Isnin, 24 Februari 2014

Jangan beri MCA jawatan kabinet jika BN tewas di Kajang


Semalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) MCA meluluskan resolusi untuk parti itu kembali menerima jawatan dalam kabinet. Bagi saya, EGM yang diadakan itu bukan lagi "luar biasa" kerana MCA berulang kali mengadakan EGM semata-mata nak putuskan sama nak ambil jawatan dalam kabinet ataupun tidak selepas prestasi buruk mereka dalam PRU13 lalu.

Sebelum PRU13, sebagai pertaruhan untuk mengembalikan sokongan masyarakat Cina kepada mereka, MCA berjanji tidak akan menerima sebarang jawatan kabinet andainya gagal mempertahankan prestasi mereka dalam PRU12. Dalam PRU12, MCA memenangi 15 kerusi Parlimen dan malangnya dalam PRU13 mereka hanya mampu memenangi 7 kerusi.


Presiden MCA ketika itu, Dr Chua Soi Lek bertegas untuk menolak sebarang jawatan kabinet demi untuk memegang janji mereka. Namun mungkin kerana terasa "bahang" beberapa bulan tiada kedudukan dalam kerajaan, MCA mengadakan EGM untuk menerima semula jawatan kabinet.

Perwakilan MCA yang ketika itu di bawah pimpinan Chua Soi Lek, kekal dengan pendirian untuk menolak usul menerima jawatan kabinet dalam EGM Oktober tahun lalu. Semalam, baru empat bulan selepas menolak jawatan dalam EGM, lain ceritanya apabila perwakilan di bawah Liow Tiong Lai menerima usul untuk kembali ke kabinet dengan undi yang besar.

Saya melihat, desakan untuk MCA kembali ke dalam kabinet didorong oleh golongan kapitalis yang berasa "tidak selesa" apabila tiada wakil mereka dalam kerajaan. Tiada wakil bermakna sukar untuk mendapat sokongan projek. 

Saya berpendirian PM selaku ketua kerajaan dan ketua BN wajar melihat keputusan PRK Kajang sebagai kata pemutus untuk memberikan jawatan kabinet kepada MCA ataupun tidak. Walaupun sebelum ini PM sendiri mempelawa MCA menyertai kabinet namun parti berkenaan perlu membuktikan terlebih dahulu bahawa sokongan masyarakat Cina telah kembali kepada mereka.

PM perlu berani untuk mengambil ketetapan baru bahawa jawatan kabinet hanya akan diberikan sekiranya BN yakni MCA menang di Kajang. Ketetapan ini perlu dibuat agar ia menjadi ingatan kepada setiap parti komponen untuk bekerja lebih kuat dalam memenangi hati pengundi.

Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana memberikan maklumbalas yang berkaitan dengan artikel. Kebebasan bersuara diamalkan namun ulasan yang tidak sopan akan dipadam.