Jumaat, 16 Mac 2012

Satu Amah, Satu Kerja: Jangan sampai jadi seperti SBPA!


Gila. Itu reaksi pertama saya apabila membaca laporan akhbar Utusan Malaysia, Berita Harian dan The Star yang memetik laporan BERNAMA bahawa amah dari Indonesia yang akan dibawa masuk ke negara ini bemula dari bulan hadapan akan hanya melaksanakan satu tugas pembantu rumah sahaja. 

Dinyatakan, amah-amah yang akan dibawa masuk ini akan dilatih dalam empat bidang khusus iaitu sebagai tukang masak, pengasuh bayi, penjaga orang tua dan pengemas rumah. Mereka hanya akan menjalankan tugas sebagai "pembantu rumah" dalam bidang yang dilatih sahaja. Tidak lagi multi-tasking

Juga, gaji minimum yang perlu dibayar ialah RM 700.00 bagi setiap amah untuk setiap bidang. Demikian menurut kata-kata pegawai dari Indonesia yang bertanggungjawab dalam perjanjian bagi penghantaran amah Indonesia ke Malaysia.

Ini bermakna, sekiranya rakyat negara ini ingin mendapatkan "pembantu rumah" dari Indonesia yang dapat melaksanakan tugas sebenar sebagai pembantu rumah, kita perlu menggaji empat orang amah bagi melaksanakan tugasan yang berasingan. Ia akan menjadikan jumlah gaji yang perlu dibayar sekurang-kurangnya RM 2,800.00. Biar betul!

Selasa, 6 Mac 2012

Pindaan SBPA: JPA jangan ulangi kesilapan yang sama!


Khamis ini, 8 Mac 2012, YAB Perdana Menteri akan bertemu dengan warga penjawat awam di Pusat Konvensyen Putrajaya. Dijangka dalam pertemuan berkenaan beliau akan mengumumkan keputusan penting mengenai pindaan SBPA yang telah dilaksanakan oleh pasukan khas yang ditubuhkan untuk meneliti tuntutan-tuntutan dikemukakan oleh penjawat awam khususnya CUEPACS. Tuntutan-tuntutan ini hadir dari ketidakpuasan hati terhadap opsyen yang ditawarkan dalam SBPA.

Saya melihat, kesediaan YAB PM untuk hadir dan mengumumkan sendiri keputusan-keputusan yang sudah dicapai memberikan gambaran bahawa sebahagian besar tuntutan-tuntutan CUEPACS sebelum ini (walaupun mungkin kadarnya separuh) akan dipenuhi. Berita yang dinanti-nantikan ini dijangka akan memberikan kelegaan kepada 1.2 juta penjawat awam.

Disebalik keputusan yang bakal diumumkan oleh YAB PM, tidak kurang pentingnya seperti pengumumam berkenaan ialah kesediaan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam untuk tidak mengulangi kesilapan utama mereka ketika mengumumkan pelaksanaan SBPA iaitu gagal untuk menjelaskan intipati SBPA. Inilah jawapan yang sering saya berikan apabila ditanyakan mengenai kelemahan SBPA: "JPA GAGAL MEMBERIKAN PENJELASAN!"