Ahad, 11 September 2011

PROSPEK ganti PTK 1 Januari 2012: Benarkah wujud lebih peluang naik pangkat?


PROSPEK: Penjawat Awam Dapat Lebih Peluang Naik Pangkat - JPA
Oleh Normalazwa Jamaludin

PUTRAJAYA, 9 Sept (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberi jaminan bahawa Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi atau PROSPEK, sistem baru yang menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), akan membuka lebih peluang kepada penjawat awam untuk mendapat kenaikan pangkat.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Abu Bakar Abdullah berkata penjawat awam yang mempunyai kompetensi dan memiliki potensi, iaitu melepasi syarat untuk lulus dan melepasi tahap potensi yang telah diukur oleh panel penilai dijamin memperolehi ganjaran.

Katanya PROSPEK yang hanya akan dilaksanakan sepenuhnya pada 1 Januari tahun depan, adalah selaras dengan matlamat Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.



"PROSPEK adalah untuk semua penjawat awam tetapi yang mempunyai peluang untuk mendapat kenaikan pangkat adalah bagi mereka yang mempunyai kompetensi dan potensi.

"Ini kerana sesetengah orang itu, kompeten tetapi tidak ada potensi. Ini bermakna penjawat awam dituntut untuk berubah dan berupaya untuk membangunkan keupayaan kendiri (memajukan diri)," katanya kepada Bernama di pejabatnya, baru-baru ini.

Mei lalu, Abu Bakar mengumumkan PROSPEK sebagai pengganti PTK, yang berkuat kuasa pada 1 Julai, tidak lagi berasaskan peperiksaan tetapi akan ditentukan oleh panel penilai yang berwibawa.

Ia membabitkan lapan prinsip penilaian baru iaitu falsafah, tujuan, dimensi kompetensi, kaedah penilaian dan pembangunan kompetensi, fleksibiliti, kawalan kualiti, ganjaran dan pencapaian penilaian.

Abu Bakar berkata sistem penilaian baru itu akan menilai tahap kompetensi mereka dan melihat tahap keupayaan kerja bagi tujuan kenaikan pangkat berbanding hanya bergantung kepada keputusan peperiksaan PTK sebelum ini.

Katanya antara prinsip PROSPEK ialah membangunkan kompetensi secara berterusan iaitu setiap pegawai perlu menjalani latihan, dan keperluan menjalani kursus selama tujuh hari setahun bagi anggota penjawat awam seperti sebelum ini, akan diteruskan.

Beliau berkata kursus dan latihan itu merupakan pembangunan kompetensi yang bertujuan menambah baik dan menjadikan seseorang penjawat awam itu lebih cekap.

"Apabila mereka menjalani kursus dan latihan, penilaian kursus akan ada. Jadi, kita akan tahu kedudukan mereka dari segi markah yang diperolehi.

"Kita simpan dan kumpul, membuat data mengenai mereka. Jadi apabila ada kekosongan, kita akan ambil misalnya hanya mereka yang berada pada kedudukan top 20, diberi satu penilaian, di mana kita akan tubuhkan panel (panel penilai) yang terdiri daripada orang yang tahu tugas yang akan dilaksanakan.

"Jadi, apabila ada kekosongan jawatan, pada masa itulah kita membuat penilaian potensi seseorang pegawai, sama ada seseorang itu mempunyai potensi untuk mengisi gred jawatan yang lebih tinggi," katanya.

Abu Bakar berkata untuk dilantik sebagai ketua, seseorang pegawai itu perlu mempunyai potensi dan ia adalah antara kriteria penting selain cekap dalam melaksanakan tugas.

"Jadi, bagi mereka yang telah dibangunkan kompetensi dan didapati mempunyai potensi, mereka akan dinaikkan pangkat untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut.

"Tetapi jika dia mempunyai potensi tetapi tidak mempunyai kompetensi setelah melalui PROSPEK, potensinya tidak menyerlah, jadi, tak dapatlah juga dia untuk dinaikkan pangkat," katanya.

Abu Bakar berkata untuk menjadi anggota panel penilai juga mempunyai kriteria tertentu yang terdiri daripada tiga individu termasuk ketua jabatan yang mesti mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam bidang tugas pegawai yang dinilai serta mesti mempunyai kemahiran untuk menilai secara objektif.

"Kita tak mahu lagi beri markah kesian. Hati mesti ikhlas sebab bagi saya, markah tinggi dalam laporan prestasi bukan daripada hati ikhlas tetapi hati belas kasihan," katanya.

Bagi memastikan tidak wujud sikap atau pendirian berat sebelah, beliau berkata panel penilai itu terdiri daripada tiga individu dan anggota Cuepacs juga akan turut hadir sebagai pemerhati berbanding sebelum ini yang hanya membabitkan ketua jabatan sahaja untuk membuat penilaian.

Katanya JPA menyusun program yang terbaik dalam membangunkan kompetensi seseorang pegawai dan seterusnya dapat mengenal pasti potensinya pada masa akan datang.

Sumber: BERNAMA

Notakaki:
Harapnya JPA dapat membentangkan terlebih dahulu draf pelaksanaan PROSPEK sebelum dilaksanakan agar penjawat awam secara keseluruhannya dapat melihat, menilai dan memberikan maklum balas. 

