Khamis, 28 Julai 2011

Peringatan buat penyokong Harimau Malaya!

Harimau Bengal satu spesis dengan Harimau Malaya :p

Umum mengetahui Malaysia tewas dalam perlawanan pusingan pertama Peringkat Kedua Kelayakan Piala Dunia Zon Asia 3-5 Sabtu lalu di Singapura. Faktor kegopohan benteng pertahanan dan bermain di atas rumput tiruan adalah antara alasan yang diberikan di atas ketewasan tersebut.

Walau bagaimanapun malam ini, Harimau Malaya berpeluang untuk memulihkan semula maruah dan layak ke Pusingan Ketiga. Skuad negara hanya memerlukan kemenangan 2 - 0 untuk melangkah ke pusingan seterusnya.Walaupun secara agregate 5 -5, namun perkiraan jaringan di tempat lawan (3 gol) akan memberikan kelebihan kepada kita. 

Jika Sang Singa menjaringkan gol malam ini, ia bermakna kita perlu menjaringkan lebih dari 3 gol untuk selamat. Jadi, adalah lebih baik barisan pertahanan negara dan penjaga gol memastikan gawang negara tidak bocor. Dan barisan serangan pula WAJIB menyumbat sebanyak mungkin jaringan untuk melayakkan diri dan meraikan penyokong yang akan memenuhi segenap pelusuk stadium.



Dengan kesemua tiket telah terjual, kehadiran 80,000 penyokong Harimau Malaya (tolak 5,000 penyokong Singapura) pasti akan menggamatkan Stadium. Pemain dan penyokong Sang Singa pasti akan gemuruh dengan "ngauman" lautan biru malam ini. Peluang ini harus digunakan oleh pemain untuk memastikan kemenangan di pihak kita.

Menyentuh mengenai kehadiran 85,000 penyokong, ia mengingatkan saya kepada peristiwa-peristiwa ketika rajin menonton perlawanan bola sepak di stadium zaman muda-muda dulu :) 

Antara perkara yang kita perlu beringat ketika berada di stadium ialah:

1. Pastikan kenderaan dikunci dengan selamat. Gunakan kunci tambahan dan jangan tinggalkan barangan berharga di dalam kenderaan terutamanya kereta.

2. Jangan tinggalkan beg atau kotak (sama ada) di tempat duduk hadapan atau belakang kereta. Pencuri bukan tahu ia ada isi atau tidak. Mereka akan tetap pecahkan cermin untuk melihat kandungannya.

3. Ketika masuk dan keluar pintu stadium, jangan berasak-asak. Ini akan memberi peluang kepada penyeluk saku mencopet dompet anda tanpa disedari. Sebaiknya, jangan letakkan wallet di poket belakang, letakkan di bahagian hadapan. 

4. Juga, berhati-hati jika anda meletakkan telefon bimbit di bahagian sisi pinggang. Ia mudah dicopet oleh penyeluk saku.

5. Kepada kaum wanita, jangan sesekali memilih untuk berasak-asak. Anda mungkin menjadi mangsa mereka yang bermata keranjang. Lebih baik tunggu keadaan reda. Biar lambat asalkan selamat.

6. Sebaiknya naiki kenderaan awam atau motorsikal. Jika menaiki kereta, ada pasti akan terperangkap agak lama sebelum boleh bergerak.

Itu serba sedikit peringatan yang dapat saya kongsikan. Kehadiran penyokong yang ramai memungkinkan beberapa peristiwa yang tidak diingini boleh berlaku. Jadi, kita perlu berhati-hati agar tidak menjadi mangsa.

Kepada rakan-rakan yang akan bersama-sama ke stadium, jangan lupa pakai jersi negara, tak kiralah biru atau kuning. Yang penting Jalur Gemilang tersemat di dada!

Semoga Harimau Malaya berjaya menjinakkan Sang Singa malam ini. Hidup Harimau Malaya! Auuuuuummmmmmmmm!


Wassalam.

2 ulasan:

  1. yup, aku pon baru je lepas kena pecah cermin kereta. barua penyamun http://www.onedot12.com/2011/07/cermin-kereta-kena-pecah.html

    BalasPadam
  2. tq share bro. peringatan untuk member lain.

    BalasPadam

Terima kasih kerana memberikan maklumbalas yang berkaitan dengan artikel. Kebebasan bersuara diamalkan namun ulasan yang tidak sopan akan dipadam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...