Isnin, 20 Jun 2011

Tuntutan-tuntutan terkini CUEPACS: Wajarkah?


Semalam, 19 Jun 2011, Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman semasa menghadiri Mesyuarat Agung Kesatuan Pegawai-Pegawai RISDA Kedah telah mengemukakan beberapa tuntutan terkini kepada pihak kerajaan.

Walaupun liputan yang diberikan oleh BERNAMA, Utusan Malaysia dan Berita Harian untuk tuntutan berkenaan dilihat dari sisi yang berbeza, saya menyimpulkan ia meliputi perkara-perkara berikut:

    1.      Pengumuman bonus kepada 1.2 juta penjawat awam dalam Bajet 2012;

    2.      Penyelarasan Elaun Sara Hidup (COLA) RM300 kepada semua penjawat awam;

    3.      Kenaikan Imbuhan Tetap Perumahan kepada RM350 dari RM180; dan

    4.      Penambahbaikan Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK) yang menggantikan PTK dengan lima elemen berikut:

i.                     Pegawai dinaikkan pangkat automatik selepas hadir kursus kompetensi.

ii.                   Kenaikan gaji tiga tangga setiap kali naik pangkat.

iii.                  Dua orang wakil CUEPACS dalam panel penilai PROSPEK.

iv.                 Penubuhan jawatankuasa pemantau CUEPACS-JPA untuk pantau pelaksanaan PROSPEK.

v.                   Semua perkara yang dipersetujui dalam MoU menggantikan PTK yang ditandatangani pada 1 Julai dipatuhi sebelum pekeliling baru mengenai PROSPEK dikeluarkan.

Langkah CUEPACS mengemukakan tuntutan-tuntutan ini sudah semestinya akan menimbulkan pelbagai persepsi. Penjawat awam pasti akan menyokongnya namun bagi sesetengah pihak, ia tidak wajar dilakukan. 


CUEPACS akan digambarkan sebagai pihak yang hanya tahu untuk mengemukakan tuntutan demi tuntutan kepada pihak kerajaan untuk menaikkan had usia bekerja, bayaran bonus dan kenaikan elaun sedangkan usaha-usaha untuk meningkatkan perkhidmatan awam langsung tidak dilakukan. Ia bukan sesuatu yang baru malah telah lama diperkatakan oleh mereka yang sinis.

Saya berpandangan, tiada salahnya CUEPACS untuk mengemukakan apa saja tuntutan kepada pihak kerajaan memandangkan ia juga merupakan kesatuan sekerja, sama seperti MTUC. Bezanya, CUEPACS membela penjawat awam manakala MTUC pula pekerja swasta secara umumnya.

Mungkin kerana CUEPACS “lebih rapat” dengan kerajaan kerana dianggotai oleh penjawat awam sendiri maka ramai yang berpandangan tuntutan-tuntutan mereka akan lebih mudah dipenuhi berbanding MTUC. 

Hakikatnya, pihak kerajaan tidak semestinya akan menunaikan tuntutan-tuntutan CUEPACS hanya kerana mereka itu penjawat awam. Lihat saja bagaimana sudah beberapa tahun kerajaan tidak menunaikan permintaan CUEPACS untuk pemberian bonus.

Berbalik kepada tuntutan terkini CUEPACS, secara peribadi saya berpandangan, agak sukar bagi kerajaan untuk menunaikan permohonan bonus kerana jumlahnya akan mencecah berbilion ringgit. 

Jika dikira secara kasar, 1.2 juta penjawat awam didarabkan secara purata dengan RM3000 untuk gaji bulanan (sekadar contoh), ia telah mencecah 3.6 bilion. Satu angka yang amat besar! Ditambah pula dengan kawalan perbelanjaan yang lebih ketat berbanding tahun-tahun terdahulu, pasti ia agak sukar dipenuhi. 

Walaupun demikian, saya percaya penjawat awam akan tetap menerima bantuan khas sekurang-kurangnya RM1000 (dua kali bayar) sama seperti tahun lalu.

Berhubung penyelarasan COLA kepada RM300, saya bersetuju dengan tuntutan ini kerana situasi sekarang menyaksikan kadar harga barang di luar bandar dan bandar tidak lagi berbeza. Mungkin daripada aspek harga barang mentah tertentu seperti ikan dan sayuran di luar bandar masih lagi murah namun harga bahan-bahan yang digunakan untuk memasak, minuman dan keperluan harian lain seperti kicap, rempah, sos, susu, milo, susu bayi dan drypers sudah menyamai harga di kawasan bandar. Kerajaan wajar menimbangkan tuntutan ini dan ia perlu diselaraskan tanpa mengambil kira lagi faktor kawasan.

Kadar Imbuhan Tetap Perumahan yang dituntut (RM350) dilihat lebih munasabah jika dibandingkan dengan kadar sekarang RM 180. Ini kerana kadar sewa sebuah rumah pada masa ini tidak lagi berada di bawah RM200. Justeru adalah wajar tuntutan ini dilakukan.  

