Jumaat, 29 Mac 2013

Penjawat awam kontrak dan sambilan dilindungi PERKESO mulai 1 April


Pengumuman YB Menteri Sumber Manusia mengenai keputusan kerajaan untuk memanjangkan faedah PERKESO kepada kakitangan kerajaan yang berstatus kontrak dan sambilan mulai 1 April mengingatkan saya kepada seorang rakan yang pernah mengalami kecederaan serius ketika bertugas.

Pada waktu itu, beliau yang berstatus Pekerja Khidmat Singkat telah patah tangannya dalam satu majlis yang sedang berlangsung. Akibat dari itu beliau mengalami kesulitan untuk menanggung kos rawatan pemulihan kerana di hospital kerajaan beliau tidak diiktiraf sebagai penjawat awam.

Akibatnya rakan saya itu memendam saja kesakitan dan kedukaan yang perlu ditanggung. Pihak majikan pula hanya dapat membantu dari kutipan sumbangan ikhlas kakitangan di ibu pejabat.

Bagi mereka yang berstatus kontrak pula sebelum ini, rawatan tanpa kos di hospital kerajaan hanya dapat dinikmati selama kontrak mereka masih lagi disambung. Kiranya tidak disambung, maka terpaksalah mengeluarkan kos sendiri untuk mengubati penyakit yang dihadapi.

Itulah antara dilema yang dihadapi oleh penjawat awam berstatus kontrak dan sambilan selama ini.

Alhamdulillah, keprihatinan YAB PM dalam menambah baik kebajikan kakitangannya terbukti lagi. Banyak manfaat sebenarnya yang bakal dinikmati oleh lebih 63,000 penjawat awam berstatus kontrak dan sambilan hasil dari inisiatif ini. 

Semoga langkah ini akan meningkatkan lagi motivasi rakan-rakan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Berikut petikan artikel dari BERNAMA mengenai pengumuman berkenaan:
63,000 Penjawat Awam Sementara Dan Kontrak Terima Faedah Perkeso Mulai 1 Mei
PUTRAJAYA 28 Mac 2013 - Seramai 63,000 anggota perkhidmatan awam berstatus sementara dan kontrak akan turut menikmati pelbagai faedah di bawah Skim Keselamatan Sosial (Perkeso) mulai 1 Mei ini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, kerajaan mengambil keputusan itu bagi memastikan kebajikan pekerja dan anggota keluarga mereka turut dijamin di bawah Skim Perlindungan Bencana Pekerjaan dan Pencen Ilat seperti pekerja di sektor swasta.
"Keputusan ini memberi faedah kepada semua pekerja sementara dan kontrak di perkhidmatan awam, termasuk 15,000 pekerja yang sedang berkhidmat di Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dengan taraf sementara dan kontrak sekian lama," katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini hari ini.
Dr Subramaniam berkata, Perkeso akan mengambil tindakan serta merta untuk mendaftar semua pekerja bertaraf sementara dan kontak yang sedang berkhidmat di perkhidmatan awam persekutuan/negeri, badan berkanun persekutuan/negeri dan pihak berkuasa tempatan.
"Jemaah Menteri membuat keputusan itu minggu lalu...Dengan ini semua pekerja terbabit secara automatik akan didaftarkan di bawah Perkeso. Perkeso akan menghubungi jabatan dan agensi berkenaan untuk menguruskan pendaftaran ini," katanya.
Dr Subramaniam berkata, kerajaan akan membelanjakan sebanyak RM30 juta setiap tahun dengan perluasan skim itu.
Katanya skim bencana pekerjaan akan melindungi pekerja ditimpa kemalangan semasa waktu kerja, kemalangan dalam perjalanan pergi dan balik ke tempat kerja dan juga penyakit khidmat. 
Skim ilat pula akan memberi perlindungan 24 jam akibat daripada keuzuran atau penyakit dan pencen penakat pula disebabkan oleh kematian kepada pekerja yang menikmati keilatan atau disebabkan oleh penyakit. 
Faedah-faedah lain yang turut dinikmati ialah perubatan, hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, faedah orang tanggungan, pengurusan mayat dan kemudahan pemulihan untuk pekerja kembali bekerja.
Semua faedah ini akan diterangkan oleh Perkeso dalam taklimat kepada pekerja terlibat di jabatan dan agensi berkenaan, katanya. Dalam pada itu Dr Subramaniam berkata, sebanyak 1,912 majikan, dikesan gagal mendaftar pekerja mereka di bawah Perkeso, tahun lalu.
"Mereka dikenal pasti di bawah Ops Kesan yang dilakukan terhadap 20,003 majikan tahun lalu, dan majoriti daripada mereka ialah majikan sederhana dan kecil.
"Daripadanya sebanyak 1,802 kes didakwa di mahkamah (sivil) kerana gagal mencarum, gagal mendaftar, lewat daftar atau kesalahan-kesalahan berkaitan," jelasnya.
Menurutya bagi kesalahan itu majikan boleh dikenakan denda RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya.
Wassalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana memberikan maklumbalas yang berkaitan dengan artikel. Kebebasan bersuara diamalkan namun ulasan yang tidak sopan akan dipadam.