Walaupun CUEPACS telah dipanggil dan memberikan persetujuan, namun perlu disedari, maklumat yang diterima CUEPACS dan apa yang dipersetujui mereka dengan JPA tidak diketahui oleh majoriti penjawat awam lain.

Laporan di atas menyatakan PROSPEK akan membuka lebih peluang kepada penjawat awam untuk naik pangkat berbanding PTK. Kenyataan berkenaan agak memusykilkan saya kerana jika ia membuka lebih peluang untuk naik pangkat, maka ramai yang akan cepat naik pangkat. 

Dengan jumlah kekosongan jawatan yang terhad, mampukah ia menampung "peluang naik pangkat yang lebih itu" secara adil dah saksama kepada semua penjawat awam? Lagipun, bukankah perjawatan sekarang ini sedang dikejatkan? Banyakkah kekosongan kenaikan pangkat berbanding "peluang" yang diberikan?

Jangan pula nanti hanya skim-skim tertentu saja yang akan mendapat kelebihan. Lima tahun kerja dah naik 48. Skim lain tunggu 7, 8 tahun baru nak merasa 44. Kalau itu jadinya, tiada bezalah dengan PTK yang dimansukan itu :)

Sama-samalah kita nantikan.

Wassalam.

9 ulasan:

  1. Ya benar kata tuan, saya bersetuju dengan pandangan tuan, Penjawat Awam kebanyakannya masih belum mengetahui konsep / kaedah pelaksanaan PROSPEK. Pendedahan mengenainya perlu bagi mengelakkan kenaikan pangkat hanya pada sesetengah gred jawatan sahaja. Macam la gred jawatan yang lain tu tak ada peranan dalam perkhidmatan awam... dah 7 tahun berkhidmat pun belum tentu dpt naik pangkat....

    BalasPadam
  2. salam 1 malaysia.

    1. Apa bila membaca tentang naik pangkat ini amat la hairan saya lihat, kenapa la penjawat yang 41-48 yang bukan berada dlm skim PTD tidak boleh naik sama dengan PTD.

    2. Kelulusan semuanya JPA tapi apa bila naik pangkat skim lain lambat pula.

    3. Mungkin dengan ada cara pengukuran yang baru ini pun masih lagi tiada beza juga dengan kenaikan pangkat. Kenaikan pangkat melibatkan kewangan.

    4. Ada kerajaan bersedia dengan kewangan yang besar. Kerajaan mungkin bersedia tapi sapa yang menjada duit negara tentu la golongan PTD.

    5. Buat apa perubahan atau apa2 pun masih juga akan mendapat hasil yang sama.

    6. Mungkin perlu diubah kepada naik aje pangkat kepada golongan yang hendak naik dan jgn fikir org lain. Kalau mcm itu sure mereka suka.

    7. Golongan yang dibawah ini suara pun tak boleh dengar. Minta Pihak yang berwajib lihat dengan teliti.


    A.K
    Pemuda Kuala Kangsar

    BalasPadam
  3. Blog bro sy follow dan paut di laman blog saya. Byk info penjawat awam boleh dpt kt sini.. :)

    http://yuseriyusoff.blogspot.com

    BalasPadam
  4. YY, terima kasih, blog bro juga akan dipautkan di sini.

    BalasPadam
  5. Tanpa Nama 9:41 & Pemuda Kuala Kangsar,

    Kita nantikan sama ada PROSPEK bakal menggantikan elemen2 berkenaan. Rasanya waktu belanjawan nanti PM akan umum. kita ulas selepas itu.

    BalasPadam
  6. Bagaimana dgn PA yg ada kelulusan tinggi , yg telah lma berkhid tp msh x dinaikkan pangkat gara-gara budaya plh kasih dlm jabatan .Asyk2 org yg sma dhtr kursus , org yg keja kuat x pandai ampu bos statik cmtu je .

    BalasPadam
  7. Bagaimana dgn PA yg ada kelulusan tinggi , yg telah lma berkhid tp msh x dinaikkan pangkat gara-gara budaya plh kasih dlm jabatan .Asyk2 org yg sma dhtr kursus , org yg keja kuat x pandai ampu bos statik cmtu je .

    BalasPadam
  8. Salam nak tanya kalau PTPO yang mempunyai diploma nak naik pangkat macam mana pulak prosedurnya dan penilaian dibuat?

    BalasPadam
  9. Dari dulu sampai skang PTD jer yg kenyang.yg kaya lg bertambah kaya.cadangan kenaikkan pangkat org bawahan ditendang ketepi begitu saje.di pandang sepi.Pentadbiran negara kita ni dah ikut pentadbiran negara India mengikut kasta.Tgk jer cara pengiraan bonus.sah sah yg atas lg kenyang.adakah ini cara pentadbiran yg adil kpd semua??mcm mana nak lahirkan penjawat awam yg berkualiti dan profesional utk keseluruhannya kalau tiada keputusan yg adil buat semua.cananglah pelbagai slogan utk penjawat awam.Jika pihak atasan blm mampu membuat keputusan yg relevan,sampai kiamat la tiada hasilnya.tepuk dada tanyalah selera.

    BalasPadam

Terima kasih kerana memberikan maklumbalas yang berkaitan dengan artikel. Kebebasan bersuara diamalkan namun ulasan yang tidak sopan akan dipadam.