Sabtu, 4 Mei 2013

Bagaimana pemenang pilihan raya ditentukan?


Esok 5 Mei 2013 seramai 12,992,661 orang pengundi biasa dari 13,268,002 orang pengundi berdaftar akan melaksanakan tanggungjawab bagi memilih wakil rakyat dan seterusnya menentukan parti politik manakah yang akan mentadbir Persekutuan Malaysia dan negeri-negeri. Saya akan mengundi di Parlimen Balik Pulau (P53) dan Dewan Undangan Negeri Pulau Betong (N39) di Pulau Pinang.

Dalam  pilihan raya, pengundi akan memangkah dua kertas iaitu kertas Parlimen dan kertas Dewan Undangan Negeri (DUN). Walau bagaimanapun, bagi mereka yang mendaftar sebagai pengundi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan hanya kertas Parlimen yang akan diberikan memandangkan di sana tidak memiliki kawasan DUN. Di Sarawak pula, pengundinya hanya akan memangkah kertas Parlimen memandangkan pilihan raya negeri telah berlangsung pada tahun 2011.

Kertas Parlimen adalah kertas undi untuk memilih wakil rakyat di sesuatu kawasan bagi meletakkan pemenangnya di Dewan Rakyat. Terdapat 222 kawasan Parlimen di seluruh negara. Mereka ini yang akan menentukan siapa Perdana Menteri Malaysia.

Kertas DUN pula adalah kertas undi untuk memilih wakil rakyat di sesuatu kawasan bagi meletakkan pemenangnya di Dewan Undangan Negeri di negeri-negeri. Jumlah kerusi DUN adalah berbeza bagi setiap negeri. Mereka ini yang akan menentukan siapa Menteri Besar atau Ketua Menteri.

Selepas pusat pengundian ditutup pada jam 5.00 petang, kertas-kertas undi akan dikira dan siapa yang mendapat jumlah yang lebih dari lawannya akan diisytiharkan sebagai pemenang, walaupun jumlah yang lebih itu hanyalah satu.

Ambil contoh di Parlimen Balik Pulau, jumlah pengundi berdaftar adalah seramai 49,641 orang. Katakan mereka yang keluar mengundi adalah seramai 40,000 dan pihak BN atau PKR yang bertanding di sana sekiranya mahu menang perlu memperoleh sekurang-kurangnya 20,001 undi. Kaedah ini digunakan di setiap kawasan DUN dan Parlimen di seluruh negara.

Majoriti Mudah
Majoriti mudah adalah jumlah minimum yang diperlukan oleh parti-parti politik bertanding untuk menang dalam pilihan raya. Formula perkiraan seperti berikut:

Majoriti mudah bagi jumlah kerusi ganjil = Jumlah kerusi / 2

Majoriti mudah bagi jumlah kerusi genap = Jumlah kerusi / 2 + 1 

Ini bermakna dari 222 kawasan Parlimen yang ada di seluruh negara, BN, DAP, PKR dan PAS memerlukan 112 kerusi untuk menang dalam pilihan raya.

Andai terdapat satu parti politik memperoleh kerusi lebih dari 112, parti berkenaan boleh membentuk kerajaan tunggal. Namun sekiranya tiada parti yang mendapat lebih dari 112, maka kerajaan campuran perlu dibentuk di kalangan parti-parti politik yang ada di dalam Dewan Rakyat. 

Di peringkat DUN kaedah ini juga digunakan.

Majoriti 2/3
Majoriti 2/3 pula adalah jumlah yang diperlukan oleh parti-parti politik bagi memudahkan urusan pindaan perlembagaan sekiranya ia diperlukan sama ada di peringkat Persekutuan atau DUN. Parti-parti politik yang bertanding mendambakan jumlah ini bagi menampakkan kekuatan mereka di Dewan Rakyat atau DUN. Formula perkiraan majoriti 2/3 adalah seperti berikut:

Majoriti 2/3 = Jumlah kerusi x 2 / 3

Jadual di bawah menunjukkan Jumlah Kerusi, Majoriti Mudah dan Majoriti 2/3 bagi Dewan Rakyat.

DEWAN RAKYAT
Jumlah Kerusi Majoriti Mudah Majoriti 2/3
222 112 148

Dari 222 kerusi, BN bertanding 221 kerusi, PKR 99, PAS 73 dan DAP 50. Ini bermakna, hanya BN yang berpotensi untuk menjadi kerajaan tunggal. PKR, PAS dan DAP tidak akan boleh menjadi kerajaan tunggal kerana mereka tidak bertanding melebihi majoriti mudah. Oleh itu, mereka perlu menjadi kerajaan campuran jika berhasrat untuk membentuk kerajaan. Risiko bagi kerajaan campuran adalah mereka terpaksa menggugurkan sebahagian daripada tekad perjuangan bagi membolehkan kerjasama terjalin.

Jadual di bawah pula adalah Jumlah Kerusi, Majoriti Mudah dan Majoriti 2/3 bagi Dewan Undangan Negeri.

DEWAN UNDANGAN NEGERI
Negeri Jumlah Kerusi Majoriti Mudah Majoriti 2/3
Perlis 15 8 10
Kedah 36 19 24
Kelantan 45 23 30
Terengganu 32 17 21
Pulau Pinang 40 21 27
Perak 59 30 39
Pahang 42 22 28
Selangor 56 29 37
Negeri Sembilan 36 19 24
Melaka 28 15 19
Johor 56 29 37
Sabah 60 31 40

Secara peribadi, saya akan memilih parti yang berpotensi untuk membentuk kerajaan tunggal di peringkat Persekutuan dan Negeri. Ini kerana kerajaan tunggal telah bersetuju dalam banyak perkara sebelum mereka menyertai pilihan raya berbanding dengan kerajaan campuran yang akan membincangkannya kemudian.

Mentadbir negara bukan perkara main-main. Jatuhkan lawan kemudian baru bincang bagaimana nak urus.  Sudah berak baru korek lubang. Sangat tidak praktikal untuk dipilih menguruskan negara dan negeri.

Selamat memilih rakan-rakan. Jangan lupa masuk barisan sewaktu mengundi esok :-)

Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana memberikan maklumbalas yang berkaitan dengan artikel. Kebebasan bersuara diamalkan namun ulasan yang tidak sopan akan dipadam.