Bagi penambahbaikan PROSPEK, saya bersetuju dengan empat tuntutan yang dikemukakan, cuma kenaikan jawatan secara automatik selepas hadir berkursus itu wajar difikirkan semula. Ini kerana kaedah berkenaan akan menyebabkan tidak lagi berlaku “persaingan” di kalangan penjawat awam untuk memberikan yang terbaik dalam kerja harian. 

Maklumlah, balik kursus saja dah comfirm boleh naik pangkat walaupun prestasi sebenar di tempat kerja tidak memberangsangkan. Ia akan menyebabkan ramai yang akan pulun bersungguh-sungguh untuk menghadiri kursus dan “berlakon hebat” ketika mengikuti kursus. Jenuh nanti pejabat takda orang. Maklumlah, semua pakat-pakat hadir kursus :)

Kesimpulannya, saya melihat tuntutan CUEPACS ini tiada salahnya kerana ia menggunakan saluran yang sah dan berhemah untuk berkomunikasi dengan “majikan”. Sudah menjadi tanggungjawab CUEPACS, untuk memastikan kebajikan penjawat awam terbela, dijaga dan ditambah baik. Lebih baik mereka menggunakan pendekatan begini berbanding penjawat awam beramai-ramai berarak dan “berguling-guling di atas jalan” untuk menuntut sesuatu dari kerajaan :)

Persoalan sama ada tuntutan ini wajar atau tidak, biarlah kerajaan yang menentukan kata akhirnya nanti. Sudah pasti aspek kemampuan kewangan dan persepsi masyarakat umum akan turut diambil kira.

Semoga keputusan yang diperoleh adalah “menang-menang” di antara kerajaan dan CUEPACS. Dan yang pastinya, 1.2 juta penjawat awam akan merasai sesuatu dari tuntutan ini.

Terima kasih CUEPACS, terima kasih kerajaan.

Wassalam.

6 ulasan:

  1. secara umumnya, sy bersetuju dgn pendapat saudara berhubung dgn penyelarasan COLA dan tuntutan kenaikan elaun tetap perumahan.Alasan2 yg diberikan juga logik dan munasabah. Berhubung kenaikan pangkat selepas hadiri kursus, itu juga tidak wajar bagi sy kerana prestasi seseorang individu ketika kursus kadangkala langsung tidak mencerminkan prestasi individu tersebut sewaktu bekerja. Ada yg 'give the best' waktu berkursus shj manakala waktu bekerja pula sambil lewa.Jadi, matlamat utama di situ hanyalah utk kenaikan pangkat. Sangat tidak wajar rasanya...btw, pandangan, ulasan dan pendapat saudara bernas dan sbg salah seorang kakitangan kerajaan, sy sgt bersetuju...:-)

    BalasPadam
  2. semoga prospek nanti memberikan kebaikan yang menyeluruh kepada kita semua :)

    BalasPadam
  3. Tentang harga ikan dengan sayur tu awak dah tersilap..
    harga ikan di kampung lebih tinggi kerana yang menjualya adalah kedai kedai kecil berbanding pasaraya besar di bandar yg menawarkan harga lebih murah..petrol di kampung lebih mahal..di jual dalam botol..
    Saya rasa yang murah di kampung ni ikan yang pancing sendiri je hahaha itu pun kalau ada ikan lagi sekarang ni nak dapat anak seluang pun susah...Sebenarnya orang kampung lebih perit dari segi perbelanjaan sara hidup..Kos sewa rhm di kampung puh paling kurang rm250 skrg ni..

    Kadang jkadang cemburu juga melihat kakitangan awam di bandar dapat rm300 kami di kampung sudahlah harga brg mahal cola pula dapat rm100 je..tolonglah tak minta lebih nak sama dengan bandar je
    saya adalah kakitangan awam yg berkhidmat di kampung.

    BalasPadam
  4. Anon 22:14,

    Saya tidak menafikan pandangan saudara apatah lagi harga ikan semakin tidak menentu akibat tindakan sesetengah persatuan nelayan yang tidak mahu turun ke laut sekarang ini akibat mogok kenaikan harga diesel. Bagi kampung-kampung yang jauh dari laut harganya pasti akan lebih melonjak sekiranya hanya dijual di kedai-kedai kecil. Pihak pembuat keputusan berkaitan COLA tidak lagi boleh membuat kesimpulan rambang bahawa harga barang yang ditanggung penjawat awam di luar bandar adalah rendah berbanding yang bertugas di bandar. kajian khusus perlu dibuat untuk melihat rasionalnya.

    BalasPadam
  5. Terima kasih saudara kerana menerima komen saya..ini adalah pengalaman saya sendiri yang telah lama membandingkan harga barang di bandar dan luar bandar..Jika berkesempatan ke bandar saya akan singgah di pasaraya seperti NSK atau Tessco yang harganya jauh lebih murah..

    BalasPadam
  6. Memberi penarangan dan menerangkan --bukan kerja mudah bagi pejawat awamyang sudah tegar dah ada pendirian tersendiri --muga terbaik akan dapat bagi para pejawat awam --rakyat meheran perlu juga di lihat dari kesan ini semua :)rj

    BalasPadam

Terima kasih kerana memberikan maklumbalas yang berkaitan dengan artikel. Kebebasan bersuara diamalkan namun ulasan yang tidak sopan akan dipadam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...