Selasa, 13 Disember 2011

Selamat Bertakhta Tuanku! Daulat Tuanku!




KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) -- Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'azam Shah pada Selasa melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara di sini.

Ini merupakan kali kedua baginda dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong. Kali pertama ialah dari 21 Jan 1970 hingga 20 Sept 1975 semasa berusia 43 tahun.

Tuanku Abdul Halim, 84, dipilih oleh Raja-raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-226 (Khas) di Istana Negara pada 14 Okt lepas untuk tempoh lima tahun berkuatkuasa Selasa, bagi menggantikan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 pada Isnin.

Sistem penggiliran Yang di-Pertuan Agong dalam kalangan sembilan Raja Melayu dimulakan sejak negara Merdeka pada 31 Ogos, 1957.

Istiadat ini merupakan istiadat seumpamanya yang pertama kali diadakan di Istana Negara yang baru dibina bercirikan binaan Islam dan tradisional Melayu di kawasan seluas 96.52 hektar, yang mula beroperasi pada 15 Nov lepas.

Upacara bermula pada 11.15 pagi dengan Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-227 (Khas) sempena Istiadat Melafaz Sumpah Memegang Jawatan dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan oleh baginda di Balairong Seri.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja itu dipengerusikan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Syed Danial Syed Ahmad kemudian menyembah surat sumpah jawatan kepada Tuanku Abdul Halim, yang memakai pakaian diRaja Kedah yang dikenali sebagai 'Sikap' yang terdiri daripada jaket pendek, berbelah di hadapan dan berkolar tinggi lengkap dengan tenggolok, seluar, sampin dan bengkung serta berkeris.

Baginda kemudian melafazkan sumpah jawatan dan menandatangani surat sumpah jawatan itu di hadapan Majlis Raja-Raja.

Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah menjadi saksi. -- BERNAMA



KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) -- Berikut adalah senarai Yang di-Pertuan Agong:

1. YANG DI-PERTUAN BESAR NEGERI SEMBILAN

Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad

Mangkat: 1 April 1960 (mangkat semasa memerintah sebagai Yang di-Pertuan Agong pertama)

Ditabal: 2 Sept 1957

Tempoh Jawatan: 3 Ogos 1957 - 1 April, 1960


2. SULTAN SELANGOR

Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Ala'iddin Sulaiman Shah

Mangkat: 1 Sept 1960

Ditabal: 1 Sept 1960 (mangkat beberapa jam sebelum ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong kedua)

Tempoh Jawatan: Menjalankan tugas Yang di-Pertuan Agong sejak 4 April 1960 berikutan kemangkatan Tuanku Abdul Rahman)


3. RAJA PERLIS

Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail

Mangkat: 16 April 2000

Ditabal: 4 Jan 1961

Tempoh Jawatan: 21 Sept 1960 - 20 Sept 1965 (Raja paling muda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong iaitu pada usia 40 tahun)


4. SULTAN TERENGGANU

Sultan Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin

Mangkat: 20 Sept 1979

Ditabal: 21 Sept 1965

Tempoh Jawatan: 21 Sept 1965 - 20 Sept 1970


5. SULTAN KEDAH

Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah

Ditabal: 20 Feb 1971

Tempoh Jawatan: 21 Jan 1970 - 20 Sept 1975


6. SULTAN KELANTAN

Sultan Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim

Mangkat: 29 Mac 1979

Ditabal: 28 Feb 1976

Tempoh Jawatan: 21 Sept 1975 - 29 Mac, 1979


7. SULTAN PAHANG

Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah

Ditabal: 10 Julai 1980

Tempoh Jawatan: 26 April 1979 - 25 April 1984


8. SULTAN JOHOR

Sultan Mahmood Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail

Mangkat : 23 Jan 2010

Ditabal: 15 Nov 1984

Tempoh Jawatan: 15 April 1984 - 25 April 1989


9. SULTAN PERAK

Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuff Izzuddin Ghafarullahulahu Shah

Ditabal: 18 Sept, 1989

Tempoh Jawatan: 26 April 1989 - 25 April 1994


10. YANG DI-PERTUAN BESAR NEGERI SEMBILAN

Tuanku Ja'afar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman

Mangkat : 27 Dis 2008

Ditabal: 22 Sept, 1994

Tempoh Jawatan: 16 April, 1994 - 25 April, 1999


11. SULTAN SELANGOR

Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Ibni Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah

Mangkat: 21 Nov 2001 (mangkat semasa memerintah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-11)

Ditabal: 23 Sept 1999

Tempoh Jawatan: 26 April 1999 - 21 Nov 2001


12. RAJA PERLIS

Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail

Ditabal: 25 April 2002

Tempoh Jawatan: 13 Dis 2001 - 13 Dis 2006


13. SULTAN TERENGGANU

Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah

Ditabal: 26 April 2007

Tempoh Jawatan: 13 Dis 2006 - 12 Dis 2011


14. SULTAN KEDAH

Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah (Dilantik untuk kedua kali)

-- BERNAMA




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana memberikan maklumbalas yang berkaitan dengan artikel. Kebebasan bersuara diamalkan namun ulasan yang tidak sopan akan dipadam.