hakikat bahawa Undang-undang Tubuh Negeri Perak menyatakan dengan jelas bahawa Menteri Besar mesti seorang Melayu dan Islam, selain daripada latar belakang akademik Nizar yang lebih baik dari Jamaluddin, baru DAP mulai kendur dan menyedari kesilapan dan "keterlanjuran". Itupun selepas diasak dan diancam oleh para pengundi mereka.

Maka, bagi mengelakkan pisang berbuah dua kali, semestinya DAP akan meletakkan calon Melayu Islam dalam PRU akan datang khususnya di negeri Perak, dengan harapan orang inilah akan menjadi pilihan Sultan Perak untuk dilantik sebagai Menteri Besar jika Pakatan Rakyat sekali lagi menang di sana. Dan pada ketika itu PAS tidak lagi boleh bermimpi untuk mendambakan jawatan berkenaan.

Di Pulau Pinang juga dijangka DAP akan meletakkan calon Melayu untuk menjaga hati orang Melayu dan kepentingan DAP secara langsung. Ini kerana DAP seperti diketahui pada asalnya tidak mengiktiraf PAS dalam pembentukan kerajaan campuran di Pulau Pinang seperti gambaran yang diberikan Guan Eng ketika berucap pada hari beliau mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri. Bersama PKR pula bukan lagi rahsia mereka sedang perang dingin ketika ini. Jika tidak masakan Timbalan Ketua Menteri sendiri menggelar Guan Eng sebagai "Tokong" dan angkuh!

Jika dilihat kepada keputusan PRU 2008 yang lalu, DAP ternyata cemerlang di Pulau Pinang. Dari 40 kerusi DUN, 19 dimenangi mereka, kurang dua untuk majoriti mudah bagi membentuk kerajaan tunggal. PKR menang 9 dan PAS menang 1. BN melalui UMNO menang 11 kerusi. Komponen BN yang lain hanyut dibawa "tsunami". Dan melihat senario semasa di Pulau Pinang, Guan Eng dijangka tidak bermasalah untuk terus berpusat di KOMTAR. Dan dengan keselesaan itu juga, tidak akan menjadi masalah buat DAP untuk mengorbankan satu atau dua kerusi selesa mereka (semestinya kawasan majoriti Cina) untuk diberikan kepada calon Melayu DAP.

Oleh sebab itu, dapat disimpulkan bahawa tujuan DAP mahu meletakkan calon Melayu dalam PRU 13 akan datang tidak lain tidak bukan adalah untuk kepentingan dan survival DAP sendiri. Tidak lain dari itu.

Berbalik kepada Kongres DAP, saya suka untuk menelusuri apakah yang tersurat dan tersirat di sebalik pemberian replika feri oleh Lim Guan Eng kepada veteran DAP sebagai menghargai jasa mereka yang telah banyak memberikan sumbangan kepada parti.

Tersuratnya, sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, sudah semestinya beliau mahu memberikan penghargaan kepada veteran parti cenderamata yang dapat mencerminkan identiti negeri Pulau Pinang. Replika feri adalah pilihan yang tepat. Ia pasti menjadi kenangan berharga kepada para veteran DAP sebagai tanda mereka hadir bersidang di Pulau Pinang.

Tersiratnya, replika feri itu menandakan simbolik "pemilikan" DAP ke atas Pulau Pinang. Sebagai ketua pentadbiran (DAP) di Pulau Pinang, Guan Eng mahu veteran parti tersebut turut "memilikinya". Oleh itu, ia pasti menjadi kenangan berharga kepada veteran DAP sebagai tanda mereka kini "memiliki" Pulau Pinang.

Adakah selepas PRU 13 nanti akan ada "replika-replika baru" yang akan menjadi buah tangan veteran parti dalam Kongres DAP akan datang? Dan adakah anda akan menjadi penyumbang kepada replika baru itu?

Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana memberikan maklumbalas yang berkaitan dengan artikel. Kebebasan bersuara diamalkan namun ulasan yang tidak sopan akan dipadam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...